Sila perhatikan tempat dimana anda bekerja terutamanya meja atau ruang dimana anda sering menggunakan untuk menjalankan penyelidikan atau eksperimen. Adakah ruang tempat anda disusun dan dikemas dengan baik? Adakah meja tersebut dipenuhi dengan benda-benda yang tak berguna? Adakah ianya sarat dengan barang-barang, kertas-kertas, alat-tulis dan sebagainya? Adakah barang-barang yang sering digunakan sukar untuk ditemui dan sukar diambil? Sekiranya jawapan kepada semua persoalan ini adalah ya, anda perlu mengubah sikap anda dan cuba untuk menyusun dengan teratur kawasan dimana anda bekerja.

Apakah kaitan antara tempat kerja yang tersusun dengan motivasi dalam menjalankan penyelidikan? Kaitannya sangat mudah, apabila sesuatu tempat untuk menjalankan penyelidikan disusun dengan rapi, tekanan kerja akan dapat diminimumkan dan dikurangkan. Apabila tekanan kerja dikurangkan, seseorang itu akan berasa lebih tenang dan dapat memikirkan perkara yang ingin dilakukan dengan baik. Dengan pemikiran yang sebegini, tindakan seseorang itu akan lebih teratur. Sekiranya meja atau tempat anda bekerja dalam keadaan baik, anda sebenarnya telah mengurangkan tekanan kerja anda dan seterusnya dapat menjalankan kerja penyelidikan dengan baik.

Walaupun perkara ini nampak mudah dilaksanakan tetapi realitinya, menyusun tempat kerja dengan teratur sukar diamalkan dan sukar diamalkan secara konsisten. Keadaan ini biasanya berlaku bagi penyelidik yang mempunyai tahap pemikiran yang rendah dikawasan B (Rujuk Seksyen Kenali Personaliti Diri) dan juga bagi mereka yang terlalu sibuk dengan berbagai-bagai tugasan. Oleh yang demikian, satu teknik yang sesuai digunakan dan diamalkan oleh para penyelidik bagi memastikan tempat menjalankan dan menguruskan penyelidikan disusun dengan baik ialah amalan 5S.

Amalan 5S iaitu Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa amal sebenarnya diambil daripada Jepun yang bertujuan untuk memastikan tempat bekerja berada dalam keadaan tersusun, selesa, kemas dan selamat dan yang paling utama sekali ialah bagi memastikan proses kerja dapat dimudahkan. Begitu juga dalam menjalankan penyelidikan, sekiranya anda melakukan eksperimen, anda perlukan tempat yang tersusun dan kemas supaya eksperimen yang dijalankan dapat dimudahkan dan menjurus kepada hasil yang baik.

Mengikut Panduan Amalan 5S yang disediakan oleh pihak kerajaan Malaysia, ianya terlalu kompleks dan sesuai bagi mereka yang bekerja dalam pejabat. Akan tetapi, kaedah yang mudah dan ringkas berdasarkan elemen 5S ini boleh dipraktikkan semasa menjalankan penyelidikan tidak kira samaada anda sedang melakukan eksperimen dimakmal atau sedang menulis laporan penyelidikan dihadapan komputer. Jadual disebelah menunjukkan penerangan mengenai setiap elemen dalam 5S yang anda boleh ikuti.

Anda boleh mengamalkan amalan 5S ini secara tersendiri mengikut kaedah yang sesuai untuk dilaksanakan. Sebagai contoh, setiap kali habis kerja eksperimen, saya akan memastikan perkakas-perkakas makmal disimpan dalam bakul dan disusun elok-elok. Bakul tersebut pula dibahagikan kepada beberapa fungsi atau keadaaan seperti perkakas yang perlu dibasuh, perkakas yang sudah dibersihkan, sampel-sampel kajian, bahan kimia yang ingin digunakan dan berbagai-bagai lagi mengikut fungsinya yang tertentu. Dengan cara ini ia memudahkan saya untuk menggunakan perkakas yang ingin digunakan semasa menjalankan eksperimen dan juga tempat kerja menjalankan eksperimen dimakmal akan sentiasa dalam keadaan kemas dan tersusun. Selain itu, saya juga turut melabel secara teratur semua perkara yang berkaitan dengan penyelidikan seperti melabelkan sampel yang ingin digunakan, melabel fail-fail mengikut susunan dan maklumat didalamnya dan juga melabelkan bahan kimia mengikut tahap keselamatannya. Saya cuba amalkan amalan 5S setiap hari dan setiap masa sehinggakan ia menjadi amalan rutin dalam kehidupan saya. Ia telah menjadi amalan yang dilaksanakan secara automatik tanpa disedari. Amalan 5S ini akan menjadi senang dilaksanakan sekiranya anda mengikut secara betul kaedah 5S ini dan cuba berusaha untuk melaksanakannya secara berulangkali sehingga ia tertanam didalam diri sendiri.

Konsep 5S ini mudah dilaksanakan, pertamanya anda perlu sisih atau buang bahan-bahan atau perkakasan yang tidak diperlukan. Jika perkakas-perkakas yang lama tidak dibuang, ia akan semakin bertambah terutamanya apabila perkakas baru diperolehi. Kemudian, anda perlu susun dengan teratur perkakas-perkakas mengikut kategorinya yang tertentu. Sapu tempat anda supaya hilang kekotoran dan habuk. Seterusnya, seragamkan susunan supaya penjagaan kebersihan dapat di pelihara. Akhir sekali dan yang paling penting ialah sentiasa amalkan penyusunan teratur ini supaya ia dapat menjadi amalan rutin dan menjadikan kawasan tempat bekerja sentiasa dalam keadaan tersusun dan bersih.

Ingatlah, kejayaan dalam menjalankan penyelidikan boleh dicapai melalui banyak perkara sehinggakan perkara kecil seperti penyusunan barang-barang atau perkakasan ditempat kerja juga penting dalam menjayakan penyelidikan. Tambahan lagi, ia memudahkan kita untuk mendapatkan sesuatu barang atau perkakas dengan cepat. Apabila anda dapat menyusun tempat dimana anda bekerja dengan teratur dan tersusun baik, anda sebenarnya melatih diri untuk bersikap tersusun, terperinci dan terancang. Sesuai dengan gaya seorang penyelidik terutamanya saintis atau jurutera dimana mereka perlu menguasai elemen-elemen ini. Dengan secara tidak langsung, anda sebenarnya melatih untuk menjadi seorang penyelidik yang berjaya.