An extract from the email that I received today:

Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia adalah pada 10 September setiap tahun berikutan komitmen yang diambil serata dunia untuk mencegah perbuatan bunuh diri, meningkatkan perhatian masyarakat umum mengenai masalah bunuh diri dan membantu ahli masyarakat untuk mencegah perbuatan bunuh diri pada ketika ini dan pada masa hadapan. 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati setiap tahun, satu juta orang akan meninggal dunia kerana membunuh diri, dengan anggaran purata sebanyak 3,000 kejadian setiap hari. Pusat Registri Bunuh Diri Kebangsaan Malaysia (NSRM-National Suicide Registry Malaysia) mendapati sekurang-kurangnya dua orang membunuh diri setiap hari dengan kadar purata 60 orang dalam sebulan. Fenomena bunuh diri di Malaysia kini didapati menyamai trend bunuh diri di AS. 

Golongan wanita didapati lebih banyak berfikiran membunuh diri bagaimanapun, golongan lelaki didapati berkebarangkalian tiga kali ganda berjaya membunuh diri. Sementara mengikut kajian Kementerian Kesihatan Malaysia, golongan muda merupakan kumpulan paling banyak melakukan cubaan membunuh diri kerana tekanan mental. Menurut Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), BeFrienders Kuala Lumpur, seramai 12.8% golongan muda seawal usia 16 tahun sudah berniat untuk bunuh diri kerana faktor kemurungan yang teruk.

Perkara ini berlaku adalah bukan disebabkan keengganan mereka untuk meluahkan perasaan kepada keluarga terdekat tetapi kebanyakan ibu bapa tidak merasakan masalah tersebut besar atau tidak mempercayainya. Golongan muda tidak tahu bagaimana untuk menghadapi masalah tersebut dan berasa sunyi kerana tiada pihak yang mengambil berat.

Menurut ahli psikologi Klinikal, Evelyn Soong, kebanyakan golongan muda yang murung tidak dapat menahan perasaan negatif yang menyelubungi diri mereka atas 3 faktor utama:

Pertama, keganasan rumah tangga yang menjejaskan emosi anak-anak dan berlarutan hingga mereka dewasa, tetapi dilihat sebagai sesuatu yang “normal” bagi pasangan terbabit. Pengalaman membesar dalam suasana “ganas” ini menyumbang kepada kemurungan yang dialami kanak-kanak sehingga mereka dewasa.

Kedua, kejadian buli siber yang dihadapi di laman sosial memberi kesan negatif berpanjangan seolah-olah mereka sentiasa diperhati atau diserang “musuh”.

Faktor ketiga ia kesan percanggahan antara imej serta pengalaman di dunia “virtual” di internet dengan dunia nyata menyebabkan ramai golongan muda keliru dan gagal membezakan antara kedua-duanya.

Perbuatan bunuh diri ini mampu dicegah dengan mengetahui faktor-faktor risiko dan mengenalpasti tanda-tanda amaran perbuatan membunuh diri. 

Faktor-Faktor Risiko Bunuh Diri 

  • Sejarah percubaan membunuh diri
  • Sejarah membunuh diri dalam keluarga
  • Penyalahgunaan bahan 
  • Kecelaruan mood (kemurungan, kecelaruan bipolar)
  • Mempunyai capaian kepada senjata berbahaya (seperti pisau dan senjata api di rumah) 
  • Kehilangan atau pelbagai situasi lain (contoh, putus hubungan, kematian, penceraian, kegagalan akademik, kesulitan undang-undang, kesulitan kewangan, dibuli)  
  • Penyakit fizikal yang kronik, termasuklah kesakitan kronik
  • Pendedahan kepada tingkah laku bunuh diri orang lain

Tanda-Tanda Amaran Bunuh Diri

  • Sering bercakap atau menulis mengenai kematian atau bunuh diri
  • Memberi komen mengenai diri yang putus harapan, tidak berdaya atau tidak berguna
  • Ekspresi mengenai tidak mempunyai sebab untuk meneruskan hidup; tiada matlamat dalam hidup; bercakap perkara seperti “adalah lebih baik sekiranya saya tidak wujud dalam dunia ni” atau “saya mahu keluar dari kehidupan sebegini”
  • Penggunaan alkohol, dadah atau pil secara berlebihan 
  • Penarikan diri dari rakan-rakan, keluarga dan masyarakat atau aktiviti sosial
  • Peningkatan tingkah laku atau aktiviti berisiko, tanpa berfikiran panjang 
  • Perubahan pada mood secara dramatik
  • Bercakap mengenai perasaan terperangkap atau merupakan beban kepada orang lain
  • Hilang minat terhadap kerjaya, akademik atau hobi
  • Memberi barangan peribadi yang sangat disayangi kepada orang lain
  • Kehilangan minat terhadap penampilan diri secara drastik

Pemerhatian serta kes-kes yang diterima menunjukkan berlaku peningkatan pemikiran dan percubaan membunuh diri dalam kalangan pelajar UTM terutama generasi terkini. Oleh kerana itu pihak Pusat Kaunseling memohon keprihatinan warga UTM sekiranya dikenalpasti terdapat tanda-tanda bunuh diri seperti mana yang dinyatakan di atas untuk membantu para pelajar atau staf untuk mendapatkan bantuan dengan kadar segera sebelum terlambat. Keprihatinan dan kesegeraan anda dalam perkara ini mampu menyelamatkan nyawa!!      
Sekian, didahulukan dengan terima kasih.

“Berkhidmat Untuk Negara Kerana Allah”

Admin Pusat Kaunseling UTM

03-2615432607-5536666/6677