Category Archives: Uncategorized

Gadis Metal oleh Mohd Khairy Kamarudin

“Kau dah dengar belum lagu yang kita nak main waktu gig nanti? Nympethamine Fix dan The Death of Love. Jangan lupa, malam nanti kita ada praktis.” ujar Farid, ketua kumpulan ‘Spirit’. Band yang telah ditubuhkan sejak 2015, memainkan muzik bergenre metal. Walaupun bukan genre kegemaran Arys, namun pengalaman bermain muzik dengan pemuzik profesional sangat didambakan. Kedua-dua lagu yang dipopularkan oleh kumpulan Cradle of Filth, kumpulan metal dari England. Tempo yang tidak terlalu laju, tapi memerlukan teknik dan tempo yang tepat. Lebih mudah berbanding lagu-lagu rock kapak di Malaysia.
“Aku dah dengar dah. Nasib baik tak memerlukan solo dan riff gitar yang laju. Sempat lah aku study sikit. Aku dah beli dah gitar khas untuk gig kita, Ibanez RG321EX . Effect pun aku dah bikin bagi sound garang ala-ala Cradle of Filth. Harap-harap aku tak terkucil waktu perform,” rasa gementar mula bersarang. Kali pertama menjadi sessionist bagi lagu-lagu metal.
“InsyaAllah malam nanti aku datang studio. Bagi aku siapkan tugasan kumpulan aku, lusa nak kena hantar. Nanti aku kena kecam dengan groupmate assignment aku ni,” Arys tak melupakan tugasan hakikinya sebagai mahasiswa. Bermain muzik hanyalah sebagai mengisi masa lapang dan pendapatan sampingan. Sedikit sebanyak dapat membantu kehidupan di kampus.
“Tapi bro, lagu kita nak cover ni, ada suara perempuan dan keyboard. Band kau mana ada semua ni. Takkan kau nak aku nyanyi. Suara aku dah la kepit.” soal Arys sambil mengakui suaranya yang memang tak sedap.
“Kau datang je bro. Semua benda aku dah settlekan.”
***
“Ok guys, aku perkenalkan Arys, sessionist untuk gig kali ini. Aku ‘kutip’ dia dari waktu gig bulan lepas. Boleh pakai budak ni,” Arys diperkenalkan dan bersalaman bersama ahli kumpulan ‘Spirit’. Tidak berasa kekok kerana sering menjadi sessionist bagi mana-mana band. Lebih senang begitu daripada terikat daripada mana-mana band. Kali ini bermain untuk genre metal menggantikan pemain gitar utama yang ditimpa kemalangan.
“Kau ada tak baju warna hitam? Kau nak dressing macam mana nanti?” soal Farid.
“Aku dah beli kat bundle haritu. Cuma satu je aku minta, aku tak nak pakai gelang atau rantai. Boleh kan?” Arys sentiasa mengingatkan diri supaya tidak memakai perhiasan seperti wanita walaupun kerap melihat pemuzik-pemuzik memakai rantai atau gelang.
“Hai semua!” muncul seorang perempuan berambut panjang, berbaju hitam dan berkasut but. Menonjolkan diri sebagai seorang pemuzik metal.
“Safura?” Arys terkejut.
“Kau kenal ke bro?”
“Kenallah. Budak kos aku. Memang kalau nak pergi kelas, dressing macam nak pergi gig. Budak kelas aku gelarkan dia, ‘Gadis metal’.”
Safura hanya tersenyum. Sudah lali dengan kecaman rakan-rakan sekuliah. Tapi Safura mengambil sikap acuh tak acuh. Malas nak layan. Bukan jiwa untuk menjadi makcik bawang.
“Ayuh, kita jam!”
***
Gig berlangsung bermula tengah hari, sebanyak 20 band metal mempersembahkan lagu masing-masing atau cover. Untuk gig kali ini, Spirit memilih untuk cover lagu band lain. Persembahan band hanya berhenti sementara bagi menunaikan solat Asar, Maghrib dan Isyak. Sengaja Arys meminta supaya giliran persembahan selepas waktu Isyak. Arys malas nak tangguh-tangguh solat. Selepas tamat gig, boleh terus balik ke kampus dan tidur.
Sejak dari mula gig, Arys kerap memerhatikan Safura. Seorang gadis ceria yang meminati muzik metal. Kerap juga mereka bertentang mata. Tapi lekas dialihkan. Suasana bingit menghalang mereka untuk berbual.
Selepas mengakhiri persembahan, Arys lekas mengemas peralatan untuk segera pulang ke kampus. Banyak lagi tugasan yang perlu diselesaikan. Tambahan lagi, esok kuliah bermula jam 8 pagi. Takut terlajak tidur.
Safura menghampiri Arys, “Arys, aku nak nombor kau.”
***
“Arys, sebenarnya, aku ada benda nak cerita dengan kau ni,” luah Safura. Ajakan Safura untuk berjumpa di tepi tasik kampus agak mengejutkan. Walaupun sering terjumpa di kelas, hanya sekadar berbalas senyuman. Siapa yang berani nak tegur ‘Gadis Metal’ yang berpakaian seperti penyanyi band metal. Hanya bertegur sapa ketika tugasan kumpulan.
“Kau nak cerita apa? Aku tak berani lama-lama dengan kau ni. Nanti orang cakap, aku bercinta dengan ‘Gadis Metal’.”
“Kau ni, kisah sangat dengan orang lain. Kalau kau asyik nak dengar cakap orang lain, sampai bila-bila pun kau tak boleh pergi jauh. Duduk terkongkong dengan pandangan orang.”
Arys terkedu. Ya tak ya juga. Manusia kalau terlalu mendengar pandangan orang, makin sukar untuk ke hadapan. Dapat pula pandangan yang selalunya negatif.
“Aku rasa, aku nak berubah. Aku nak jadi seorang Muslimah yang baik.”
Rasa seperti tidak percaya. Seorang ‘Gadis Metal’ ingin berubah. Rasa kelakar pun ya juga. Namun Arys cuba menahan daripada ketawa.
“Kau tak sayang ke nak tinggalkan dunia ‘Metal’ kau ni? Lepas ni, kau layan nasyid. Tak kena langsung dengan kau.”
“Eh metal tu tetap metal. Aku suka muzik ni. Berdosa ke layan metal? Apa beza layan metal dengan layan lagu-lagu yang memuja perempuan, putus cinta dan mendayu-dayu? Lagu-lagu metal kebanyakannya berunsurkan semangat, persahabatan dan keamanan. Kau mesti pernah dengar lagu band As-Sahar. Album Intifada. Kau ada dengar ke ayat mendayu-dayu memuja perempuan? Takde kan? Aku rasa itu lebih baik daripada lagu-lagu yang merayu kasih perempuan. Geli aku.”
Ada betul kata-kata Safura. Memang Arys tak nafikan kebanyakan band ‘bawah tanah’ ini menghasilkan karya yang berlainan dengan umum. Ada semangat memberontak terhadap industri muzik yang mainstream. Lagu yang mendayu-dayu ini adalah keinginan pendengar. Mungkin lebih mengasyikkan bila dengar lagu cinta.
“Aku takde jawapan tentang itu. Aku layan semua jenis muzik. Tapi dengan bakat yang kau ada, kau hasilkanlah lagu-lagu yang berunsurkan ketuhanan macam Al-Farabi band. Mengajak orang berbuat kebaikan, menghargai persahabatan dan keamanan.”
Al-Farabi band tidak asing lagi kepada peminat muzik metal. Band yang bergenre ‘progressive metal, telah menghasilkan banyak lagu yang berunsurkan Islam. Walaupun tidak terlalu diketengahkan dalam arena yang lebih mainstream, tapi masih ada peminat.
“Betul juga apa yang kau cakap tu. Tapi, kau ada kenal sesiapa ke yang boleh bimbing aku? Aku dah lama tak solat dan mengaji,” sambung Safura.
“Aku tak kenal ramai ustazah. Apa kata kalau aku bawa kau pergi Pusat Islam. Mana tahu kot-kot ada ustazah yang boleh bimbing kau? Kau tau tak kat mana Pusat Islam?”
“Hak alah, kau ingat aku jahil sangat ke? Erk.. Kat mana ya?”
***
“Arys, aku nak cakap sikit dengan kau ni. Aku tengok kau selalu sangat keluar berdua dengan ‘Gadis Metal’ tu. Kau tak takut dosa ke? Berdua-duaan.” tegur Anuar, rakan sebilik Arys.
Arys tidak menjawab. Tahu dia bukan di pihak yang benar. Dalam diam mengakui kesalahannya. Walaupun keluar di tempat awam, tapi masih kelihatan berdua.
“Kau bercinta ke dengan dia?”
Arys masih lagi mendiamkan diri. Tidak tahu perasaan sendiri.
“Kau nak kahwin ke dengan perempuan macam tu? Ganas. Brutal. Kau kena ingat, kalau nak memilih isteri, kita perlu melihat kepada agamanya. Dengan gaya yang macam tu, aku tak rasa dia mempunyai latar belakang agama yang baik,” ulasan yang agak melampau daripada Anuar.
“Anuar, aku rasa tak adil kau cakap begitu. Manusia kan boleh berubah. Sedangkan badai mampu merubah pantai!” Arys cuba berhujah.
“Waktu kemuncak macam ni, kau rasa dia akan berubah? Kau pun satu. Sudah-sudahlah main muzik. Lagho semua tu. Melalaikan. Aku dah banyak kali ajak kau ke masjid, tak pernah langsung kau ikut. Kau rasa kau boleh ke bimbing dia?”
Tersentap!
Kata-kata yang sangat jujur dan menusuk. Tapi Arys tak marahkan Anuar. Apa yang dikatakan itu adalah benar. Tapi dalam diam, Arys selalu juga ke masjid cuma tak pernah terserempak dengan Anuar. Mungkin Anuar solat di bahagian depan. Orang macam Arys, mungkin layak solat di belakang.
“Dah lah, aku nak pergi masjid, esok ada qiamulail. Kau jangan tak bangun subuh pula!”
***
Arys termenung sambil menanti Safura yang berjanji untuk bertemu di tepi tasik. Tempat biasa mereka berjumpa. Tempat terbuka sama seperti pasangan-pasangan bercinta yang lain walaupun mereka tidak bercinta. Mereka berdua sangat menjaga batasan pergaulan.
Sudah hampir 30 minit Arys menunggu. Sudah hampir seminggu tiada khabar berita. Whatapps pun jarang-jarang. Cuti pertengahan semester yang pendek, Arys dan Safura memilih untuk tidak pulang ke kampung. Berhajat untuk mengulang kaji pelajaran memandangkan pada setiap minggu sesi pembelajaran Arys terlibat dalam aktiviti persatuan dan kelab.
“Assalamualaikum Arys.”
Arys menjawab salam dan terus menoleh. “Masya-Allah!” terkejut apabila melihat seorang gadis ayu memakai tudung litup, berbaju kurung dan berkasut but berwarna hitam. Safura!
“Wah, kau sudah berubah sekarang wahai ‘Gadis Metal’! Lawa juga penampilan begini. Apa mimpi kau ni? Tiba-tiba muncul macam bidadari ini? Kau memang suka sidai aku kat tasik ni ke?”
“Kau tak suka ke aku pakai macam ni? Aku cuba nak berubah. Alhamdulillah, aku sekarang banyak terlibat dengan aktiviti di Pusat Islam. Ramai ustazah bantu aku. Ajar aku mengaji, solat dan qiamulail. Aku dah pandai baca Al-Quran. Tak merangkak-rangkak lagi.”
“Habis tu, sebelum ni, kau baca Al-Quran merangkak ke? Bukan duduk?”
“Ah kau ni! Sebenarnya, aku nak beritahu, minggu depan aku nak balik kampung. Aku tak datang kuliah seminggu. Kalau kau rajin, kau tolonglah sign attendance aku.”
Sempat lagi meminta Arys membuat dosa. Satu kesalahan bagi seorang pelajar menandatangani kehadiran bagi pihak pelajar yang lain. Walaupun pensyarah tak tahu, tapi Allah tetap tahu.
“Tak kuasa aku! Kau balik sebab apa?”
“Mama nak kahwinkan aku.”
***
“Kau kenapa macam tak bermaya ni Arys?” soal Anuar yang baru pulang dari masjid. Berbaju Melayu dan berkopiah.
“Safura nak kahwin katanya. Emak dia suruh.”
“Baguslah begitu. ‘Gadis metal’ akhirnya bertemu jodoh. Takpelah. Bukan rezeki kau. Seorang anak perlu taat dengan perintah emak. Kau doakanlah dia bahagia. Lagi pun dia dah banyak berubah. Aku ada juga terserempak dengan dia. Dapat berubah dalam masa yang singkat. Betul-betul dia bermujahadah. Harap-harapnya, istiqomah. Doakanlah suami dia dapat terus membimbing dia. Kau janganlah sedih sangat. Tak rock la macam ni. Kalau betul kau sayangkan dia, kau doalah yang terbaik untuk dia.”
“Aku tak bercinta dengan dia. Tapi tak tahu kenapa aku perlu bersedih? Terima kasihlah Anuar. Yelah, aku cuba untuk tak sedih lagi.” Arys cuba untuk senyum walaupun terasa kelat.
***
“Selamat pengantin baru Safura!” Arys menegur Safura ketika habis kelas Managerial Accounting. Hadir sahaja tanpa memahami apa yang diajar. Kalau tak hadir, boleh dihalang masuk peperiksaan akhir.
“Eh, kau perli aku pula. Nanti jumpa di port biasa. Lepas asar. Aku ada cerita menarik ni.”
Pelik! Tapi untuk berjumpa dengan isteri orang, Arys rasa berdosa. Pada masa yang sama, Arys tak nak menghampakan Safura.
***
Arys tiba di tepi tasik. Kelihatan Safura sedang duduk di atas kerusi wakaf. Bertudung litup, menutup aurat dengan sempurna tetapi masih tidak meninggalkan kasut but hitam ala metalnya.
Selepas salam diberi, Safura memulakan bicara.
“Sebenarnya, aku tak jadi kahwin hari tu.”
“Kenapa?” Arys terus berdebar dan berbunga.
“Sehari sebelum aku diijab kabulkan, calon suami aku kena tangkap dengan Jabatan Agama Islam.”
“Eh, kenapa pula? Dia kena tangkap basah ke?”
“Lebih kuranglah. Dia kata dia nikah mut’ah dengan anak salah seorang pengikut Tuk Guru dia.”
Nikah mut’ah atau nikah kontrak dihalalkan oleh kelompok Syiah. Namun menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah, nikah ini adalah tidak sah dan haram. Malah amalan ini boleh merosakkan bangsa dan negara. Pernikahan ini hanya sekadar melafazkan hasrat untuk bernikah dalam tempoh tertentu dan dipersetujui oleh pasangan.
“Calon suami kau seorang Syiah ke?”
“Kalau tanya aku, mana aku tahu. Hanya yang layak sahaja macam Jabatan Agama Islam dan Mufti untuk mengklasifikasikan seseorang itu sebagai Syiah. Mujur aku tak sempat kahwin dengan dia. Alhamdulillah.”
Sedikit sebanyak melegakan hati Arys. Dalam diam Arys menyimpan perasaan kepada Safura, tapi dipendamkan kerana perlu fokus kepada matlamat hidup.
“Dan ada satu lagi aku nak beritahu. Calon suami aku yang kena tangkap tu, si Anuar, roomate kau!”
Satu berita yang mengejutkan!
“Aku tak bohong. Aku serius ni!”
“Tak guna punya kawan! Patutlah dia hantar whatapps kat aku sehari sebelum kau kahwin. Dia cakap jangan hubungi dia lagi. Siap block whatapps aku. Dia suruh aku doakan kau bahagia. Rupanya dia sailang buah hati aku.”
“Dah lah Arys, kita kawan macam biasa. Aku tak reti nak bercinta ni, lepas belajar nanti, kita kahwin terus. Nak Maghrib ni, kau kena rajin-rajin pergi masjid. Metal tu metal gak, solat jangan tinggal! Assalamualaikum.”

Sumber : https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3512590345473700&id=2323204294412317

Wasiat Wajibah

Wasiat wajibah merupakan salah satu kaedah pembahagian harta pusaka yang membolehkan waris-waris yang terdinding oleh waris-waris yang lebih hampir kepada si mati. Dalam konteks di Malaysia, wasiat wajibah diamalkan dalam bentuk wasiat kepada cucu-cucu si mati yang telah kematian bapanya sebelum kematian datuk atau nenek. Hal ini disebabkan cucu-cucu tersebut tidak mendapat bahagian kerana kewujudan bapa atau ibu saudara (adik-beradik bapa).

Rujukan

Muhamad Asni, M. F. A. H., & Sulong, J. (2016). Fatwa berhubung wasiat wajibah dan keseragaman peruntukkannya dalam fatwa negeri-negeri di Malaysia. Al-Qanatir International Journal of Islamic Studies, 5(1), 1–15. Retrieved from http://al-qanatir.com/index.php/qanatir/article/view/42

Temu bual separa berstruktur

Kenapa kita mengumpul data menggunakan kaedah temu bual separa berstruktur?

Temu bual separa berstruktur membolehkan penyelidik untuk menjana idea-idea dan soalan-soalan baru untuk ditanya kepada pihak yang ditemubual.

Temubual ini juga membolehkan penyelidik untuk memahami secara mendalam berdasarkan pengalaman pihak yang ditemubual (participant)

Rujukan

Ahmad Ramli, F. Z., Tilse, C., & Wilson, J. (2017). Qualitative interviewing of Malay caregivers: stigma and mental health problems of older adults. International Journal of Culture and Mental Health, 10(2), 127–135. https://doi.org/10.1080/17542863.2016.1259338

Pengenalan ilmu Faraid

Faraid berasal dari perkataan Arab iaitu kata jama’ kepada perkataan Faridhah yang bermaksud “yang ditakdirkan” atau “yang ditentukan.”

Ilmu faraid ialah ilmu pembahagian harta pusaka yang turut dikenali sebagai ilmu pewarisan atau ilmu tarikah. Ilmu ini merujuk kepada ilmu yang berkait rapat dengan harta peninggalan si mati.

Rujukan

Wan Abdul Halim Wan Harun. (2016). Pengurusan dan pembahagian harta pusaka. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur