Kita sering mendengar ungkapan “Study Smart” daripada guru-guru kita yang menasihatkan supaya kita perlu belajar sesuatu subjek dengan “smart” iaitu dengan cara yang betul, perlukan penelitian, memahami apa yang dipelajari dengan cara berkesan dan menggunakan kaedah belajar yang sesuai dan efektif. Pelajar yang mengamalkan “study smart” kebanyakannya beroleh kejayaan tanpa perlu belajar terlalu bersungguh-sungguh. Begitu juga dengan penyelidikan, kita juga boleh mengamalkan “research smart” untuk memperoleh kejayaan dalam kerja penyelidikan kita. Oleh yang demikian, bagi mempastikan kita dapat menjalankan kerja penyelidikan secara “smart”, salah satu teknik yang diamalkan ialah merancang kerja-kerja penyelidikan menggunakan teknik kriteria SMART iaitu:

Teknik kriteria SMART ini sebenarnya digunakan secara meluas dalam perancangan hala tuju sesuatu organisasi terutamanya dalam merancang objektif yang akan dicapai oleh organisasi tersebut. Ia juga sesuai digunakan dalam merancang objektif penyelidikan dan juga untuk merancang metodologi penyelidikan sebelum kerja penyelidikan dapat dijalankan kerana dalam teknik ini pelbagai keadaan perlu dititikberatkan dan difahami sebelum sesuatu kerja dimulakan.

Teknik kriteria SMART ini menekankan kepada 5 elemen utama yang perlu ada semasa merancang sesuatu kerja. “S” untuk Spesifik: objektif penyelidikan dan perancangan metodologi yang ingin dicapai dan dilaksanakan mestilah spesifik iaitu memberikan perincian tentang apa yang ingin dicapai. Objektif yang terlalu besar dan umum akan menyukarkan kita mencapai objektif tersebut. Contohnya, apabila kita ingin melakukan penyelidikan mengenai penggunaan bakteria dalam mendegradasi sesuatu bahan kotoran, perlu dinyatakan secara spesifik dalam objektif penyelidikan punca bakteria yang akan diambil, kata kerja (verb) yang spesifik dengan objektif yang ingin dicapai, apakah jenis bahan kotoran tersebut samaada agen pewarna, bahan toksik atau bahan organik dan seumpamanya. Begitu juga dalam metodologi penyelidikan, perlu dikenalpasti dan dinyatakan cara untuk mengambil bakteria yang sesuai, cara untuk mengenalpasti bakteria tersebut, cara untuk mengetahui keberkesanan bakteria tersebut dalam mendegradasi bahan kotoran dalam air dan seumpamanya. Kriteria “S” ini sebenarnya membantu kita mengenalpasti elemen-elemen yang spesifik yang menjurus kepada kerja penyelidikan yang boleh dicapai dan memudahkan kerja penyelidikan tersebut.
Kriteria “M” pula bermaksud “Manageable” (boleh diuruskan) atau “Measurable” (Boleh diukur) dimana objektif dan metodologi penyelidikan yang ingin dirancang perlu mengambilkira kerja yang dilakukan dapat diuruskan dengan baik dan ianya boleh diukur. Contohnya, apabila kita ingin menggunakan bakteria sebagai ejen mendegradasi bahan kotoran, kita perlu memikirkan teknik atau prosedur yang boleh djalankan, diuruskan dan boleh diukur. Kita perlu mengenalpasti alatan yang sediaada dimakmal yang dapat digunakan dan boleh diuruskan dengan baik. Kerja-kerja penyelidikan juga dapat diukur seperti keberkesanan bakteria mendegradasi bahan kotoran secara kuantitatif dapat diukur melalui peratusan kehilangan bahan kotoran tersebut. Dengan hasil pengukuran tersebut, kita dapat membuktikan keberkesanan penyelidikan yang dijalankan. Apabila seseorang penyelidik tidak mengambilkira elemen ini dalam merancang sesuatu kerja penyelidikan, dikhuatiri kerja penyelidikan yang dilaksanakan akan menjumpai jalan buntu dan akan menyebabkan banyak masalah yang sukar dihadapi semasa menjalankan kerja penyelidikan. Kelebihan yang paling utama apabila menitikberatkan elemen “Manageable” dan “Measurable “ dalam objektif dan metodologi penyelidikan kita ialah kerja-kerja penyelidikan yang dilaksanakan akan menyenangkan dan memudahkan kita seterusnya menjayakan penyelidikan kita.

Elemen seterusnya daripada SMART ialah perkataan “A” iaitu “Attainable” atau “Achievable” dimana kita perlu memikirkan objektif atau metodologi yang ingin dirancang boleh dicapai dengan jayanya. Untuk memastikan hasil penyelidikan dapat dicapai, kita perlu memikirkan dari sudut 360° perkara-perkara yang ada disekeliling kita sebelum merancang objektif penyelidikan. Sebagai contoh, salah satu objektif penyelidikan yang perlu dirancang dalam penyelidikan yang melibatkan penggunaan bakteria dalam mendegradasi sesuatu bahan ialah: Pada akhir eksperimen, bahan pewarna dapat didegradasikan menggunakan bakteria yang diambil daripada air kumbahan. Jadi, bagi memastikan objektif ini tercapai dengan jayanya, tanya pada diri sendiri berkenaan dengan keadaan sekitaran; adakah bakteria tersebut mempunyai ejen yang boleh mendegradasikan bakteria? Adakah kita mempunyai infrastruktur, alatan, radas dan instrumen yang cukup untuk mengendalikan bakteria? Adakah kita mempunyai keadaan makmal yang sesuai untuk mengendalikan bakteria? Dan berbagai-bagai lagi pertanyaan yang membolehkan kita mencapai objektif yang ingin dituju. Begitu juga dengan eksperimen-eksperimen yang ingin dirancang dimana diakhir eksperimen kita akan mencapai apa yang kita inginkan iaitu hasil penyelidikan tidak kira samaada ianya hasil positif atau hasil negatif. Dengan mengkaji terlebih dahulu keadaan sekitaran kita sebelum merancang objektif penyelidikan, ia dapat membantu sesuatu eksperimen yang ingin dilakukan dapat tercapai dengan mudah.

“R” iaitu “Relevant”; Objektif atau kaedah penyelidikan yang dirancang adalah relevan atau berhubung kait dengan skop tugas penyelidikan kita. Kerja-kerja penyelidikan dan eksperimen yang tidak menyimpang daripada tujuan asal penyelidikan. Elemen ini sangat penting dalam penyelidikan terutamanya yang melibatkan penyelidikan yang kita baru ceburi ataupun permulaan kepada penyelidikan diluar bidang kepakaran kita. Cara yang sesuai untuk memastikan perkara yang dirancang dalam penyelidikan kita berhubung kait dengan skop penyelidikan ialah dengan membanyakkan membaca artikel-artikel saintifik yang relevan dengan skop kajian kita. Artikel-artikel saintifik yang dicari juga mestilah yang terbaru dan terkini supaya hasil penyelidikan kita seiring dengan situasi global pada masa sekarang. Contohnya, apabila kita ingin mengkaji keberkesanan bakteria dalam mendegradasi bahan kotoran dalam air, eksperimen-eksperimen yang relevan dengan kajian ini perlu difikirkan dengan teliti seperti; kajian pertumbuhan bakteria menggunakan medium yang sesuai, bahan kotoran yang dipilih sesuai dengan bakteria yang didapatkan, penggunaan instrumen yang sesuai bagi mengkaji pertumbuhan bakteria dan seumpamanya yang berhubung kait dengan skop penyelidikan yang dirancang. Masalah akan timbul apabila kita tidak memikirkan objektif dan juga kerja-kerja penyelidikan yang relevan dengan hasil yang ingin dicapai kerana ianya akan menyimpang kepada tujuan sebenar penyelidikan kita.

Akhir sekali, objektif dan juga kaedah penyelidikan yang ingin dirancang perlu memikirkan masa yang telah ditetapkan (“T” : “Time bound”). Sebagai contoh, jika anda menjalankan penyelidikan tahun akhir bagi projek sarjana muda, anda mempunyai masa 2 semester iaitu bersamaan dengan 10 bulan untuk menyiapkan kerja penyelidikan tersebut. Dalam masa tersebut, anda juga perlu menghadiri kelas, menyiapkan tugasan daripada pensyarah, perlu belajar untuk menghadapi peperiksaan, tugasan kegiatan luar dan berbagai-bagai tugasan lain. Jadi, anda perlu merancang objektif penyelidikan dengan mengambilkira masa yang diperlukan untuk mencapai objektif tersebut. Anda perlu mengkaji terlebih dahulu infrastruktur yang ada, makmal-makmal berkaitan dan instrumen yang akan digunakan. Anda boleh bertanya kepada rakan-rakan yang telah mempunyai pengalaman dalam pengendalian penyelidikan tersebut. Sebagai contoh, salah satu objektif kajian dalam penyelidikan ini ialah untuk mengkaji keberkesanan bakteria dalam mendegradasi bahan kotoran dalam air. Anda perlu tahu masa yang diperlukan untuk menjalankan eksperimen tersebut, samaada melibatkan masa yang lama atau sekejap atau ia mengganggu kelas pengajaran anda. Anda juga disarankan untuk tidak terlalu memikirkan objektif yang terlampau mendalam sehingga menyukarkan anda untuk mencapai objektif tersebut kerana ia mungkin akan melibatkan masa yang terlalu lama untuk menyiapkannya. Tambahan lagi, dalam pertimbangan masa ini juga, anda perlu memikirkan masa yang digunakan untuk menyediakan laporan bertulis atau artikel.

Bagi menjadikan kriteria SMART dalam sesuatu objektif lebih berkesan, ada yang menambahnya menjadikan “SMARTER”. Bagi situasi dalam penyelidikan, “E” lebih sesuai diambil daripada singkatan “Ethical” (beretika) walaupun singkatannya daripada berbagai perkataan seperti “Encompasing”, “Evaluate”, “Ecological” dan lain-lain. Dalam merancang objektif dan kaedah metodologi untuk penyelidikan saintifik, perkara yang tidak beretika perlu dihindarkan. Perkara-perkara yang tidak beretika ini boleh memudaratkan manusia dan alam sekeliling. Contoh penyelidikan yang tidak beretika ialah merancang untuk mengklonkan manusia atau merancang untuk menghibridkan manusia dan juga haiwan. Penyelidikan yang boleh menyebabkan pencemaran kepada alam sekitar juga tidak beretika dan perlu dihindari. Sains merupakan cabang ilmu yang tiada penghujungnya. Saintis akan cuba untuk melakukan apa saja bagi mengkaji alam ini. Dalam ilmu sains, semua perkara boleh dilakukan seperti menghasilkan virus yang baru, menumbuhkan bakteria atau fungus, meningkatkan kuasa radiasi dan berbagai-bagai lagi. Tapi sebagai manusia, kita tidak boleh lari daripada hukum alam itu sendiri dimana kita perlu menjaga alam ini dengan sebaiknya. Jadi, sekiranya anda ingin memikirkan objektif yang ingin dicapai dan juga eksperimen yang ingin dilakukan, fikirlah secara beretika mengikut norma-norma manusia umumnya supaya penyelidikan yang dijalankan tidak memudaratkan alam ini. Anda perlu berfikir akibat dan kesannya kepada manusia dan alam sekeliling semasa merancang objektif yang ingin dicapai.

Perkataan “R” pula adalah untuk “Reviewed” (Dikaji semula), “Reevaluate” (menilai semula) dan “Reassess” (menilai semula) dimana diakhir perancangan objektif atau kaedah penyelidikan yang dicadangkan, anda perlulah mengkaji semula atau menilai semula kesemua perancangan tersebut. Apabila kita menilai semula perancangan tersebut, kemungkinan ada beberapa perkara yang kita akan tertinggal atau lupa untuk dimasukkan atau tidak memenuhi kriteria SMART. Satu cara yang paling sesuai bagi menilai atau mengkaji semula perancangan penyelidikan ialah melalui penilaian secara luaran iaitu meminta penyelidik yang mempunyai kepakaran dalam bidang yang sama untuk membuat penilaian dan memberikan komen terhadap objektif atau kaedah penyelidikan yang dirancang. Penilaian semula perancangan penyelidikan oleh penyelidik luar adalah untuk penambahbaikan perancangan tersebut.

Apabila setiap objektif dan juga perancangan kaedah penyelidikan menggunakan kaedah “SMART” atau “SMARTER”, ia sebenarnya memudahkan seorang penyelidik merancang perjalanan penyelidikannya dengan baik. Objektif yang ingin dirancang perlu dinyatakan secara spesifik perkara yang ingin dicapai, objektif yang dapat diuruskan dengan baik dan mudah dicapai, objektif tersebut relevan atau berhubungkait dengan skop kerja penyeidikan dan juga perlu menitikberatkan masa yang diperlukan untuk mencapai objektif tesebut. Teknik ini penting bagi penyelidik yang berada didalam keadaan serba kekurangan; kurang daripada segi belanjawan peruntukan, kekangan masa yang terlalu sibuk, kekurangan alat radas dan instrumen, kurang fasiliti dan infrastruktur untuk melakukan penyelidikan dan berbagai lagi kekurangan yang dapat membantutkan kerja-kerja penyelidikan. Selain itu, ia juga berguna kepada pelajar-pelajar yang menjalankan penyelidikan secara separuh masa seperti pelajar sarjana atau PhD separuh masa atau yang mempunyai kelas yang perlu dihadiri. Sebagai tambahan, objektif dan kaedah penyelidikan tersebut perlulah mengikut etika-etika tertentu yang tidak memudaratkan manusia dan alam sekitar. Akhir sekali, perancangan yang telah dibuat perlulah dinilai atau dikaji semula bagi memastikan semua objektif dan kaedah penyelidikan mengikut SMART kriteria.

Bergantung kepada diri anda sendiri, sekirannya anda ingin berjaya dalam penyelidikan, laksanakanlah “RESEARCH SMART” kerana ia memudahkan anda mencapai sesuatu objektif dan tidak menyimpang daripada skop kerja penyelidikan anda. Perancangan yang sempurna tidak akan berbuah hasilnya sekiranya anda tidak melaksanakan perancangan yang telah dirancangkan. Dengan membuat apa yang dirancang dan berusaha untuk mencapai objektif yang telah dirancang menggunakan SMART kriteria, anda pasti berjaya.