Dia yang Berbaju Merah

Dia yang Berbaju Merah

Langit petang mendung ketika Irfan menapak ke Perpustakaan Sultanah Zanariah buat kali pertama sejak semester bermula. Bunyi guruh berdentum di kejauhan, seolah-olah menandakan sesuatu yang berat sedang menantinya. Dia menggenggam tali beg sandangnya erat, cuba menyembunyikan resah dalam dada.

Irfan bukan pelajar tipikal universiti. Dia datang dari kampung pedalaman di kedah, tanpa latar belakang keluarga yang celik teknologi. Masuk ke universiti umpama memasuki dunia asing. Semua perkara tampak baru—terlalu baru. Tambahan pula, kebergantungan pelajar pada sistem perpustakaan digital sangat membebankannya.

“OPAC? Subjek heading? Call Number? Apa semua ni…” omelannya perlahan sewaktu memandang skrin komputer laman OPAC yang memaparkan antaramuka penuh ikon dan pautan. Tangannya menggigil sewaktu menaip judul buku, namun hasilnya kosong.

Dia cuba bertanya kepada pelajar di sebelah, tetapi hanya mendapat jawapan ringkas, “Tekan je sini, nanti keluar la,” sambil pelajar itu terus berlalu. Rasa malu membungkus dirinya seperti kabus pagi yang tebal.

Sudah seminggu Irfan berulang-alik ke perpustakaan, tetapi pulang dengan hampa. Buku yang dimahukan untuk tugasan “Sejarah Sosial Malaysia” seperti ghaib. Pensyarahnya, Dr. Rashid, pula memberi amaran, “Siapa tak hantar tugasan lengkap, tolong jangan masuk kelas saya minggu depan.”

Irfan duduk di sudut bacaan aras dua, termenung memandang siling. Buku catatan di hadapannya kosong, hanya dipenuhi contengan dan tanda soal.

Dia cuba menggunakan pangkalan data langganan universiti—Scopus & Web of Science tetapi semuanya tiada bahan dipaparkan. Malam semalam dia cuba mengakses dari bilik asrama, tetapi turut gagal.”

“Kenapa susah sangat…” bisiknya kecewa. Di meja seberang, sekumpulan pelajar riuh menyiapkan pembentangan dengan tablet dan earbud, ketawa sesekali. Irfan menunduk, rasa ketinggalan makin mencengkam.

 

Petang itu, hujan turun lebat. Irfan hampir ingin pulang ketika dia terdengar suara lembut, “Awak nampak macam perlukan bantuan.”

Dia berpaling. Seorang wanita dalam lingkungan awal 40-an, berkaca mata, baju kurung merah sederhana dan bertudung putih berdiri tidak jauh darinya. Senyumannya tenang.

“Err… saya cuma cari buku untuk tugasan sejarah sosial. Tapi saya tak tahu nak guna sistem perpustakaan,” jawab Irfan jujur.

Wanita itu tersenyum lebih lebar. “Mari, saya tunjukkan.”

Mereka ke komputer OPAC dihujung lorong. Dengan sabar, wanita itu menerangkan satu per satu fungsi sistem pencarian. Dia menyuruh Irfan menaip kata kunci dengan betul dan mengajar bagaimana menapis hasil carian.

“Untuk topik awak, cuba taip ‘pembangunan sosial Malaysia’, kemudian semak rak berdasarkan nombor panggilan,” katanya sambil menunjukkan senarai hasil carian.

Irfan mengangguk. “Ohh… macam ni rupanya. Selama ni saya taip ikut suka hati je.”

Wanita itu ketawa kecil. “Ramai pelajar baru macam tu. Tak mengapa, sekarang awak dah tahu.”

Dia membantu Irfan mencari dua buah buku penting yang berkaitan: “Pembangunan Sosial di Malaysia: Isu dan Cabaran” dan “Teori dan Amalan Sosial”. Kemudian mereka ke bahagian koleksi umum, dan Irfan belajar cara membaca label panggilan dan susunan rak.

Di meja bacaan, Irfan memberanikan diri bertanya, “Awak ni pensyarah ke? Atau staf perpustakaan?”

Wanita itu menggeleng sambil menghela nafas perlahan. “Tak… saya cuma suka datang ke sini. Dulu saya pun macam awak. Asyik sesat dalam sistem. Tapi bila saya belajar guna satu-satu, semuanya jadi lebih mudah.”

Irfan menunduk. “Saya malu nak tanya orang. Semua orang nampak macam pandai. Saya rasa saya bodoh.”

Wanita itu menatapnya dalam-dalam. “Awak tak bodoh, Irfan. Awak berani datang ke perpustakaan walaupun tak tahu guna sistem. Itu dah cukup bijak. Ramai yang terus putus asa.”

Perkataan itu menusuk ke dalam jiwanya. Dia senyum sedikit, rasa dihargai. Kali ini, dia berjaya siapkan dua perenggan pertama tugasan dengan bahan yang tepat.

Esoknya, Irfan kembali ke perpustakaan dengan semangat baru. Dia mencari wanita berbaju merah itu untuk mengucapkan terima kasih. Dia ke kaunter pertanyaan.

“Kak, saya nak cari seorang wanita. Berbaju merah, berkaca mata. Tudung putih. Dia tolong saya semalam cari buku di OPAC,” katanya kepada staf kaunter.

Staf itu berkerut dahi. “Semalam? Siapa nama dia?”

“Saya tak sempat tanya nama…” jawab Irfan.

Staf itu memandang ke arah rak belakang. “Awak pasti? Kami tak ada staf seperti gambaran awak tu dan pelawat pun rasanya tak ada petang semalam…. dan kebetulan semalam kami tutup awal sebab ada penyelenggaraan sistem OPAC. Network UTM pun bermasalah petang semlaam. Seluruh sistem offline.”

Irfan membulatkan mata. “Tapi… saya guna OPAC. Dan jumpa dua buku…”

Staf itu menyemak log pinjaman. “Ya, awak pinjam dua buku tu. Tapi awak ambil dari rak terus rasanya sebab OPAC offline semalam.”

Irfan terpaku.

Dia kembali ke tempat wanita itu membantunya. Masih ada bekas tisu kopi dan secebis nota kecil atas meja. Tangannya menggigil mengambil nota itu.

Tulisannya kemas:

“Irfan, perpustakaan adalah jendela ilmu. Jangan takut untuk membuka satu persatu. Kau tak bersendirian.”
– M

Dia tidak pernah tahu siapa “M” itu. Tapi sejak hari itu, Irfan menjadi pelajar yang paling kerap ke perpustakaan. Malah, dia menjadi mentor rakan sekelas yang juga tidak mahir menggunakan OPAC dan sumber digital.

Tiga tahun berlalu. Irfan kini menjadi pelajar tahun akhir dan sering dijemput terlibat mengendalikan bengkel pencarian maklumat di perpustakaan. Suatu hari, dia memandang ke cermin di bilik latihan—dan dalam pantulan itu, dia terbayang seorang wanita berbaju merah berdiri di rak belakang, senyum padanya.

Tapi bila dia menoleh, tiada siapa di sana.

Jeng….  jeng… jeng………..

Cahaya di hujung Lorong

Cahaya di hujung Lorong

Deruman enjin bas bergema di kampus induk Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Amirah, gadis 19 tahun dari Kampung Sugut, Sandakan, turun perlahan dengan beg galas lusuh yang sarat dengan buku, pakaian dan laptop IBM usang pemberian penghulu kampung.  Wajahnya tenang, tapi mata cemas meninjau suasana sekeliling. Dia anak sulung keluarga penoreh getah, pertama dalam keluarga yang melanjutkan pelajaran ke universiti.

Tahun Satu.

Dunia kampus asing dan penuh cabaran buat Amirah. Semuanya baharu — rakan-rakan bercakap fasih bahasa Inggeris, kuliah dalam talian, tugasan atas talian, malah mencari buku di perpustakaan pun memerlukan sistem yang kompleks.

“Amirah, tolong ‘Google’ artikel tentang teori pembelajaran konstruktivisme,” pinta pensyarahnya dalam kuliah pertama.

Dia hanya mampu mengangguk. Hatinya panik. “Apa itu Google?” bisik hati kecilnya.

Internet? Dia tahu sedikit sahaja. Di kampung, liputan lemah dan telefon pintar miliknya cuma mampu WhatsApp sesekali. Waktu di kampung, dia menyalin nota dari buku teks yang dikongsi bersama adik-adiknya. Di universiti, semua rujukan dalam talian. Dia bagaikan buta huruf digital.

Pertengahahan Tahun Satu.

Masa berlalu. Dia bertahan dengan kecekalan. Tapi tetap ketinggalan. Kini dia diminta membuat proposal Tesis. Tapi bagaimana? Internet masih kabur di fikirannya. Rakan-rakan pula sibuk dengan tugasan sendiri. Dia cuba masuk ke laman web perpustakaan, tapi dia tak biasa, dia takut untuk buat apa-apa.

“Aduh… mana benda aku nak tekan ni,” keluhnya perlahan.

Apabila masuk ke perpustakaan, dia biasa duduk di satu sudut dihujung lorong. Laptop usang di hadapannya terbuka, tapi hanya layar kosong yang menampilkan ikon Word tanpa internet.

Air matanya menitis perlahan.

“Kenapa aku rasa bodoh sangat….” bisik Amirah. “Ya Allah… aku nak siapkan kerja kursus je… susah sangat ke…”

Beberapa pelajar lain berjalan melepasinya, sekelilingnya masing-masing tekun menaip atau berbual tentang data, SPSS, dan jurnal. Amirah menunduk menahan rasa sebak, hiba, kecewa dan putus asa.

Saat dia hendak bangun, satu suara menegurnya.

“Awak okay?”

Amirah terkejut. Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an berdiri di sisi. Tag nama di bajunya tertera nama Nasir Ibrahim — Pustakawan UTM.

“Err… saya… saya okay,” jawab Amirah tergagap. Matanya berair.

“Saya perhatikan dari tadi awak termenung saja. Skrin komputer pun kosong. Boleh saya bantu?”

Amirah akhirnya membuka mulut.

“Saya… dari kampung. Saya tak pandai sangat guna komputer. Laptop ni pun tak boleh guna internet, hanya untuk menaip words sahaja. Saya nak cari jurnal tapi tak tahu macam mana. Saya malu, encik…”

Encik Nasir tersenyum.

“Tak apa. Ade je pelajar yang ada masalah macam awak ni. Saya boleh tunjukkan. Mari.”

Mereka duduk semula di hadapan PC yang disediakan perpustakaan. Perlahan-lahan, Nasir membimbingnya pencarian sumber menggunakan OCEAN (OPAC), bagaimana login ke Online Database langganan perpustakaan UTM seperti WOS, Scopus, Science Direct, Springer Link dan macam-macam lagi. Malah, dia juga membantu Amirah mencari artikel full text berkaitan tajuk perancangan tesisnya: Pengaruh Media Sosial terhadap Gaya Komunikasi Mahasiswa B40.

“Wah… banyaknya artikel!” Amirah kagum, baru hari ni dia nampak jalan untuk selesaikan bab satu dan dua. Sebelum ini dia terlepas menghadiri sesi orentasi perpustakaan kerana ingatkan kelas itu tak penting. Kalau tau, tentu dari awal dapat selesaikan masalah dia ni. 

“Ya. Awak hanya perlu tahu kata kunci dan bagaimana nak tapis hasil carian.” En Nasir menunjukkan teknik Boolean bagaimana menggunakan AND, OR, NOT semasa memadankan kata kunci. Dia turut mengajar cara menyimpan artikel, membuat sitasi dalam gaya APA, dan menggunakan Endnote.

“Oh… senang rupanya. Tapi tiada siapa pernah ajar saya begini,” kata Amirah perlahan. 

“Sebab itu kami di perpustakaan wujud — bukan hanya untuk pinjam buku, tapi bantu pelajar capai maklumat,” jawab Nasir sambil tersenyum kerana mendengarkan rungutan perlahan Amirah tadi.  

“Awak pernah hadir kelas pencarian maklumat tak awal semester tempohari? Macam rupa orang yang tak pernah hadir ni…  he..he “, Nasir saja mengusik kerana sudah menjadi kebiasaan pelajar yang tak tau menggunakan kemdudahan perpustakaan ini biasanya tak pernah hadir kelas perpustakaan.

Minggu demi minggu, Amirah menjadi pengunjung tetap perpustakaan. Dia lebih yakin. Beberapa rakan mula meminta bantuan daripadanya pula. Dari seorang yang tidak tahu membuka e-mel, kini dia sudah pandai menggunakan Turnitin menyemak % plagiat dan akhirnya di tahun dua dia berjaya membentangkan defence proposalnya dengan jaya. Panel kagum dengan kandungan literature review yang tepat serta dari pelbagai format. Kata salah seorang panel, ” Tahniah, sumber kukuh, research methodology yang dirancang juga mantap”.

Dua tahun kemudian…

Amirah telah tamat belajar, dia lulus cemerlang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Pendidikan UTM. Pagi itu adalah hari yang ceria buat Amirah, seawal 7.45 pagi lagi dia dah terpacak sabar menunggu di pintu pejabat perpustakaan. Satu surat tawaran di tangan — dia baru mendapat tawaran jawatan sebagai Pembantu Pustakawan Harian, satu skim bantuan kerajaan terhadap anak-anak lulusan universiti B40.

Pintu bilik diketuk.

“Masuk!” sahut satu suara.

Amirah masuk, senyum lebar.

Encik Nasir yang sedang menyemak dokumen mengangkat wajah. Namun wajahnya tiba-tiba berubah pucat.

“Amirah…?”

“Ya, saya. Encik yang bantu saya masa saya hampir putus asa dulu.”

“Allahu… saya tak sangka.”

“Kenapa, encik?”

Nasir menarik nafas panjang.

“Amirah… awak tahu tak siapa ibu awak?”

Amirah terdiam. Hatinya berdegup.

“Ibu saya… meninggal waktu saya kecil. Tapi saya tahu dia orang semenanjung. Ayah hanya cakap mereka kenal masa ibu datang buat satu program khidmat komuniti di Sabah.”

Nasir mengeluarkan satu gambar lama dari dompetnye.

“Ini gambar ibu awak kan?”

Air mata Amirah bergenang. Gambar berukuran pasport seperti gambar nak memohon lesen kereta di JPJ. 

“Itu… itu memang macam ibu saya!”

Nasir tunduk.

“Amirah… ibu awak, Nurain, Nurain Binti Ibrahim adalah kakak saya. Kami terpisah sejak dia berhijrah ke Sabah. Krisis keluarga yang berpanjangan menyebabkan kami terus terputus hubungan. Saya cuba mencari kak Nurin beberapa kali tapi gagal. Saya… saya bapa saudara awak, Amirah”

Amirah terkedu.

“Jadi… selama ini, encik….”

Nasir mengangguk. Suasana sunyi seketika.

“Allah telah temukan kita semula di tempat ilmu ini.”

Amirah menangis dalam pelukan bapa saudaranya. Segala keperitan hidupnya terasa terbayar.

Amirah kini telah setahun bekerja di perpustakaan UTM, bulan depan dia bakal mendaftarkan diri menyambung  pengajian sarjana dalam bidang Library and Information Science di UiTM Shah Alam. Dari seorang yang pernah ‘buta digital’, kini dia pula memberi bengkel kepada pelajar baharu tentang literasi maklumat.

Dan setiap kali dia melihat pelajar duduk termenung di sudut meja — dia tahu, mungkin itu permulaan kisah perubahan hidup seseorang, sama seperti kisahnya dahulu, semoga ada sinar di hujung lorong itu.

Menelusuri Rimba Penyelidikan: Diari Nakhoda

Menelusuri Rimba Penyelidikan: Diari Nakhoda

Drama 1: Minggu Pertama 

Minggu pertama saya di pejabat baru diibaratkan seperti memasuki hutan belantara yang sangat luas — rimbun dengan cabaran, lebat dengan harapan. Bangunan pejabat itu tidak ubah seperti kapal pengangkut yang bersedia menunggu nakhoda baru. Saya melangkah masuk ke pejabat dengan debaran di dada, bagai gendang perang yang dipalu bertalu-talu.

Sesi melapor diri dihujani dengan proses menerima pelbagai maklumat, daripada hal hal maklumat terhad hingga kepada maklumat kecil-kecil, semuanya diperincikan, umpama sebuah komputer riba teknologi i3 yang menerima fail -fail saiz besar sebesar 10 – 20 terra byte…  kadang-kadang semacam nak hang pun ada prosesor lama ni….

Sesi perjumpaan dengan staf turut memberikan gambaran yang lebih jelas berkenaan perjalanan seksyen ini, apa tugasan utama, siapa pelanggan utama, bagaimana keadaan seharian di pejabat dan macam-macam perkara yang dikongsi bersama dan paling penting adalah kerjasama, kehidupan disini umpama serai serumpun, kata salah seorang staf yang berkongsi cerita.

Saya hanya mampu tersenyum. “Banyak yang perlu dipelajari, perkara baru, dunia baru dan ilmu mereka bukan biasa-biasa”

Seketika kemudian, saya duduk termenung, memandang skrin komputer yang kosong. Sunyi. Tapi dalam sunyi itulah saya terdengar bisikan — bukan dari jin, tetapi dari hati saya sendiri.

“Wahai nakhoda, engkau bukan pelawat di sini. Engkau kapten kapal ini sekarang.”

Saya menarik nafas panjang. Jika ini bahtera yang perlu menempuh laut lepas, maka saya akan pastikan kita semua tidak karam ketika dipukul ombak dan badai, kita persiapkan kapal kita ini dengan kelengkapan yang paling baik, kita baiki engin kapal supaya mampu bertahan tekanan, permukaan kapal yang rapuh kita baiki dan perkemaskan dan ukhwah anak kapal jangan sesekali kita abaikan, kerana apa yang paling penting adalah kerjasama, kerjasama antara pasukan bakal memastikan kapal ini terus meluncur ke haluan yang ditetapkan.

Drama 2: Lambakan Pengesahan RADIS

Akhir tahun pun menjelma. Dan seperti biasa, sistem rekod penyelidikan menjadi seperti pasar malam hujung bulan: sesak, bingit dan penuh drama.

“Bos, ada lebih 1200 permohonan pengesahan penyelidikan tau yang baru dapat dan belum disahkan hujung tahun ni” makluman penyelaras agak cemas setiap kali akhir tahun.

Saya meneguk air liur. “Berapa?!”

“1205. Tepat. Boleh naik darah ni bos atau boleh pitam terus,” katanya sambil ketawa sinis.

Masa itu, saya terdiam. Rasa seperti dihentak batu. Tapi saya tahu, lari bukan pilihan. Jadi saya bangkit seperti pahlawan di medan perang, menghunus papan kekunci. Susun strategi memastikan target dicapai sebelum tarikh henti.

Hari-hari berikutnya menjadi maraton digital. Kami menjadi seperti kilang robot — menapis, menyemak, dan mengesah. Mujurlah semua staf dalam bahagian sama turut sama membantu kami bagi sama rata rekod dan kita cuba bantu percepatkan kerja pengesahan. 

Mata merah, kafein mengalir seperti sungai Amazon, dan sesekali kami bergelak ketawa besar walau cerita tak kelakar pun.

“Bos, internet down lagi bos. Semua tak boleh gerak ni”

Saya terpaku. Kaku. Sunyi menyelubungi bilik. Seolah-olah masa terhenti.

“Betul ke?” suara saya perlahan.

Penyelaras terdiam. Kemudian dia tersenyum. “Just Kidding Bos…… Saja nak tengok riaksi bos.”

Bunyi gelak meletus bagai mercun Tahun Baru. Fuh…  sambil tersenyum sama.. Sambil sepontan memberi amaran pada penyelaras “ Jangan dibuat lawak gini lagi, kang Ambulan yang sampai… ha ..  ha”…  kemudian kami semua ketawa semula…

Dalam semua kekalutan ini, saya belajar satu perkara: dalam tekanan, humor adalah ubat. Dan dalam bebanan, semangat pasukan adalah senjata paling ampuh.

Drama 3: Projek Citizen Science di Hutan Rekreasi UTM 

Projek Citizen Science ini ibarat membawa makmal keluar dari tembok batu, terus ke dada rimba. Matlamat kami mudah — libatkan komuniti dalam mendokumentasi biodiversiti, khususnya serangga dan tumbuhan herba tempatan. Tapi apa yang menanti kami di Hutan Rekreasi UTM bukan sekadar daun dan rerama — ia satu pengembaraan penuh teka-teki, gelak tawa dan peluh bagaikan hujan.

Kami tiba seawal pagi. Kabus masih menggantung malas di antara ranting pokok. 4 orang fasilitator  berdiri di depan peserta — kebanyakkannya staf dari institusi awam seluruh Malaysia.

“Baik, misi hari ini mudah. Cari, tangkap gambar dan kenal pasti serangga dan tumbuhan herba. Tapi ingat, kita bukan nak masak tomyam. Jangan rasa semua daun yang jumpa!”

Ketawa pecah di kalangan peserta.

Maka bermulalah pencarian. Ada yang berjalan seperti detektif, merangkak, mencangkung, mengintai di bawah daun.

Tiba-tiba…

“Prof.. Prof..   jumpa belalang warna biru!”

Prof menoleh. “Mana? Tunjuk!”

Peserta itu mengangkat bekas plastik. Dalamnya, seekor clip-on pen biru.

Prof tepuk dahi. “Itu pen kau lah…”

“Eh? Astaghfirullah… saya dah ambil gambar dah tadi…”

Ketawa sekali lagi meletus.

Tapi suasana bertukar serius bila kami mula mencari nama saintifik tumbuhan. Di hadapan satu pokok, tiga orang peserta berdiri dengan penuh kekaguman.

“Pokok ni wangi, daun dia macam lidah buaya. Mungkin… pokok Aloe Vera?”

Prof mendekat. “Itu pokok senduduk la…”

“Senduduk? Takkan la, daun dia macam… bersih, macam baru pakai pencuci muka.”

Prof balas, “Sebab tu orang buat ubat muka pakai senduduk.”

Masing-masing mengangguk seperti baru dapat wahyu. Tapi teka-teki tak berhenti.

Satu kumpulan lain pula bergaduh kecil.

“Aku kata ni daun kesum.”

“Tak, ni daun ketum!”

Prof Zaleha cepat-cepat campur tangan. “Jangan sebut kuat-kuat, nanti polis datang. Itu daun gelenggang.”

“Ohh… ingatkan daun ketum…”

Peserts kemudian menjumpai seekor serangga ganjil — badannya berbelang kuning-hitam seperti harimau mini. Semua mata terpaku.

“Ini… lebah?”

“Tak, mungkin tebuan tanah!”

“Bukan! Ini kumbang kura-kura. Jangan risau, dia tak ada lesen terbang.”

Ketegangan bertukar ketawa lagi.

Namun, tak semua mudah. Ada serangga bersembunyi di celah kayu reput, ada tumbuhan berbaur rupa dan bau. Seorang peserta hampir termuntah mencium daun “herba” yang rupanya daun tua berkulat.

Dan kemudian… langit mula mendung.

Langit yang tadi tenang bertukar wajah. Angin menyelinap perlahan, bagai memberi amaran.

“Prof, awan gelap dah datang.”

“Kita cepatkan sikit tugasan ye. Kalau hujan kita cari tempat berteduh ye.”

Tiga minit kemudian, langit pecah. Hujan turun lebat, tanpa salam. Baju kami lencun, kasut penuh lumpur. Tetapi tiada yang lari. Tiada yang minta balik. Sedangkan kawasan berteduh tak sampai 30 langkah. Malah seorang peserta sempat berkata:

“Serangga tak lari, kenapa kita nak lari?” 

Kami terus mendokumentasi, di bawah titisan hujan, kamera dibalut plastik, nota ditulis atas clipboard berselindung daun. Beberapa peserta meletakkan daun lebar atas kepala , pengganti topi yang tertinggal di khemah.

Akhirnya, selepas dua jam berperang dengan hujan, kami kumpul semula di dewan makan. Basah, letih, tapi penuh senyum.

Saya pandang mereka. “Kita tak dapat semua spesis, tapi kita dapat sesuatu yang lebih besar — iaitu kerja keras tak putus asa dan semangat kerja berpasukan.”