Deruman enjin bas bergema di kampus induk Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Amirah, gadis 19 tahun dari Kampung Sugut, Sandakan, turun perlahan dengan beg galas lusuh yang sarat dengan buku, pakaian dan laptop IBM usang pemberian penghulu kampung. Wajahnya tenang, tapi mata cemas meninjau suasana sekeliling. Dia anak sulung keluarga penoreh getah, pertama dalam keluarga yang melanjutkan pelajaran ke universiti.
Tahun Satu.
Dunia kampus asing dan penuh cabaran buat Amirah. Semuanya baharu — rakan-rakan bercakap fasih bahasa Inggeris, kuliah dalam talian, tugasan atas talian, malah mencari buku di perpustakaan pun memerlukan sistem yang kompleks.
“Amirah, tolong ‘Google’ artikel tentang teori pembelajaran konstruktivisme,” pinta pensyarahnya dalam kuliah pertama.
Dia hanya mampu mengangguk. Hatinya panik. “Apa itu Google?” bisik hati kecilnya.
Internet? Dia tahu sedikit sahaja. Di kampung, liputan lemah dan telefon pintar miliknya cuma mampu WhatsApp sesekali. Waktu di kampung, dia menyalin nota dari buku teks yang dikongsi bersama adik-adiknya. Di universiti, semua rujukan dalam talian. Dia bagaikan buta huruf digital.
Pertengahahan Tahun Satu.
Masa berlalu. Dia bertahan dengan kecekalan. Tapi tetap ketinggalan. Kini dia diminta membuat proposal Tesis. Tapi bagaimana? Internet masih kabur di fikirannya. Rakan-rakan pula sibuk dengan tugasan sendiri. Dia cuba masuk ke laman web perpustakaan, tapi dia tak biasa, dia takut untuk buat apa-apa.
“Aduh… mana benda aku nak tekan ni,” keluhnya perlahan.
Apabila masuk ke perpustakaan, dia biasa duduk di satu sudut dihujung lorong. Laptop usang di hadapannya terbuka, tapi hanya layar kosong yang menampilkan ikon Word tanpa internet.
Air matanya menitis perlahan.
“Kenapa aku rasa bodoh sangat….” bisik Amirah. “Ya Allah… aku nak siapkan kerja kursus je… susah sangat ke…”
Beberapa pelajar lain berjalan melepasinya, sekelilingnya masing-masing tekun menaip atau berbual tentang data, SPSS, dan jurnal. Amirah menunduk menahan rasa sebak, hiba, kecewa dan putus asa.
Saat dia hendak bangun, satu suara menegurnya.
“Awak okay?”
Amirah terkejut. Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an berdiri di sisi. Tag nama di bajunya tertera nama Nasir Ibrahim — Pustakawan UTM.
“Err… saya… saya okay,” jawab Amirah tergagap. Matanya berair.
“Saya perhatikan dari tadi awak termenung saja. Skrin komputer pun kosong. Boleh saya bantu?”
Amirah akhirnya membuka mulut.
“Saya… dari kampung. Saya tak pandai sangat guna komputer. Laptop ni pun tak boleh guna internet, hanya untuk menaip words sahaja. Saya nak cari jurnal tapi tak tahu macam mana. Saya malu, encik…”
Encik Nasir tersenyum.
“Tak apa. Ade je pelajar yang ada masalah macam awak ni. Saya boleh tunjukkan. Mari.”
Mereka duduk semula di hadapan PC yang disediakan perpustakaan. Perlahan-lahan, Nasir membimbingnya pencarian sumber menggunakan OCEAN (OPAC), bagaimana login ke Online Database langganan perpustakaan UTM seperti WOS, Scopus, Science Direct, Springer Link dan macam-macam lagi. Malah, dia juga membantu Amirah mencari artikel full text berkaitan tajuk perancangan tesisnya: Pengaruh Media Sosial terhadap Gaya Komunikasi Mahasiswa B40.
“Wah… banyaknya artikel!” Amirah kagum, baru hari ni dia nampak jalan untuk selesaikan bab satu dan dua. Sebelum ini dia terlepas menghadiri sesi orentasi perpustakaan kerana ingatkan kelas itu tak penting. Kalau tau, tentu dari awal dapat selesaikan masalah dia ni.
“Ya. Awak hanya perlu tahu kata kunci dan bagaimana nak tapis hasil carian.” En Nasir menunjukkan teknik Boolean bagaimana menggunakan AND, OR, NOT semasa memadankan kata kunci. Dia turut mengajar cara menyimpan artikel, membuat sitasi dalam gaya APA, dan menggunakan Endnote.
“Oh… senang rupanya. Tapi tiada siapa pernah ajar saya begini,” kata Amirah perlahan.
“Sebab itu kami di perpustakaan wujud — bukan hanya untuk pinjam buku, tapi bantu pelajar capai maklumat,” jawab Nasir sambil tersenyum kerana mendengarkan rungutan perlahan Amirah tadi.
“Awak pernah hadir kelas pencarian maklumat tak awal semester tempohari? Macam rupa orang yang tak pernah hadir ni… he..he “, Nasir saja mengusik kerana sudah menjadi kebiasaan pelajar yang tak tau menggunakan kemdudahan perpustakaan ini biasanya tak pernah hadir kelas perpustakaan.
Minggu demi minggu, Amirah menjadi pengunjung tetap perpustakaan. Dia lebih yakin. Beberapa rakan mula meminta bantuan daripadanya pula. Dari seorang yang tidak tahu membuka e-mel, kini dia sudah pandai menggunakan Turnitin menyemak % plagiat dan akhirnya di tahun dua dia berjaya membentangkan defence proposalnya dengan jaya. Panel kagum dengan kandungan literature review yang tepat serta dari pelbagai format. Kata salah seorang panel, ” Tahniah, sumber kukuh, research methodology yang dirancang juga mantap”.
Dua tahun kemudian…
Amirah telah tamat belajar, dia lulus cemerlang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Pendidikan UTM. Pagi itu adalah hari yang ceria buat Amirah, seawal 7.45 pagi lagi dia dah terpacak sabar menunggu di pintu pejabat perpustakaan. Satu surat tawaran di tangan — dia baru mendapat tawaran jawatan sebagai Pembantu Pustakawan Harian, satu skim bantuan kerajaan terhadap anak-anak lulusan universiti B40.
Pintu bilik diketuk.
“Masuk!” sahut satu suara.
Amirah masuk, senyum lebar.
Encik Nasir yang sedang menyemak dokumen mengangkat wajah. Namun wajahnya tiba-tiba berubah pucat.
“Amirah…?”
“Ya, saya. Encik yang bantu saya masa saya hampir putus asa dulu.”
“Allahu… saya tak sangka.”
“Kenapa, encik?”
Nasir menarik nafas panjang.
“Amirah… awak tahu tak siapa ibu awak?”
Amirah terdiam. Hatinya berdegup.
“Ibu saya… meninggal waktu saya kecil. Tapi saya tahu dia orang semenanjung. Ayah hanya cakap mereka kenal masa ibu datang buat satu program khidmat komuniti di Sabah.”
Nasir mengeluarkan satu gambar lama dari dompetnye.
“Ini gambar ibu awak kan?”
Air mata Amirah bergenang. Gambar berukuran pasport seperti gambar nak memohon lesen kereta di JPJ.
“Itu… itu memang macam ibu saya!”
Nasir tunduk.
“Amirah… ibu awak, Nurain, Nurain Binti Ibrahim adalah kakak saya. Kami terpisah sejak dia berhijrah ke Sabah. Krisis keluarga yang berpanjangan menyebabkan kami terus terputus hubungan. Saya cuba mencari kak Nurin beberapa kali tapi gagal. Saya… saya bapa saudara awak, Amirah”
Amirah terkedu.
“Jadi… selama ini, encik….”
Nasir mengangguk. Suasana sunyi seketika.
“Allah telah temukan kita semula di tempat ilmu ini.”
Amirah menangis dalam pelukan bapa saudaranya. Segala keperitan hidupnya terasa terbayar.
Amirah kini telah setahun bekerja di perpustakaan UTM, bulan depan dia bakal mendaftarkan diri menyambung pengajian sarjana dalam bidang Library and Information Science di UiTM Shah Alam. Dari seorang yang pernah ‘buta digital’, kini dia pula memberi bengkel kepada pelajar baharu tentang literasi maklumat.
Dan setiap kali dia melihat pelajar duduk termenung di sudut meja — dia tahu, mungkin itu permulaan kisah perubahan hidup seseorang, sama seperti kisahnya dahulu, semoga ada sinar di hujung lorong itu.