Saintifik bermaksud “mengikut kaedah sains; teratur atau bersistem seperti ilmu sains” dan Sains bermaksud:

“1. ilmu pengetahuan yg teratur (sistematik) yg boleh diuji atau dibuktikan kebenarannya; 2. cabang ilmu pengetahuan yg berdasarkan kebenaran atau kenyataan semata-mata (fizik, kimia, biologi, dll).” – Kamus Dewan –

 

Jadi, berfikiran secara saintifik boleh ditakrifkan sebagai berfikir dengan cara bersistematik dan teratur serta berfikir untuk membuktikan sesuatu perkara melalui kaedah eksperimen bagi mendapatkan kebenaran sesuatu perkara yang dikaji. Berfikiran secara saintifik sebenarnya membantu penyelidik merancang kerja penyelidikan dengan baik dan berkesan kerana orang yang berfikiran saintifik akan sentiasa merancang sesuatu eksperimen dengan teratur dan bersistematik dan akhir sekali membantu mereka mendapatkan hasil penyelidikan yang baik. Dua elemen yang penting dalam pemikiran secara saintifik iaitu (1) melakukan sesuatu perkara secara teratur dan sistematik dan (2) mendapatkan hasil analisis data daripada eksperimen yang dijalankan.

 

Berdasarkan pengalaman saya, tidak semua orang mempunyai kebolehan berfikir secara saintifik walaupun mereka sedang melakukan penyelidikan saintifik. Ini mungkin disebabkan oleh berbagai faktor seperti tahap dan cara pendidikan, pengalaman yang diperolehi, personaliti diri, latarbelakang kehidupan dan sebagainya. Berfikiran saintifik adalah satu kebolehan keatas diri seseorang dan ia juga dapat dibentuk sekiranya kita berusaha untuk melatih berfikiran sedemikian. Bagi mereka yang mempunyai kebolehan berfikiran saintifik, gunakanlah kebolehan ini ditambah dengan penambahan ilmu bagi meningkatkan hasil penyelidikan. Bagi mereka yang tidak mempunyai kebolehan ini, berusahalah untuk berfikiran saintifik dengan cara cuba untuk mengatur sesuatu kerja secara sistematik dan juga cuba untuk berfikir secara sedar serta carilah ilmu dan fahamilah perkara yang ingin dibuat.

 

Bagaimana dikatakan kerja yang “TERATUR” dan “SISTEMATIK”? Kerja yang teratur dan sistematik bermakna kerja yang dilakukan perlu mengikut turutan dimana kerja tersebut mempunyai beberapa langkah dan langkah-langkah ini perlu dirancang terlebih dahulu mengikut kesesuaian sesuatu kerja. Semasa perancangan dibuat, banyak perkara perlu difikirkan dan boleh mengikut kaedah “SMART” yang telah dibincangkan sebelum ini. Setelah perancangan dibuat dengan teliti dan mengambilkira banyak faktor, pelaksanaan pula perlu dilakukan secara sistematik mengikut perancangan tersebut.

 

Bagi memastikan kerja yang dilakukan berjaya, pastikan setiap pelaksanaan perlu dirujuk kepada perancangan dan cuba untuk mengikut setiap perancangan sebaik mungkin. Bagi mengelakkan kegagalan keatas kerja yang dilakukan, berusahalah untuk mengikut secara terperinci perancangan yang dibuat. Perlu dingatkan bahawa berfikiran saintifik tidak akan terhasil sekiranya semua perancangan hanya berada dalam kotak fikiran kita tanpa diterjemahkan dalam bentuk penulisan atau perancangan yang boleh dilihat. Perancangan yang dibuat boleh ditulis samaada dalam buku catitan (logbook) atau menggunakan komputer. Dengan cara menulis perancangan ini, kita sebenarnya membantu otak kita menguruskan perkara yang difikirkan dalam kotak pemikiran kita. Sekiranya terlalu banyak perkara yang ingin difikirkan, kotak fikiran akan menjadi penuh menyebabkan kita sentiasa tertekan dengan perkara yang difikirkan. Strategi yang diberikan ini sebenarnya komplikated pada permulaan seseorang ingin melakukannya, tetapi strategi ini akan menjadi senang dan mudah sekiranya kita sentiasa mengamalkannya.

 

Pembuktian secara eksperimen sesuatu hipotesis atau teori juga merupakan elemen yang penting dalam berfikiran secara saintifik. Dengan sebab itulah kebanyakan daripada artikel saintifik yang diterbitkan dalam jurnal berimpak tinggi perlu mempunyai hasil daripada analisis data melalui eksperimen yang telah dibuat. Hasil yang diperolehi biasanya diletakkan bersama-sama perbincangan dalam seksyen “Hasil dan Perbincangan (Results and Discussion)”. Jadi, bagi memastikan kita berjaya dalam menjalankan penyelidikan saintifik, kita perlu memikirkan hasil yang bakal diperolehi yang boleh dibincangkan dan ditonjolkan apabila kita ingin merancang sesuatu eksperimen.

 

Hasil yang kita perolehi daripada eksperimen juga perlu bersesuaian dan relevan dengan penyelidikan yang kita jalankan. Hasil daripada eksperimen adakalanya tidak menyokong teori atau hipotesis yang telah dibuat dan ianya memberikan hasil yang negatif. Kita biasanya mengharapkan hasil yang positif dan apabila mendapat hasil yang negatif, kita menganggap kerja penyelidikan kita gagal. Hasil yang negatif tidak semestinya perlu ditolak dan tidak pula diterima bulat-bulat. Hasil yang negatif juga boleh diterima sekiranya ada penjelasan yang bersesuaian dan boleh diterima pakai. Kita tidak perlu mengabaikan hasil yang negatif kerana ianya adalah hasil yang diperolehi melalui eksperimen. Perkara yang penting yang perlu ada bersama dengan hasil negatif ini ialah penjelasan secara saintifik kenapa hasil tersebut diperolehi dan juga teori-teori yang dapat menjelaskan keadaan negatif tersebut berlaku.

 

Menjadi seorang penyelidik atau saintis yang berfikiran saintifik tidak akan tercapai dalam masa satu atau dua hari atau dalam masa setahun, ianya perlu dipupuk, dilatih dan dilakukan secara konsisten pada setiap masa. Anda perlu gigih berusaha untuk mendapatkan keboolehan berfikir secara saintifik. Untuk meningkatkan cara berfikiran saintifik, anda boleh mencuba berfikiran saintifik terhadap kehidupan rutin anda pada setiap masa, setiap hari. Berfikirlah secara saintifik untuk mendapatkan kejayaan dalam penyelidikan saintifik yang dijalankan.