Langit petang mendung ketika Irfan menapak ke Perpustakaan Sultanah Zanariah buat kali pertama sejak semester bermula. Bunyi guruh berdentum di kejauhan, seolah-olah menandakan sesuatu yang berat sedang menantinya. Dia menggenggam tali beg sandangnya erat, cuba menyembunyikan resah dalam dada.
Irfan bukan pelajar tipikal universiti. Dia datang dari kampung pedalaman di kedah, tanpa latar belakang keluarga yang celik teknologi. Masuk ke universiti umpama memasuki dunia asing. Semua perkara tampak baru—terlalu baru. Tambahan pula, kebergantungan pelajar pada sistem perpustakaan digital sangat membebankannya.
“OPAC? Subjek heading? Call Number? Apa semua ni…” omelannya perlahan sewaktu memandang skrin komputer laman OPAC yang memaparkan antaramuka penuh ikon dan pautan. Tangannya menggigil sewaktu menaip judul buku, namun hasilnya kosong.
Dia cuba bertanya kepada pelajar di sebelah, tetapi hanya mendapat jawapan ringkas, “Tekan je sini, nanti keluar la,” sambil pelajar itu terus berlalu. Rasa malu membungkus dirinya seperti kabus pagi yang tebal.
Sudah seminggu Irfan berulang-alik ke perpustakaan, tetapi pulang dengan hampa. Buku yang dimahukan untuk tugasan “Sejarah Sosial Malaysia” seperti ghaib. Pensyarahnya, Dr. Rashid, pula memberi amaran, “Siapa tak hantar tugasan lengkap, tolong jangan masuk kelas saya minggu depan.”
Irfan duduk di sudut bacaan aras dua, termenung memandang siling. Buku catatan di hadapannya kosong, hanya dipenuhi contengan dan tanda soal.
Dia cuba menggunakan pangkalan data langganan universiti—Scopus & Web of Science tetapi semuanya tiada bahan dipaparkan. Malam semalam dia cuba mengakses dari bilik asrama, tetapi turut gagal.”
“Kenapa susah sangat…” bisiknya kecewa. Di meja seberang, sekumpulan pelajar riuh menyiapkan pembentangan dengan tablet dan earbud, ketawa sesekali. Irfan menunduk, rasa ketinggalan makin mencengkam.
Petang itu, hujan turun lebat. Irfan hampir ingin pulang ketika dia terdengar suara lembut, “Awak nampak macam perlukan bantuan.”
Dia berpaling. Seorang wanita dalam lingkungan awal 40-an, berkaca mata, baju kurung merah sederhana dan bertudung putih berdiri tidak jauh darinya. Senyumannya tenang.
“Err… saya cuma cari buku untuk tugasan sejarah sosial. Tapi saya tak tahu nak guna sistem perpustakaan,” jawab Irfan jujur.
Wanita itu tersenyum lebih lebar. “Mari, saya tunjukkan.”
Mereka ke komputer OPAC dihujung lorong. Dengan sabar, wanita itu menerangkan satu per satu fungsi sistem pencarian. Dia menyuruh Irfan menaip kata kunci dengan betul dan mengajar bagaimana menapis hasil carian.
“Untuk topik awak, cuba taip ‘pembangunan sosial Malaysia’, kemudian semak rak berdasarkan nombor panggilan,” katanya sambil menunjukkan senarai hasil carian.
Irfan mengangguk. “Ohh… macam ni rupanya. Selama ni saya taip ikut suka hati je.”
Wanita itu ketawa kecil. “Ramai pelajar baru macam tu. Tak mengapa, sekarang awak dah tahu.”
Dia membantu Irfan mencari dua buah buku penting yang berkaitan: “Pembangunan Sosial di Malaysia: Isu dan Cabaran” dan “Teori dan Amalan Sosial”. Kemudian mereka ke bahagian koleksi umum, dan Irfan belajar cara membaca label panggilan dan susunan rak.
Di meja bacaan, Irfan memberanikan diri bertanya, “Awak ni pensyarah ke? Atau staf perpustakaan?”
Wanita itu menggeleng sambil menghela nafas perlahan. “Tak… saya cuma suka datang ke sini. Dulu saya pun macam awak. Asyik sesat dalam sistem. Tapi bila saya belajar guna satu-satu, semuanya jadi lebih mudah.”
Irfan menunduk. “Saya malu nak tanya orang. Semua orang nampak macam pandai. Saya rasa saya bodoh.”
Wanita itu menatapnya dalam-dalam. “Awak tak bodoh, Irfan. Awak berani datang ke perpustakaan walaupun tak tahu guna sistem. Itu dah cukup bijak. Ramai yang terus putus asa.”
Perkataan itu menusuk ke dalam jiwanya. Dia senyum sedikit, rasa dihargai. Kali ini, dia berjaya siapkan dua perenggan pertama tugasan dengan bahan yang tepat.
Esoknya, Irfan kembali ke perpustakaan dengan semangat baru. Dia mencari wanita berbaju merah itu untuk mengucapkan terima kasih. Dia ke kaunter pertanyaan.
“Kak, saya nak cari seorang wanita. Berbaju merah, berkaca mata. Tudung putih. Dia tolong saya semalam cari buku di OPAC,” katanya kepada staf kaunter.
Staf itu berkerut dahi. “Semalam? Siapa nama dia?”
“Saya tak sempat tanya nama…” jawab Irfan.
Staf itu memandang ke arah rak belakang. “Awak pasti? Kami tak ada staf seperti gambaran awak tu dan pelawat pun rasanya tak ada petang semalam…. dan kebetulan semalam kami tutup awal sebab ada penyelenggaraan sistem OPAC. Network UTM pun bermasalah petang semlaam. Seluruh sistem offline.”
Irfan membulatkan mata. “Tapi… saya guna OPAC. Dan jumpa dua buku…”
Staf itu menyemak log pinjaman. “Ya, awak pinjam dua buku tu. Tapi awak ambil dari rak terus rasanya sebab OPAC offline semalam.”
Irfan terpaku.
Dia kembali ke tempat wanita itu membantunya. Masih ada bekas tisu kopi dan secebis nota kecil atas meja. Tangannya menggigil mengambil nota itu.
Tulisannya kemas:
“Irfan, perpustakaan adalah jendela ilmu. Jangan takut untuk membuka satu persatu. Kau tak bersendirian.”
– M
Dia tidak pernah tahu siapa “M” itu. Tapi sejak hari itu, Irfan menjadi pelajar yang paling kerap ke perpustakaan. Malah, dia menjadi mentor rakan sekelas yang juga tidak mahir menggunakan OPAC dan sumber digital.
Tiga tahun berlalu. Irfan kini menjadi pelajar tahun akhir dan sering dijemput terlibat mengendalikan bengkel pencarian maklumat di perpustakaan. Suatu hari, dia memandang ke cermin di bilik latihan—dan dalam pantulan itu, dia terbayang seorang wanita berbaju merah berdiri di rak belakang, senyum padanya.
Tapi bila dia menoleh, tiada siapa di sana.
Jeng…. jeng… jeng………..