+60197855810 nnizamy@utm.my
Select Page
Tema “ Kita Kan Keluarga ” dipilih bagi menyeru masyarakat supaya memperkukuh nilai murni dan semangat kekeluargaan dalam institusi keluarga dan juga di luar persekitaran keluarga termasuk di tempat kerja. Komuniti dan organisasi tempat bekerja juga adalah sebahagian daripada keluarga besar Malaysia.

Selaras dengan sambutan ini, Deklarasi Keluarga Malaysia (DKM) dijangka diadakan pada 25 November 2019 yang menggariskan komitmen Keluarga Malaysia bagi membina sebuah Negara Malaysia Baharu yang bersatu padu, bersih dan mengamalkan nilai-nilai berperibadi mulia melalui keluarga yang sejahtera, sihat dan resilien (dipetik dari laman web rasmi LPPKN 2019). 

Berdasarkan kes kaunseling yang diterima samada yang di kendalikan oleh Pusat Kaunseling UTM ataupun organisasi luar, didapati kebanyakan masalah pelajar adalah berkaitan dengan perasaan terpendam terhadap ahli keluarga terutama kedua ibu bapa. Isu bersama keluarga ini boleh terbawa sehingga ke alam dewasa malahan juga sehingga menjejaskan prestasi di tempat kerja dan mengganggu kesejahteraan kesihatan mental. Malahan sehingga ada yang berfikiran dan mencuba untuk membunuh diri. 

Antara ketidakpuasan yang disuarakan ialah ibu bapa tidak cuba memahami diri akibat tiada komunikasi terbuka. Ibu bapa bersikap terlalu keras, sukar untuk bertolak ansur dan tidak membenarkan sebarang peluang untuk bersuara. Selain itu, ibu bapa yang kerap memarahi dan menghukum anak tanpa memberi dan meminta sebarang penjelasan. Sikap pilih kasih dan membandingkan antara anak-anak, ibu bapa kurang memberi perhatian dan meluangkan masa kerana kesibukan bekerja, bapa berkahwin lain serta konflik perkahwinan antara ibu bapa. 

Akibat konflik jiwa yang berlaku kemungkinan ada di antara anak-anak yang berasa tidak diperlukan, di ketepi dan menyusahkan keluarga, kurang keyakinan dan penghargaan diri serta menyisihkan diri dengan menghabiskan masa bersama gajet. Sesetengah remaja pula memberontak sehingga boleh terjerumus kepada kancah gejala dadah, pelacuran, penzinaan, LGBT, menjadi seorang pembuli, terlibat dalam alam kongsi gelap dan pelbagai lagi. 

Tidak mustahil akibat kepincangan hubungan kekeluargaan ini, anak-anak berjauhan hati malahan sehingga hilang atau tiada perasaan kasih, sayang, hormat dan berasa kepunyaan (belonging) terhadap keluarga terutama terhadap kedua ibu bapa. Maka, tidak mustahil juga boleh membentuk anak-anak yang derhaka sehingga sanggup menghantar ibu bapa ke rumah orang-orang tua. 

Bertepatan dengan pelbagai isu sebegini yang semakin meningkat berlaku dalam masyarakat Malaysia, tema sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2019 adalah “Kita Kan Keluarga”. Kasih, sayang dan hormatilah setiap ahli keluarga tanpa mengira usia dan paras wajah serta hargai dan syukurilah setiap saat dan waktu kita bersama ahli keluarga kerana “KELUARGAKU, SYURGAKU!”