07 5530199 mfuad@utm.my
Select Page

Mejar Hassan, seorang lelaki yang dulunya gagah dan tegas, sekarang hanyalah seorang tua yang mampu duduk di hadapan rumah minum kopi tanpa gula memerhati kenderaan lalu lalang di hadapan rumah yang baru dibeli di sebuah taman perumahan sederhana di pinggir bandar. Di tangannya, terselit sebilah tongkat kayu yang sudah lusuh, simbol pengalaman dan perjuangan masa lalunya. Bekas tentera berpangkat agak tinggi, Hassan pernah berjuang di perbatasan negara, mempertahankan tanah air daripada ancaman komunis yang licik memecahbelahkan bangsa.

Hari ini, di persekitarannya, keadaan begitu berbeza. Anak-anak muda di taman perumahan itu nampak hilang arah, leka dengan dunia mereka sendiri. Telefon bimbit menjadi teman setia, lepak di hujung malam tanpa arah tuju, dan pergaulan yang semakin melonggar adab. Hassan hanya mampu mengeluh. Walaupun 1 bulan dia disini terasa sakit hati nya macam setahun. “Jiwa merdeka sudah hilang,” bisik hatinya.

Satu petang, Hassan mengatur strategi, duduk bersama beberapa anak muda di taman berdekatan. Riuh mereka berbual tentang permainan dalam talian, gelak tawa tanpa mempedulikan dunia luar. Hassan merenung, terasa ada sesuatu yang perlu dilakukannya. Dia bukan lagi Mejar Hassan yang mampu membuatkan anak buah gentar setiap kali mendengar bunyi hentakan tongkat tapak kasutnya. Sekarang dia hanya orang tua, orang tua yang tiada pangkat dan kuasa tetapi yang pasti dia ada kebijaksanaan. Dia mendekati mereka dengan senyuman dan berkata, “Anak-anak muda, bolehkah pak cik duduk sekejap?”

Seorang pemuda yang bernama Ali mengangkat wajah, sedikit terkejut. “Ha ya, cik,” jawabnya, walaupun jelas mereka tidak begitu selesa dengan kehadiran Hassan.

“Pakcik nak tanya,” Hassan memulakan, “Mulanya… pakcik nak minta maaf duduk mengacau kamu semua” Hassan memulakan langkahnya. Dalam kumpulan itu, ada yang tak hiraukannya dan ada yang berpaling melihatnya.

Hassan teruskan lagi, “Apa maksud merdeka bagi kamu semua?”

Ali dan rakan-rakannya saling berpandangan. “Merdeka? Bebaslah, cik. Boleh buat apa kita suka, tak ada siapa nak sekat.”

Hassan senyum dan menggeleng kecil. “Bebas itu satu perkara, tapi jiwa merdeka itu lain.” Suaranya tenang tapi penuh makna. “Pak cik dulu berjuang di hutan Sarawak, di sempadan negara, melawan komunis. Pakcik dan kawan-kawan seangkatan pakcik pertaruhkan nyawa untuk negara, untuk kebebasan yang kamu kecap hari ini. Tapi jiwa merdeka bukan sekadar bebas dari penjajahan asing. Ia tentang tanggungjawab kepada bangsa, agama, dan negara.”

Seorang lagi anak muda, Amir, memotong, “Tapi pak cik, dunia dah berubah. Kami ada teknologi, kami berkomunikasi satu dunia, ada dunia maya, ada mobile Legend ada Ai. Apa salahnya kami menikmati semua ini?”

Hassan tersenyum. “Teknologi memang memudahkan hidup, tapi jangan sampai ia memperhambakan kamu. Lihat sekeliling kamu, anak-anak muda. Adakah kamu tahu apa yang berlaku pada jiran-jiran kamu? Kamu tahu kisah sejarah tanah air kamu? Atau kamu lebih kenal watak dalam permainan video?”

Suasana menjadi senyap. Kata-kata Hassan mula meresap dalam fikiran mereka. Hassan meneruskan, “Merdeka itu tentang tahu siapa diri kita, tahu apa yang perlu kita lakukan untuk memelihara kemerdekaan itu. Kamu semua mungkin tidak perlu lagi berjuang dengan senjata, tapi perjuangan mengekalkan jiwa merdeka itu tidak pernah tamat. Ia perlu ada dalam jiwa kamu.”

Ali, yang biasanya paling lantang bersuara, terdiam. Dia merenung Hassan dan bertanya, “Jadi, apa yang perlu kami buat, pak cik?”

Hassan tersenyum, kali ini dengan lebih lega. “Kamu perlu mula dengan mengenal diri kamu sendiri. Faham sejarah kamu, belajar menghargai kebebasan yang ada, dan tahu tanggungjawab kamu kepada masyarakat. Kamu kan ada internet, cuba Google, atau tanya orang orang tua macam pakcik ni, insyaallah kami ada banyak kisah jiwa merdeka yang boleh dikongsi. Jiwa merdeka itu bukan tentang bebas melakukan apa sahaja, tapi bebas untuk menjadi manusia yang bermanfaat kepada bangsa dan negara.”

Sejak hari itu, perubahan perlahan-lahan berlaku. Ali dan rakan-rakannya mula melibatkan diri dalam aktiviti masyarakat. Mereka lebih menghormati orang tua, menguruskan masa dengan lebih baik, dan yang paling penting, mereka mula belajar erti sebenar sebuah kemerdekaan.

16 September ini, Hassan tersenyum puas. Dia tahu, perjuangan untuk menyedarkan generasi muda itu bukan mudah, tapi dia yakin usaha kecilnya ini akan membuahkan hasil yang besar di masa hadapan. Jiwa merdeka bukan sekadar milik pejuang seperti dirinya, tapi ia perlu diwariskan kepada setiap generasi, demi masa depan bangsa, agama, dan negara.

Selamat hari Malaysia… 2024