Kerusi dan gelagat manusia
Pernahkah kita berjumpa seseorang yang nampak biasa-biasa saja di majlis awam? Kemudian ada orang perkenalkan dia tu si anu atau si anu dengan jawatan itu dan ini. Apakah reaksi kita selepas mengetahui dia tu berkedudukan tinggi?
Bagaimana pula reaksi orang itu sendiri bila dia dapat kedudukan atau kerusi baru?
Ada beberapa sebab mengapa seseorang itu diberi kedudukan di dalam masyarakat. Di antaranya ialah berdasarkan kelayakan dan pencapaiannya selama ini. Ada juga kedudukan yang memerlukan seseorang itu popular, tak kira samada dia berilmu, berkemahiran dan mempunyai nilai yang tinggi. Di dalam keadaan yang lain, kedudukan dan kerusi itu diberikan sebab dia pandai mengampu orang yang ada kuasa untuk menentukan siapa yang layak duduk di kerusi berkenaan.
Bagi saya pandangan orang lain kepada pemilik kerusi itu tidak berapa penting. Yang lebih utama ialah bagaimana kerusi itu mempengaruhi orang yang mendudukinya.
Adakah dia bersyukur dan berasa dia memikul satu amanah yang akan dipersoalkan di akhirat? Adakah dia berasa dirinya lebih hebat dan pandai dari hari sebelum dia duduk di kerusi itu? Adakah perkara pertama yang dia buat ialah mencari jalan bagaimana mahu memanfaatkan diri dari kedudukan baru itu? Macam-macam ada.
Ketika saya dimaklumkan bahawa saya akan dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Lembaga Pemantauan Audit pada tahun 2010, saya memaklumkannya kepada Tan Sri Abdul Samad Alias, orang yang banyak memberi nasihat kepada saya di dalam bidang profesional dan juga kehidupan.
Tan Sri Abdul Samad mengingatkan saya “Kamu kena tahu apa yang datang dengan kerusi yang diberikan dan apa yang akan pergi bila ianya ditarik dari kamu. Jika kamu boleh hidup dengan selesa tanpa kesemua perkara-perkara itu إنشاءاللهkamu akan selamat. Jangan biarkan perkara-perkara itu masuk ke dalam kepala kamu”.
Memanglah dengan kedudukan ada datang pelbagai perkara terutamanya pujian dan sanjungan. Ada orang akan memuji kita di depan tetapi sebaliknya di belakang. Sebab itu jangan cepat syok sendiri dan berasa kita betul-betul hebat. Lagi tinggi kedudukan, bersusun orang mahu cium tangan kita walaupun baunya bukan wangi pun.
Yang malang bagi saya ialah bila tukang baiki basikal yang diberikan kerusi yang empuk sedikit, dia sudah berasa mampu membaiki kapalterbang. Malah lebih pandai dari jurutera yang melakukannya setiap hari. Orang-orang sebegini akan sentiasa ada di dalam mana-mana era sekali pun.
Setiap jawatan adalah amanah dan setiap amanah akan dikira di hadapan Allah. Jadikanlah ia jembatan ke syurga, bukan laluan ekspres ke neraka.
Semoga Allah memberi kita semua taufiq dan hidayahNya.
Sumber : Nik Hasyudeen, 22/6/2019