Salam semua,
Semalam (25 September) saya berpeluang untuk menyertai satu acara tahunan yang cukup bermakna di Kampung Genting, Pulau Tioman iaitu Start In Tioman 2026 (SIT 2026).
Acara yang berlangsung dari 24 hingga 27 September 2026 ini menghimpunkan pencinta hidupan laut dan aktiviti rekreasi air dari pelbagai latar belakang. Apa yang menarik, program ini menyediakan slot lengkap untuk pelbagai peringkat:
-
Kursus Menyelam (Open Water): Untuk mereka yang baru nak berjinak-jinak dan dapatkan lesen menyelam.
-
Fun Dive: Khas buat penyelam yang dah qualify Open Water untuk meneroka keindahan dasar laut Tioman.
-
Snorkeling: Bagi peserta yang tidak menyelam tetapi masih nak menikmati kejernihan air laut dan terumbu karang.
Bukan sekadar aktiviti menyelam dan santai sahaja, acara ini turut diselitkan dengan pelbagai program CSR (Tanggungjawab Sosial Korporat) sepanjang berlangsungnya acara.
Tema utama pada tahun ini sangat menyentuh hati dan penting untuk ekosistem laut kita, iaitu menyelamatkan penyu. Usaha-usaha pemuliharaan seperti ini sekurang-kurangnya memberi kesedaran kepada kita tentang kepentingan menjaga habitat hidupan laut agar kekal terpelihara untuk generasi akan datang.
Pengalaman yang sangat berharga dan memuaskan dapat berbakti sambil menikmati keindahan alam semulajadi di Pulau Tioman!
– Noranizam Haji Demin
