Perspektif Akademia : Kepimpinan Akademik di Institusi Pendidikan Tinggi
Kepemimpinan akademik merujuk kepada kepemimpinan dalam ruang lingkup akademik dan biasanya dalam konteks Malaysia adalah di institusi pendidikan tinggi. Pemimpin akademik bukan sekadar memimpin tetapi juga merupakan pelaksana dan pengamal aktiviti akademik dan juga sepatutnya dapat mempengaruhi rakan akademik yang lain untuk mencapai visi dan misi organisasi dengan memberikan sokongan, dorongan dan galakan kepada rakan akademik.
Berdasarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) – PPPM (PT) 2015-2025 dalam anjakan kedua, secara jelas menerangkan kepentingan kualiti kecemerlangan bakat kumpulan pendidik, penyelidik, pemimpin institusi dan kakitangan sokongan. Senario institusi pendidikan tinggi pada masa kini memerlukan respons yang pantas supaya pengurusan dilihat lebih cekap serta efisien dengan perubahan landskap bersifat global dengan rangkaian jaringan antara institusi merentas sempadan negara atas dasar hubungan dan kolaborasi ahli akademik, pelajar dan industri sebagai rakan penyelidikan. Peranan dalam menginstitusikan pengurusan bakat kepimpinan berasaskan kompetensi yang komprehensif di peringkat institusi pendidikan tinggi adalah digalas oleh Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Kementerian Pendidikan Tinggi.
Dalam teks ucapan perutusan tahun baharu 2023 Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Bin Nordin telah menegaskan kepentingan pemimpin universiti menjadi jurucakap utama institusi ilmu dalam isu nasional. Institusi pendidikan tinggi juga kini dianggap sebagai institusi yang berfokuskan kepada aspirasi negara di lokaliti ia ditubuhkan. Institusi pendidikan tinggi sebagai menara ilmu seharusnya menjadi rujukan untuk penyelesaian masalah ekonomi, sosial dan masyarakat setempat melalui aktiviti penyelidikan, pengajaran dan konsultasi. Universiti tidak boleh dilihat terasing dan ekslusif. Justeru itu, istilah memasyarakatkan universiti menjadi sinonim dengan perkembangan ini dan memperjelaskan universiti serta masyarakat saling memerlukan antara satu sama lain dan hasrat ini perlu diterajui oleh pemimpin akademik.
Sebagai contoh dalam konteks di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), pelaksanaan kerangka pengurusan bakat berasaskan kompetensi yang juga merupakan pelan tindakan dalam Pelan Strategik Universiti enVision 2025 (UTM). Menurut Naib Canselor UTM, Prof. Ts Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail antara agenda utama pelan strategik ini adalah mewujudkan ekosistem Tadbir Urus (Governan) UTM yang baik, tenaga kerja yang kompeten serta disokong oleh sistem digitalisasi dan automasi yang mantap akan dapat menyerlahkan prestasi dan dipandang tinggi oleh pelbagai pemegang taruh dan masyarakat. Dan salah satu teras strategik adalah untuk membangunkan bakat holistik bertaraf dunia untuk anjakan dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.
Pemimpin akademik juga perlu peka dengan limpahan maklumat dan kepesatan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), yang sedang mengubah landskap pendidikan tinggi dan seterusnya memberikan impak terhadap pendidikan generasi akan datang. Penggunaan istilah VUCA menggambarkan keadaan dunia yang tidak stabil (volatility), tidak pasti (uncertainty), rumit (complexity) dan kabur (ambiguity) iaitu terdapat banyak elemen dan pemboleh ubah yang perlu diambil kira dalam merancang atau membuat sesuatu keputusan atau pelaksanaan.
Membuat persediaan untuk beroperasi dalam persekitaran dunia VUCA ini sangat penting bagi para pemimpin akademik dengan melihat semula keupayaan masing-masing apabila mendepani persekitaran yang tidak menentu dan sentiasa berubah-ubah berdasarkan ciri-ciri VUCA. Sebagai contoh, program-program akademik secara Open Distance Learning (ODL) akan menjadi semakin popular di kalangan pelajar tanpa kehadiran di universiti. Adakah pemimpin akademik sudah bersedia untuk menghadapi situasi ini?. Malah pentadbir akademik perlu dapat membaca sentimen faktor kebolehpasaran dan keperluan semasa dunia pekerjaan hari ini sehingga memungkinkan pemansuhan atau pemberhentian kursus atau program yang tidak relevan yang seterusnya dapat mempengaruhi operasi dan penjawatan pensyarah akademik di bawah pentadbirannya.
Pemimpin akademik perlulah individu yang mampu membawa perubahan dan berani untuk memberikan impak perubahan pengurusan yang signifikan. Perubahan yang signifikan memberi maksud, perubahan yang sangat penting atau besar untuk menarik perhatian dan memberikan impak yang besar kepada organisasi. Seorang pemimpin akademik bukan sahaja perlu lebih bijak dalam menentukan “apakah” perubahan yang hendak dilakukan tetapi juga perlu berfikir “bagaimanakah” perubahan itu boleh dilakukan. Pemimpin akademik yang efektif perlu melakukan proses perubahan yang menyeluruh dengan nilai-nilai akademik sepertimana penyelidikan iaitu meliputi dari bermulanya peringkat mengumpul data dan maklumat (input), peringkat pelaksanaan (process), peringkat keluaran (output) dan akhirnya sehingga peringkat keberhasilan (outcome).
Sebagai satu contoh, bagaimana pemimpin akademik dapat memposisikan keseluruhan warga universiti bersama-sama untuk memperbaiki ranking universiti seperti QS World University Rankings dan melawan stigma negatif berkaitan ranking yang dilihat lebih berpaksikan dunia barat dan tidak membawa manfaat dalam konteks lokal dan masyarakat. Untuk menjadi universiti yang bersifat global, dapat menarik minat pelajar antarabangsa, maka `keterlihatan` sesebuah universiti juga dalam ranking akan menjadi salah satu faktor pelajar antarabangsa untuk menyambung pengajian. Selain itu, universiti yang disenaraikan dalam ranking dunia memberi lebih fokus kepada bidang penyelidikan dan penerbitan yang berkualiti bersifat global atau antarabangsa. Maka, kepimpinan akademik perlu merancang strategi bagaimana warga universiti dapat digerakkan dalam memperbaiki kualiti pendidikan dan penyelidikan yang seterusnya dapat memperbaiki rangking secara tidak langsung tanpa mengabaikan kesejahteraan atau ekosistem sedia ada.
Seterusnya, dalam konteks peningkatan kerjaya bakat kepimpinan akademik, apabila seseorang akademia dinaikkan pangkat dan berubah peranan daripada penyumbang yang lebih bersifat individu ke jawatan kepimpinan akademik, tugasan harian akan mengalami beberapa perubahan asas, baik dari segi praktikal sehari-hari dan juga daripada segi kesan emosi dan psikologi. Jika akademia menjadi pemimpin akademik untuk mengetuai organisasi atau jabatan yang pernah disertai, penetapan semula perhubungan mungkin diperlukan kerana hubungan sedia ada bersama-sama rakan-rakan sebelum ini boleh menjadi satu kekuatan atau juga menjadi satu titik kelemahan kepada pemimpin akademik tersebut.
Kepimpinan akademik yang berkesan menuntut sikap yang adil dalam layanan terhadap setiap ahli organisasi. Dengan hanya menyebelahi rakan-rakan lama yang lebih rapat atau digemari, bukan berasaskan kompetensi atau prestasi akan menghakis motivasi dan komitmen ahli organisasi tersebut. Ini mungkin memerlukan anda meletakkan jarak profesional antara anda dan ahli organisasi tertentu. Selain itu, pemimpin perlu tahu membezakan diri dengan ketua. Ramai orang boleh memegang jawatan ketua, tetapi tidak ramai yang mampu bergelar pemimpin. Antara yang paling jelas perbezaan tersebut adalah seorang ketua dia ialah individu yang sering ‘mahukan penghormatan’, tetapi seorang pemimpin, dia secara semulajadi atau autentik akan ‘mendapatkan penghormatan’ daripada orang lain.
John C. Maxwell yang merupakan seorang pakar kepemimpinan, membahagikan tahap kepemimpinan menjadi lima tahap iaitu setiap tahap tersebut akan dilalui oleh pemimpin dalam organisasi. Tahap tertinggi dikenali sebagai (Pinnacle – Respect) iaitu pemimpin ini memiliki pengikut yang sangat menghormati pencapaiannya sebagai seorang individu dan pemimpin yang luar biasa. Dalam perjalanannya ke tahap ini memerlukan masa, tenaga, dan komitmen yang luar biasa untuk sampai ke tahap ini. Contoh pemimpin akademik terkenal di tahap ini adalah negarawan seperti Profesor Diraja Dr. Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid.
Kepemimpinan Akademik sering dikaitkan dengan keilmuan dan berpengetahuan tinggi, kesarjanaan, memiliki sahsiah terpuji, berkemahiran tinggi dan mengamalkan pengurusan nilai yang profesional kerana masyarakat melihat universiti adalah tempat perkembangan ilmu pengetahuan. Pemimpin akademik yang berkesan adalah merupakan seorang pengamal pengajaran dan pembelajaran, penyelidik atau peneroka ilmu pengetahuan baru, pereka bentuk kurikulum, penilai, pembimbing (Mentor), pengkritik yang membina, pemikir dan perancang yang strategik dan pentadbir yang efektif dan profesional. Pemimpin akademik juga perlu tahu untuk mengadun dan menggunakan segala gaya kepimpinan mengikut keadaan dan situasi iaitu seperti gaya Autokratik, Demokratik, Laissez-faire dan Transformasi yang telah diperkenalkan oleh pakar psikologi Jerman-Amerika, Kurt Lewin.
Kesimpulannya, kejayaan seseorang pemimpin adalah terletak kepada corak kepemimpinannnya. Pemimpin yang boleh mempengaruhi orang lain maka pemimpin tersebut perlu menjadi seorang perancang strategik yang hebat. Proses perancangan perlu mantap dan mengambil kira faktor masa, kos, faedah dan nilai dalam membuat sesuatu keputusan. Perancangan yang baik haruslah boleh diterjemahkan dalam fasa pelaksanaan. Jika timbul sebarang masalah atau isu, pemimpin boleh menyelesaikan isu dengan menggunakan pendekatan baru, ilmu baru, kreativiti dan inovatif. Justeru itu, kecemerlangan, kelestarian dan kerelevanan bagi sesebuah institusi pendidikan tinggi adalah terletak peneraju pengurusan pentadbiran yang profesional yang bertunjangkan keilmuan dan kesarjanaan seseorang pemimpin akademik dalam menggerakkan semua ahli akademik serta staf untuk mencapai visi dan misi secara bersama.
Sekian, Terima kasih.
Penulis : Ts. Dr. Mohd Fadzil Bin Abdul Hanid, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia.