Berjalan, perhati dan bawa balik amalan yang baik

Di penghujung tahun ni ramai orang pergi melancong. Ini sudah menjadi budaya. Agak berbeza dengan 35 tahun yang lalu bila saya baru memasuki alam pekerjaan.

Berjalan ni satu perkara yang bagus. Kita keluar dari kepompong kita dan boleh melihat bagaimana masyarakat lain hidup. Apa yang mereka pentingkan dan apa yang mereka benci? Jika berbeza dengan kita, cuba fahamkan. Jangan ambil jalan mudah untuk menidakkan mengapa mereka lebih bagus dari kita. Jika kita rasa kita lebih hebat, fahamkan juga apa sebabnya. Jadikan itu satu panduan yang kukuh yang harus difahami oleh anak cucu kita.

Jika berjalan hanya sekadar untuk ambil foto, kongsi di Facebook dan tunggu berapa orang yang akan LIKE dan komen, tak ada salahnya jika itu membahagiakan. Namun lebih molek jika kita boleh mempelajari mengapa sesuatu masyarakat lebih berjaya dari segi ekonomi atau teknologi misalnya. Apakah pendekatan yang berbeza dengan kita dan mengapa kita tidak boleh buat seperti mereka. Adakah mereka mengajar anak cucu mereka supaya sentiasa berusaha dan bersaing atau diberi jaminan bahawa apa pun terjadi, tunggu sajalah bantuan yang akan datang bergolek?

Bila nak balik ke Malaysia, seharusnya sudah ada senarai 2, 3 perkara baru yang boleh kita amalkan supaya kehidupan kita menjadi lebih baik. Contohnya jika kita dapati tandas awam orang Jepun bersih, apakah yang boleh kita lakukan supaya tandas awam di kawasan perumahan kita seperti masjid juga bersih? Jika kebersihan tandas masjid melambangkan tahap kebersihan jemaahnya, tak kan kita lebih rendah berbanding dengan orang Jepun? Bukankah kebersihan itu di antara asas agama kita?

Saya doakan semoga perjalanan di akhir tahun ini akan membawa kebaikan kepada semua orang.

Sumber : Nik Hasyudeen

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *