Assalamualaikum & Salam Sejahtera

Graduan yang ideal adalah graduan yang mempunyai atribut dan personaliti yang terpuji. Graduan ini bukan sekadar memenuhi kehendak industri, malah apa yang lebih mustahak adalah turut diperlukan oleh masyarakat sejagat. Bagi melahirkan graduan ini, semua lapisan tenaga kerja kampus perlu memastikan graduan dilengkapi dengan atribut tertentu sebelum mereka menamatkan pengajian. Antara atribut tersebut adalah kemahiran berkomunikasi secara verbal dan non-verbal, berkebolehan dalam berforum dan berdebat, keupayaan berfikir secara inovatif, kesarjanaan, kemahiran penyesuaian diri (intrapersonal dan interpersonal), berkebolehan melontarkan idea yang inovatif, mempunyai semangat kebangsaan dan agama. Kita acapkali mendengar rungutan daripada masyarakat berkenaan graduan pada masa kini yang lemah kemahiran berkomunikasi dan berfikir secara kreatif walaupun mempunyai kemahiran teknikal dan professional. Pada pendapat saya, kita tidak boleh menyalahkan graduan secara total. Oleh itu, sebagai staf akademik, suka saya untuk tanamkan atribut ini kepada mahasiswa sepanjang tempoh pengajian mereka melalui proses pengajaran dan pembelajaran. Atribut ini secara umumnya boleh dicapai melalui pembudayaan ilmu. Tidak dapat dinafikan, kesemua atribut ini sukar dikuasai dengan masa yang singkat, namun saya percaya bahawa usaha kolektif daripada semua warga kampus secara berterusan dapat mencapai matlamat menyamai atribut ini kepada mahasiswa. Membudayakan ilmu di kampus merupakan komponen yang penting bagi membentuk mahasiswa yang mempunyai atribut tersebut. Program membudayakan ilmu seperti forum dan syarahan dapat memberi peluang kepada mahasiswa untuk mengasah kemahiran komunikasi serta kesarjanaan. Program ilmu seperti ini perlu menjadi kelaziman di kampus kerana dapat menyemarakkan fungsi kampus sebagai medium percambahan dan pertukaran ilmu.

Istilah insentif membawa maksud sesuatu yang berupa kebendaan atau tidak yang diberikan atau ditawarkan sebagai dorongan atau galakan. Adanya insentif, kita menjadi bertambah semangat dalam mencapai tugasan tertentu. Pemberian ini dibenarkan disisi undang-undang. Namun begitu, perlu difahami bahawa insentif dan bermacam faedah tidak seharusnya menjadi fokus dan matlamat yang utama. Kita harus menghayati tujuan keberadaan kita di kampus ini. Saya berpendapat bahawa insentif dan anugerah akan diperolehi jika kita menjalankan tanggungjawab dengan cemerlang tanpa perlu mengejarnya. Jika diberi insentif dan anugerah, kita harus menerimanya dan menaggap pemberian tersebut sebagai bonus untuk kita terus berkhidmat untuk universiti. Tetapkan matlamat ‘Kerana Tuhan Untuk Manusia’ dan saya yakin bahawa rezki akan kita perolehi di pengakhirannya.

Integriti merupakan nilai teras UTM yang menjadi tunjang utama untuk semua lapisan warga kampus mematuhi kepada nilai-nilai moral dan prinsip etika. Dalam medium yang terhad ini, saya ingin memfokuskan tentang masa dalam bekerja yang mempunyai kaitan dengan integriti. Muthakir ini, telefon pintar tidak boleh dipisahkan daripada berada di tapak tangan kita. Kita telah terikat dengan pelbagai aplikasi di dalam telefon pintar seperti WhatsApp, Facebook, Instagram dan platform media sosial yang lain. Tidak dinafikan bahawa aplikasi ini sangat bermanfaat dalam kehidupan seharian. Walaubagaimanapun, masa penggunaannya haruslah dihadkan. Penggunaannya tidak boleh sehingga mengganggu fokus kita terutamanya semasa proses pengajaran, penulisan bahan ilmiah dan penghasilan idea yang inovatif. Kesemua aktiviti ini memerlukan minda yang fokus tanpa sebarang gangguan daripada telefon pintar. Apabila mendapat notis dan pesanan baru, kita menjadi resah gelisah jika tidak melihat kandungannya. Gangguan ini, walaupun sekadar menyemak e-mel, akan menyebabkan kita hilang fokus dan tiada masa untuk berfikir secara krtitis dan kreatif. Janganlah melebihkan masa penggunaan telefon pintar sehingga mengurangkan kualiti keberhasilan kerja. Pada hemat saya, gangguan ini telah mendedahkan kita kepada soal integriti kerja. Oleh itu, bersama kita mengawal masa penggunaan telofon pintar sbelum ia mengawal kehidupan kita. Hasilnya, kita dapat meningkatkan tahap produktiviti kerja yang tinggi dan efisien.

Kesimpulannya, kita perlu menghayati misi, visi dan falsafah universiti supaya mempunyai matlamat yang jelas dalam membawa kebaikan kepada semua. Petunjuk Amal Utama tersurat dan tersirat boleh dijadikan rujukan supaya segala tugas kita selari dengan matlamat universiti.