BERSANGKA BAIK DAN BERSYUKURLAH PADA ALLAH

#copyeditandpaste

Bacaan ini adalah sebagai peringatan bersama.

Kali pertama aku failkan tuntutan kat mahkamah pada 6 tahun lepas…….. Dan pada kali pertama tu jugak aku jumpa sorang kak (dah pangkat makcik sebenarnya), yang datang memfailkan tuntutan fasakh terhadap suaminya. Pesara kerajaan, bekas Pengetua sebuah sekolah menengah. Bersara dah 12 tahun. Dan menuntut fasakh dari suaminya pada usia perkahwinan lebih 40 tahun.

Aku panggil dia kak sebab dia memang cantik, genit orangnya. Kulit cerah, walaupun tak bergaya, tapi ada style. Bercakap pun lembut je, teratur, tenang dan berilmu. Katanya, “Kak menuntut fasakh sebab takut dosa kami berdua makin menimbun. Dua² dah gagal jalankan tanggungjawab.”

Al-kisahnya, sebab sayangkan suami la kak tu tuntut fasakh. Dia dah bercucu, berderet dah. Suaminya penyayang sangat. Walaupun kejenya kurang sikit dari kak tu, tapi dia tetap seorang suami yang wajar diberi sepenuh penghormatan atas tanggungjawab, layanan dan kasih sayangnya yang tak berbelah bahagi untuk anak² dan isteri.

Waktu isteri melahirkan anak, kalau tak salah aku 5 orang kut, kelima² kali tu la suami dia sendiri yang jaga dia, bela dan belai dia. Dari anak pertama sampai anak terakhir, layanan tak pernah kurang. Semua orang nampak kasih sayang suami dia. Dan mestila dia rasa bertuah kan.

Pendek kata suami tu suami dambaan la. Dia terlalu disayang dek suami sendiri sampai selalu pandang rendah kat orang lain. Yang ni dia mengakui sendiri, bukan aku yang reka². Dia kata, dia selalu pandang rendah kat orang lain yang ada masalah rumahtangga. Dia selalu rasa semua tu salah isteri sebab tak pandai jaga suami. Dia selalu kata semua tu jadi sebab attachment dengan Allah tu takde.

Hidup dia takde major prob pun. Anak² semua berjaya. Problem sikit² tu biasa la. Overall cemerlang. Suami penyayang dan setia habis.

Sampai la masanya tika ujian Allah tu turun. Lepas bersara, ingatkan makin mesra sebab makin banyak masa bersama. Tapi 3 tahun sebelum kak ni tuntut fasakh, suami kawen lain. Dengan janda. Dan macam mana suami sayangkan dia dulu, layankan dia dulu, macam tu la yang suami buat pada bini mudanya. Teramat sayang kat bini muda.

Kak tu kata, suami bukan tak sayang kat dia dan anak², tapi kasih dah terbahagi. Mula² semua dalam kawalan lagi. Tapi makin lama makin hilang. Sampai sudahnya suami tak balik² dan mengabaikan tanggungjawabnya pada kak ni. Bincang tak jalan, pujuk tak jalan, gaduh tak jalan. Last sekali, fasakh la jadi pilihan. Sebab taknak dosa terus berjalan.

Kata kak tu, salah satu benda yang dia belajar ialah – dalam apapun situasi, bersangka baik la. Mungkin tu balasan untuk diri dia sebab dulu suka judge orang, kata orang, sangka buruk dengan orang. Asal tak bahagia, dia kata isteri tak pandai jaga suami, tak attach dengan Tuhan. Sekarang (masa tu) dia tercari² salah dan silap dia kat mana. Bila tiba² perkahwinan yang bahagia tu, tewas pada usia lebih 40 tahun.

Apa yang aku nak kongsikan kat sini ialah, kepada semua pasangan berkahwin, yang dikurniakan suami yang baik – bertanggungjawab, penyayang, tak curang, maka SYUKURLA PADA ALLAH. Jangan sekali² terdetik walau dalam hati, nak pandang orang lain yang diuji dengan suami yang ‘macam-macam’ ni sebagai isteri yang tak pandai jaga suami, tak pandai urus rumahtangga, tak dekat dengan Tuhan. Jangannnn, a big NO.

Kenapa? Sebab kita takkan pernah tau apa yang orang lain lalui. Kita takkan dapat rasa penderitaan orang lain. Tak perlu judge apa². Kalau dah terdetik dalam hati tu, istighfar la cepat². Allah Maha Pengampun.

Dan lagi pesan aku, kalau kita bahagia dengan suami, tetap tak perlu tunjuk atau pamerkan berlebihan. Bersederhana je cukup. Orang yang benar² bahagia takkan pamerkan kebahagiaan dia, sebab bahagia untuk dirasa dalam hati dua manusia yang hidup bersama. Kalau orang tak tau pun takpe, mereka tetap bahagia.

Kita hari ni pamer kebahagiaan berganda, kalau satu masa Allah nak uji, semua benda tak mustahil boleh berlaku. Hati manusia ni Allah yang pegang. Hari ni orang tu cinta kita separuh nyawa, tapi kalau Allah nak twist hati dia, sekelip mata je. Beringatla.

Status ni takde kaitan dengan sesiapa. Sekadar peringatan untuk kita semua. Ni kisah benar kak tu. Bukan aku reka cerita. Kisah hakikat buat kita ambil pengajaran bersama. Kak tu kawen dah lebih 40 tahun, bahagia, tapi sudahnya ke mahkamah jugak.

Allah kalau nak uji, di kala usia dah senja pun boleh cerai berai, boleh didustakan dek suami, boleh dikhianati. Jaga²lah. Jangan pernah rasa selamat selama mana pun usia perkahwinan kita sekarang. Dan jangan sekali² pandang hina pada wanita² yang diceraikan dek suami, atau menuntut cerai dari suami. Esok lusa, kita pun taktau lagi untung nasib kita. Hati manusia tu sentiasa berbolak balik.

Peringatan utk kita semua untuk ambil ikhtibar.

Sumber : Pakar Diari Hati, 14/3/2020

BAGAIMANA HIDUP TANPA ROPOL

Hidup tanpa ropol bermaksud kehidupan yang minima dan secukupnya dari segi pemikiran, percakapan, perbuatan dan pemilikan. Semua perkara yang lebih, itu renda-renda saja. Macam renda langsir.

Ada tiga sebab kenapa elok hidup tanpa ropol.

Pertama, kita dapat susun keutamaan hidup. Utamakan yang penting, fokus yang itu dulu. Berjalan penting. Berjalan di atas karpet merah, tak penting. Nak hidup kena makan. Tapi nak hidup tak perlu makan di restoran mewah lima bintang.

Kedua, kita dapat kurangkan kos. Kita boleh pilih sama ada nak bayar kos SARA HIDUP, atau nak bayar kos GAYA HIDUP. Kalau minum di gerai tepi jalan, kita bayar kos sara hidup. Kalau minum di tempat beropol, kita bayar kos gaya hidup. Buat pilihan.

Ketiga, kita dapat fokus kepada matlamat akhir. Apa matlamat akhir kita? Nak mati. Apa matlamat akhir bekerja? Nak sara keluarga. Apa matlamat akhir belajar? Nak dapat pekerjaan yang baik. Fokus kepada matlamat akhir. Selain itu, renda-renda kehidupan, seperti renda langsir saja.

Hidup tanpa ropol bukan bermaksud kita tak boleh beli rumah, tak boleh beli kereta, tak boleh pergi melancong. Hidup tanpa ropol bukan bermaksud merempat, sehelai sepinggang. Hidup tanpa ropol bermaksud kita buang perkara-perkara tak penting dalam hidup. Utamakan yang penting.

Kita banyak buat benda semata-mata nak jadikan orang suka dengan kita, tapi mereka tak kisah pun dengan apa yang kita buat. Orang tak kisah, kita stress lagi. Apabila kita cuba nak gembirakan semua orang, akhirnya kita jadi manusia paling tak gembira.

Bagaimana nak hidup tanpa ropol?

1. Usah sibuk nak ambil tahu hal orang lain yang tak ada kena mengena dengan kita. “Hari ini kau dan dia kutuk aku. Esok aku dan dia kutuk kau pula.” Elakkan buang masa.

2. Usah semak kepala berfikir perkara-perkara yang tak relevan. Don’t overthink. Dunia berpusing, kepala kita jangan ikut berpusing.

3. Ada duit belanja, tak ada duit ikat perut. Usah berhutang perkara tak perlu. Apabila kita berhutang, kena bayar interest. Kita boleh berikan nama-nama yang fancy, kalau dah bayar lebih tinggi melangit, itu namanya interest.

4. Biar orang nak kata apa, kita buat hal kita. Kalau kita berhenti setiap kali anjing menyalak, lambatlah kita nak sampai.

5. Buat perkara-perkara penting. Selain itu semua renda-renda kehidupan. Usah terikut-ikut dengan renda kehidupan dalam media sosial. Orang yang kita nampak gembira dalam media sosial, belum tentu bahagia.

6. Kita tak perlu banyak apps atau WhatsApp group. Buang apps yang tak perlu dari handphone. Keluar dari WhatsApp group sekiranya ia tidak bersifat membangun. Fokus. Saya tak ada satu pun WhatsApp group kecuali dengan anak-anak. Hidup tenang.

7. Bahagia bukan apa yang kita miliki. Bahagia ialah apa yang kita rasai. Fokus kepada “experience economy” atau ekonomi pengalaman. Apabila ada peluang, terokai dunia luar. Sekiranya tak dapat pergi ke luar negara lagi, baca di internet, tonton YouTube. Ada rezeki nanti, pergi.

8. Usah merungut apa yang kita tak ada. Cuba lihat apa yang kita ada. Kita tak boleh ubah hakikat kita dilahirkan dalam keluarga miskin (seperti saya). Namun, kita boleh berusaha untuk berjaya. Fokus kepada usaha, bukan miskin.

Akhir sekali ingatlah bahawa dunia tidak pernah meninggalkan kita. Sebaliknya, kitalah yang akan meninggal dunia. Sekiranya kita junjung dunia, kita akan penat dan tidak ke mana-mana. Sebaliknya jika kita pijak dunia, kita akan dapat menerokai seluruh dunia!

Sumber : Norizan Bin Sharif