Dr Nik: Tahniah kepada Madhi kerana telah menerima anugerah Best Postgraduate Student Award dalam Konvokesyen kali ini. Boleh Madhi terangkan mengenai bidang pengajian Sarjana/penyelidikan?
Madhi: Terima kasih Dr. Nik. Alhamdulillah ini semua atas bantuan Dr. Nik Ahmad Nizam, Prof. Dr. Wan Zahari dan staf-staf di Institut Veterinar Malaysia (IVM) Kluang Johor. Bidang pengajian Sarjana (Penyelidikan Sepenuh Masa) saya yang bertajuk “Effect of clinoptilolite supplementation on the nutritive values of selected feedstuff for growing beef cattle” iaitu mengkaji kesan klinoptilolit samada ditambah atau tidak pada bahan makanan ternakan terhadap nilai-nilai nutrien terpilih iaitu: pelepah kelapa sawit (OPF), hampas isirong kelapa sawit (perah asak) (PKE), hampas isirong kelapa sawit (PKC), dedak (RB), sekam padi (RH), jagung (MZ), kacang soya (SOY) dan Leucaena leucocephala (LEU). Lima tahap perbezaan klinoptilolit (0-5%) telah ditambah pada makanan ternakan yang terpilih dan kesan ke atas nilai-nilai nutrien telah dipastikan iaitu: bahan kering (DM), jumlah nitrogen (N), protein kasar (CP), lemak kasar (EE), serabut kasar (CF), jumlah abu (ASH), kalsium (Ca) dan fosforus (P) yang menggunakan kaedah piawai AOAC. Ekstrak tanpa nitrogen (NFE) telah dikira dengan menolak jumlah peratusan kelembapan, Ash, CP, EE, dan CF dengan 100 peratus, manakala jumlah nutrien tercerna (TDN) dan tenaga metabolisma (ME) telah dikira dengan satu persamaan regresi. Pelbagai sampel menunjukkan pelbagai kesan ke atas nilai-nilai nutrien mengikut tahap kandungan klinoptilolit. Walau bagaimanapun, dalam penilaian keseluruhan, tahap peningkatan penambahan klinoptilolit menunjukkan peningkatan pada DM, Ca, P dan kandungan abu, sementara itu pengurangan di dalam jumlah N, CP, EE, CF, NFE, TDN dan ME. Penambahan klinoptilolit menunjukkan perbezaan yang ketara dalam nilai pemakanan diet (RUM 1 – RUM 5) yang diformulasikan berasaskan sumber makanan terpilih. Diet yang sesuai dan praktikal untuk lembu daging yang semakin membesar telah dianalisis secara kimia dan secara statistik (ANOVA sehala), mencadangkan RUM 3 dan RUM 4 adalah sesuai untuk dirumuskan dengan menggunakan bahan-bahan buangan pertanian. Kajian ini bagi membantu penternak untuk memilih makanan yang ditambah dengan klinoptilolit bagi memberikan kesan yang terbaik kepada haiwan mereka.
Dr Nik: Apakah aktiviti-aktiviti yang Madhi jalankan semasa dalam pengajian sarjana yang membolehkan Madhi mendapat anugerah ini.
Madhi: Pelbagai aktviti yang saya jalankan semasa dalam pengajian Sarjana termasuklah bidang akademik atau kokurikulum. Aktiviti saya dalam bidang akademik iaitu menyertai persidangan dan pembentangan kertas kerja dalam negara mahupun antarabangsa. Antara persidangan dan pembentangan kertas kerja yang telah saya sertai ialah:
1. W Mohd Madhi W Abdullah, Niza Syafiqah Hamzah, Noor Hidayah Dzkulfli, Nik Ahmad Nizam Nik Malek and Wan Zahari Mohamed. Effect of Clinoptilolite Supplementation on the Nutritive Value of Oil Palm Fronds. 2nd International Science Postgraduate Conference (ISPC 2014), UTM Skudai, Johor, 10-12 March 2014.
2. W Mohd Madhi W Abdullah, Nik Ahmad Nizam Nik Malek, Niza Syafiqah Hamzah, Noor Hidayah Dzkulfli, and Wan Zahari Mohamed. Comparison the Effects of Clinoptilolite Supplementation on the Nutritive Value of Rice Bran and Rice Husk. Johor Biotechnology Conference and Exhibition (BIO JOHOR 2014), Persada, Johor, Malaysia, 25-27 August 2014.
3. Nik Ahmad Nizam Nik Malek, Niza Syafiqah Hamzah, Noor Hidayah Dzkulfli, W Mohd Madhi W Abdullah and Salehhuddin Hamdan. Effects of Natural Zeolite (Clinoptilolite) with Urea on Growth of the Amaranthus gangeticus, Clinachantus nutans and Capsicum annuum. Jurnal Teknologi (Science & Technology) 68:1 (2014), 141-145.
4. Nik Ahmad Nizam Nik Malek, Niza Syafiqah Hamzah, Noor Hidayah Dzkulfli, W Mohd Madhi W Abdullah, Salehhuddin Hamdan and Mohamad Subhi Mohamad Musuri. Effects of Natural Zeolite (Clinoptilolite) with Urea on Growth of the Amaranthus gangeticus, Clinachantus nutans and Capsicum annuum. 4th International Conference and Workshops on Basic and Applied Sciences and Regional Annual Fundamental Science Seminar 2013 (ICOWOBAS-RAFSS 2013), Johor Bahru, Malaysia, 3-5 September 2013.
5. Niza Syafiqah Hamzah, Noor Hidayah Dzkulfli, W Mohd Madhi W Abdullah, Nik Ahmad Nizam Nik Malek and Salehhuddin Hamdan. Effect of Ammonium-Clinoptilolite on the Growth of Amaranthus gangeticus. 2nd International Science Postgraduate Conference (ISPC 2014), UTM Skudai, Johor, 10-12 March 2014.
6. Niza Syafiqah Hamzah, Nik Ahmad Nizam Nik Malek, Noor Hidayah Dzkulfli, and W Mohd Madhi W Abdullah. Effect of NPK-Organo-Zeolite on the Growth of Okra (Abelmochus Esculentus L.). Johor Biotechnology Conference and Exhibition (BIO JOHOR 2014), Persada, Johor, Malaysia, 25-27 August 2014.
7. Noor Hidayah Dzkulfli, Nik Ahmad Nizam Nik Malek, Niza Syafiqah Hamzah, and W Mohd Madhi W Abdullah. Effects of NH4-Clinoptilolite on Growth of Clinacanthus nutans. Johor Biotechnology Conference and Exhibition (BIO JOHOR 2014), Persada, Johor, Malaysia, 25-27 August 2014.
Selain aktiviti penyelidikan, saya juga aktif dengan aktiviti berpersatuan dan aktiviti di kolej kediaman. Berikut merupakan penglibatan sepanjang pengajian sarjana saya dari September 2012- September 2014:
• Sekretariat sempena Pertandingan “Enactus Malaysia National Cup (EMNC)” 2014.
• Peserta dalam program “Global Exposure in Academic and Culture Exchange at Osaka and Kyoto, Japan” (Ge-Jec’14), 31 March-6 April 2014
• Ketua Unit Sponsor untuk Program “Menyelusuri Budaya Melayu di Riau” 2014.
• Peserta dalam Program “Menyelusuri Budaya Melayu di Riau” 2014. Universitas Riau, Indonesia.
• Ketua Operasi untuk Minggu Transformasi Mahasiswa (MTM) Program Ekspress UTM-MARA Sesi 2013/2014.
• Sekretariat sempena Pertandingan “Enactus Malaysia National Cup (EMNC)” 2013.
• Fasilitator Kem Kepimpinan Tun Razak 2013.
• Pembentang dalam seminar Fiqh, Science and Technology, anjuran Fakulti Tamadun Islam UTM, 2013.
• Peserta dalam program ACS/IKM Skill Workshop for Young Malaysian Scientists and Engineers.
• Penceramah untuk program “First Year Experience (FYE)” Faculty of Science UTM.
• Ketua Kumpulan and Pembentang bagi SIFE UTM sempena Maybank-SIFE Malaysia National Exposition 2012.
• Atlit dalam sukan Squash sempena UTM Games 2012
• Fasilitator untuk Kursus Kefasilitatoran (KARAN’12) Kelab Pembimbing Rakan Siswa Kolej Tun Razak.
• Fasilitator untuk Kem Kepimpinan Tun Abdul Razak , Program Terapi Matematik, Program Kembara Aspirasi Ilmu, Kem Kemahiran Fasilitator and Program Eksplorasi Ilmu 2012.
Bagi saya, seorang pelajar yang luar biasa hebat, tidak seharusnya berjaya dalam akademik semata-mata, tetapi ianya perlulah seimbangkan dengan aktiviti berpersatuan, kelab dan kemasyarakatan. Program-program yang saya sertai ini adalah satu proses untuk membentuk diri saya supaya lebih sedia kelak dan dapat mendidik saya di alam pekerjaan kelak. InsyaAllah.
Dr Nik: Apakah rahsia kejayaan Madhi dan boleh Madhi kongsikan tips mencapai kejayaan kepada pelajar-pelajar lain?
Madhi: Saya juga seperti pelajar lain, tiada rahsia yang saya ciptakan untuk diri sendiri. Tetapi saya mempunyai target yang harus saya capai iaitu masa pengajian saya. Untuk pengajian sarjana saya ini, saya di taja di bawah skim Academic Trainee, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan mendapat biasiswa Skim Latihan Akademik Bumiputera (SLAB) daripada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Jadi, saya telah diberi masa selama 19 bulan (1tahun 7 bulan) untuk menamatkan pengajian saya. Akibat masa dan kontrak tersebut, hal ini telah memaksa dan manjadi semangat untuk saya bagi menghabiskan pengajian saya dalam tempoh yang telah ditetapkan. Saya tertarik dengan kata-kata ini:
“If there is no movement or sense of urgency, you will not get anywhere or go very far”
Saya rasa betul dengan kata-kata di atas ini dan saya telah berjaya melakukannya. Alhamdulillah, saya berjaya menghantar tesis awal dua bulan sebelum tarikh akhir pengajian saya. Bagi kebanyakan pelajar sarjana penyelidikan sepenuh masa yang seperti saya, kita mempunyai objektif yang hendak kita capai dalam kajian, tapi kita tiada tempoh yang ditetapkan untuk pengakhiran pengajian kita. Masing-masing mempunyai jadual kerja yang hanya kita sendiri yang faham akan kerja tersebut. Jadi, bagi saya kita seharusnya “Push to limit” untuk kita siapkan dalam masa yang telah kita tetapkan. Tiada sesiapa yang boleh memaksa kita untuk menghabiskan pengajian kita kecuali diri kita sendiri. Bagi kebanyakan pelajar penyelidikan, MASA adalah godaan untuk kami, tiada kelas, tiada ujian, tiada assignment, semuanya bergantung pada kajian masing-masing. Tercapai semua objektif yang telah ditetapkan maka siaplah kajian yang kita lakukan. Menyiapkan kerja makmal adalah satu dugaan yang besar tetapi menyiapkan tesis juga merupakan ujian untuk semua.
Saya mengambil masa lebih kurang 2 bulan untuk menyiapkan tesis saya dengan cara saya yang tersendiri. Saya akan menulis seawal jam 5 pagi setiap hari dan berhenti pada jam 12 tengahari, manakala pada waktu petang saya akan menyusun data (Chapter 4), dan menyambung semula penulisan saya dari jam 8 sehingga 12 malam. Begitulah rutin saya setiap hari bagi mempercepatkan tempoh menyiapkan tesis ini akibat kekangan masa yang diberikan. Kita hanya perlu push to limit pada masa itu, kerana tempohnya hanya seketika, selepas itu kita boleh rehat selamanya. Perkara paling penting juga dalam pembelajaran kita ini, jangan lupa juga memohon petunjuk dan bantuan dari Allah s.w.t. supaya mempermudahkan urusan pengajian kita semua, selalunya solat hajat dan memohon doa kedua orang tua kita supaya urusan kita dipermudahkan. Tiada seorang pun yang akan berjaya dengan duduk diam, dan setiap yang berjaya mempunyai cerita mereka tersendiri. Semoga kita terus istiqamah dalam menuntut ilmu sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.
Dr Nik: Apakah agenda hidup Madhi pada masa sekarang dan apakah yang akan dicita-citakan pada masa aka datang.
Madhi: Selepas menamatkan pengajian saya di peringkat sarjana pada September 2014 yang lepas. Bulan Oktober 2014, saya telah menyambung pengajian saya di peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Kimia Makanan yang lebih mengkhususkan kepada Pembangunan Produk Halal di Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH), Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang Selangor. Pengajian saya telah ditaja oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dibawah biasiswa Skim Latihan Akademik IPTA (SLAI) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). InsyaAllah selepas menamatkan pengajian saya di peringkat PhD nanti, saya akan terus balik berkhidmat sebagai Pensyarah dalam bidang kimia makanan di Jabatan Kimia, kulliyyah Sains, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan.
Dr Nik: Tahniah sekali lagi saya ucapkan. Sebelum temubual ini berakhir, ada ucapan yang ingin diberikan kepada sesiapa atas kejayaan ini.
Madhi: Pertama-tamanya, segala pujian hanya bagi Allah, Tuhan Yang Maha Esa, selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Kami memuji-Nya, dan memohon pertolongan-Nya, dan meminta ampun kepada-Nya. Tanpa belas kasihan dan rahmat-Nya, saya tidak akan mempunyai kekuatan dan masa untuk menyiapkan tesis sarjana ini.
Dikesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga ke kepada penyelia saya, Dr. Nik Ahmad Nizam bin Nik Malek, atas ilmu, masa, jasa, pengorbanan dan kesabaran dalam menyelia, mendidik dan memberi galakan ke arah menyiapkan tesis sarjana ini. Saya juga amat berterima kasih kepada penyelia bersama iaitu, Prof. Dr. Wan Zahari bin Mohamed (UMK) dan Dr. Salehhuddin bin Hamdan untuk bantuan, nasihat dan motivasi sepanjang program sarjana saya. Semangat dan motivasi yang tinggi dari mereka semua secara berterusan dan bimbingan telah membuatkan tesis ini berhasil dijilidkan. Alhamdulillah.
Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada kakitangan di Institut Veterinar Malaysia, Kluang Johor khususnya kepada semua kakitangan di Makmal Makanan Haiwan, Jabatan Perkhidmatan Haiwan kerana membantu, menyediakan bekalan/alatan yang diperlukan, maklumat, persekitaran kerja yang kondusif sepanjang kerja makmal dan latihan sangkut saya disana.
Tidak lupa juga kepada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan Jabatan Kimia, Kulliyyah Sains, UIAM Kuantan kerana memberi peluang cuti belajar dan biasiswa sepenuh masa di bawah skim SLAB UIAM.
Penghargaan yang tidak terhingga saya kepada keluarga tercinta saya, W Abdullah bin W Ahmad (Ayah) dan Nazilah binti Ali (Mak) serta adik-beradik saya dan juga kepada semua rakan-rakan yang banyak menyokong dan membantu saya dikala senang dan susah. Tanpa mereka semua, mungkin ijazah sarjana ini tidak mampu saya miliki pada hari ini. Buat semua warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM), pihak pentadbir, Sekolah Pengajian Siswazah (SPS), pensyarah-pensyarah, pembantu makmal, staf sokongan dan semua warga Fakulti Biosains dan Kejuruteraan Perubatan (FBME) yang telah menyediakan peluang dan sumber untuk pelajarnya dalam menyiapkan penyelidikan ini. Kehadiran mereka semua telah membawa kehidupan kampus yang berwarna-warni dan suasana yang lebih gembira sepanjang pengajian saya. Akhir sekali, buat semua yang telah membantu saya secara langsung atau tidak langsung dalam menyiapkan kajian ini, ribuan terima kasih saya ingin merakamkan. Kejayaan saya ini adalah kejayaan anda semua. Terima kasih.
Dr Nik: Terima kasih diatas kesudian Madhi untuk memberikan input yang berguna dalam temubual ini, semoga ianya menjadi panduan kepada pelajar-pelajar master atau PhD diluar sana yang sedang dalam pengajian. Saya boleh simpulkan disini bahawa pengajian master/PhD bukanlah untuk menghasilkan tesis semata-mata tetapi perlu diseimbangkan dengan semua aktiviti-aktiviti yang boleh meningkatkan kemahiran generik/insaniah seperti yang Madhi dah lakukan. Saya doakan semoga Madhi akan terus cemerlang pada masa akan datang dan teruskan perjuangan mendapatkan PhD dengan cemerlang. Dan juga, tingkatkan kemahiran insaniah sebelum bergelar pensyarah kerana selepas habis PhD dan bekerja, kemahiran insaniahlah yang banyak membantu kehidupan seterusnya.