Berjualbeli dengan Allah amat menguntungkan
Di dalam Al Quran Allah ada menyebut berkenaan jualbeli di antara Allah dan manusia. Ini adalah jaminan bahawa perniagaan yang paling untung ialah dengan Allah swt.
Sesiapa yang memberikan sesuatu kepada Allah dengan niat kerana Allah, Allah akan gantikan dengan yang lebih baik.
Ada 2 konteks berkenaan urusniaga atau jualbeli dengan Allah:
1. Memberikan apa yang kita ada ke jalan Allah
2. Melepaskan peluang yang kita patut dapat untuk mendapatkan redha Allah
Nabi Sulaiman mewarisi dari bapanya, Nabi Daud, kerajaan dan kenabian. Di antara harta yang ada ialah kuda-kuda. Ini melalaikan Nabi Sulaiman dari menginggati Allah. Bila dia sedar dia mengambil keputusan untuk menyembelih kesemua kuda-kuda itu. Allah berikan kepada Nabi Sulaiman angin, yang mampu membawa Nabi Sulaiman ke sana sini, lebih laju dari kuda.
Kita semua tahu bila Nabi Yusuf digoda oleh seorang wanita atasan, dia ada peluang untuk melakukan maksiat di dalam keadaan selesa dan selamat. Godaan ini dilakukan dengan penuh perancangan dan wanita itu berada di dalam keadaan yang penuh ghairah. Apa yang Yusuf pilih ialah untuk berlindung dengan Allah dan memilih untuk meninggalkan wanita berkenaan. Allah berikan kepada Nabi Yusuf sebuah kementerian yang menyelamatkan negara dan memberinya kesenangan, jauh lebih baik dari apa yang dia tinggalkan.
Di dalam cerita Ashabul Ukdud, budak muda yang diberikan peluang untuk menjadi Ahli Sihir Negara menolaknya kerana mahu beriman kepada Allah. Dia bukan sahaja hilang segala-galanya malahan dibunuh. Allah membalasnya di dunia lagi dengan menjadikan kematian beliau menyebabkan ribuan manusia meninggalkan kekufuran dan beriman kepada Allah.
Jika kita mahu berniaga dengan Allah, kita kena buat dahulu kerana Allah. Yakinlah Allah akan balas dengan apa yang lebih baik. Di dalam suasana yang kita hadapi ini, ada banyak peluang untuk berjualbeli dengan Allah seperti berkongsi kebijaksanaan, memberikan harta kita dan lain-lain lagi.
Jika kedudukan dan pangkat kita menyebabkan kita menjadi zalim atau berpaling dari ajaran Allah, baiklah kita tinggalkan agar Allah memberikan kita dengan apa yang lebih baik lagi.
Sumber : Nik Hasyudeen, 12/4/2020