+60197855810 nnizamy@utm.my
Select Page

SOLAT ATAS KAPAL WAJIB MENGADAP KIBLAT

SOALAN :

Bagi mereka yang bekerja sebagai kelasi kapal atau nelayan yang selalu berada di atas kapal atau bot di laut adakah setiap kali mereka solat diwajibkan mengadap kiblat?

JAWAPAN :

Seorang yang mengerjakan solat di atas kapal atau bot atau seumpamanya daripada kenderaan laut adalah wajib menyempurnakan segala rukun dan syaratnya seperti solat di atas darat.

Berkata Imam Nawawi :

اما الراكب في سفينة فيلزمه الاستقبال واتمام الاركان سواء كانت واقفة أو سائرة لانه لا مشقة فيه وهذا متفق عليه

Artinya : “Ada pun orang yang menaiki kapal maka wajib atasnya mengadap kiblat dan menyempurnakan segala rukun samada kapal itu berhenti atau sedang belayar kerana sungguhnya tidak ada kesukaran padanya dan ini telah disepakati oleh ulamak atasnya.” (Al-Majmu’ Syarah Muhazzab)

Maksud menyempurnakan segala rukun itu ialah wajib ia lakukan segala rukun yang dilakukan oleh orang yang solat di atas darat seperti qiam dan rukuk dan iktidal dan sujud dan duduk tahyat akan tetapi jika tidak dapat ia qiam sebab kapalnya bergoyang misalnya maka harus ia solat dengan duduk.

Begitu juga wajib mengadap arah kiblat dari awal solat sampai memberi salam.

Jika kapalnya berpusing dari kiblat kerana mengikut laluan yang dituju waka wajib orang yang sedang solat itu berpusing ke arah kiblat semula.

Berkata Syeikh Khatib Syarbini :

وأن يدور إلى جهة القبلة إن دارت السفينة لغيرها إن أمكنه ذلك، لوجوب الإستقبال. ولافرق ذلك بين الفريضة اوالنافلة لتيسره استقباله

Artinya : “Dan hendaklah ia berpusing kepada arah kiblat apabila kapalnya berpusing ke arah lain dari kiblat jika dia mampu berbuat demikian kerana wajib mengadap kiblat. Dan tiada perbezaan pada yang demikian itu antara solat fardu dan solat sunat kerana mudahnya mengadap kiblat.” (Mughni Al-Muhtaj)

wallahua’lam
ustaz azhar idrus