Belum Masa Untuk Ke Hotel: Tetap Meriah di Kolej Tun Hussein Onn! (Majlis Anugerah Akademik FKA 2026)
Salam dan selamat sejahtera semua,
Mungkin ada yang terfikir atau berpendapat, kalau majlis anugerah seperti ini diadakan di hotel, tentu suasananya lebih seronok dan nampak jauh lebih gah!
Jujurnya, anggapan itu memang tepat dan tidak salah pun. Buat di hotel memang lebih senang—tak perlu pening kepala memikirkan soal dekorasi yang makan kos dan tenaga, persiapan lebih mudah, dan hidangan makanannya pun sudah tentu sedap-sedap belaka.
Namun, bagi Majlis Anugerah Akademik Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA) 2026 kali ini, mungkin belum masanya lagi untuk kita ke hotel. Walaupun masih dikekalkan di dalam kampus, iaitu di Kolej Tun Hussein Onn (KTHO), UTM pada 15 November 2026 bermula jam 2.30 petang, kemeriahannya tetap dirasai seperti selalu. Suasana tetap hangat dan penuh dengan aura penghargaan buat para penerima anugerah.
Dan seperti biasa, di sebalik tabir kelancaran majlis, kamilah—Team IT—yang akan sampai paling awal untuk memastikan segala sistem teknikal, audio visual, dan paparan berjalan sempurna, dan kami jugalah yang paling lambat balik.
Sementara pasukan lain mungkin boleh menyambung kerja mengemas pada keesokan harinya, kami di unit IT perlu selesaikan dan bungkus semuanya terus pada hari yang sama. Maklumlah, esoknya sudah ada tugasan dan kerja-kerja lain yang sedia menanti di pejabat.
Alhamdulillah, walaupun penat sedikit ke hulu ke hilir menguruskan teknikal, semuanya berjalan dengan sangat baik dan lancar dari mula hingga ke penghujung majlis. Tahniah kepada semua penerima anugerah dan syabas buat seluruh jawatankuasa pelaksana yang menjayakan majlis ini!
– Noranizam Demin
