LA TAHZAN SIRI 24 : “Berkelanalah Menjelajahi Bumi”

Link Live Dari Ustazah Muzayyanah @ustazahmuzayyanah : (20+) Facebook

Di antara perkara yang dapat melapangkan dada dan melenyapkan awan kesedihan dan kesusahan, adalah berjalan menjelajah negeri melihat alam sampai ke pelusuk negeri dan berkeliling ke semua daerah di bumi yang luas ini. Lihatlah bentangan alam yang terbuka luas ini untuk dikaji agar anda dapat melihat apa yang tertulis oleh pena kekuasaan Allah SWT, bahawa di alam ini terdapat lembaran ayat-ayat Allah SWT yang indah. Tujuannya agar anda dapat menyaksikan taman, kebun, sawah dan bukit-bukit hijau yang indah mempesona.

Cubalah anda keluar dari rumah, lalu perhatikanlah apa yang berada di sekitar anda, di hadapan mata anda, dan di belakang anda! Cubalah daki gunung ganang, turunlah ke lembah-lembah, panjatlah batang-batang pepohonan, minumlah air yang jernih, dan ciumlah harum bunga mawar! Pada ketika itu, anda akan merasai jiwa anda benar-benar merdeka dan bebas sebagaimana burung yang berterbangan di angkasa melafazkan tasbih kebahagiaan.

Keluarlah dari rumah anda, lemparlah tabir hitam yang menghalangi pandangan anda, kemudian berjalanlah di bumi Allah yang sangat luas ini dengan sentiasa berzikir dan bertasbih!

Mengurung diri dalam bilik yang sunyi bersama kekosongan yang menyakitkan merupakan jalan untuk bunuh diri. Bilik anda bukanlah dunia yang sbeenarnya dan anda bukanlah manusia satu-satunya di ala mini. Oleh yang demikian, mengapa anda mesti menyerahkan diri dan berputus asa? Bukanlah sebaiknya anda menyatukan pandangan, pendengaran dan hati untuk menyeru diri anda sendiri:

“Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan ataupun berat”. (At-Taubah:41)

Ayuh! Sempatkan diri untuk membaca Al-Quran, baik ketika sibuk mahupun ketika masa luang. Senandungkan Al-Quran di tepi-tepi sungai, di pinggiran hutan yang rimbun, di antara burung-burung yang sedang berkicau membaca untaian puisi cinta, atau di hadapan gemeresik aliran air sungai yang sedang mengisahkan perjalanannya dari hulu ke hilir.

Menjelajahi ke beberapa pelusuk negeri merupakan suatu kenikmatan yang disarankan oleh para doctor terutama mereka yang sedang stress menghadapi suatu persoalan dan tekanan yang berat dalam hidupnya dan bagi orang yang terkurung dalam biliknya yang sempit. Oleh sebab itu, marilah sesekali kita berjalan menjelajah pelusuk negeri untuk mencari ketenangan, bergembira, berfikir dan sekali gus menghayati ciptaan Allah SWT yang sangat luas ini.

“Dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (sambil berkata): Ya Rabb kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau.” (Ali’ Imran : 191).

  • Sumber : Kitab La Tahzan : Jangan Bersedih (Don’t Be Sad) Setelah Kesulitan Pasti ada Kemudahan. Penulis : Dr Aidh Bin Abdullah Al-Qarni (Penterjemah: Noraine Abu).
  • (Ditaip semula dari Kitab La Tahzan sebagai bacaan bersama).

LA TAHZAN SIRI 23: “Allah Adalah Satu-satunya Penolong”

Link Live Dari Ustazah Muzayyanah @ustazahmuzayyanah : (20+) Facebook

Menyerahkan semua urusan kepada Allah, bertawakkal kepadaNya, percaya terhadap janji-janjiNya, redha dengan apa yang dilakukanNya, berbaik sangka kepadaNya, dan menunggu dengan sabar pertolongan dariNya, merupakan sebahagian daripada buah keimanan yang paling besar dan merupakan salah satu daripada sifat mukmin yang paling mulia. Dan ketika seorang hamba merasa tenang bahawa apa yang akan terjadi itu baik baginya, dan ia menggantungkan setiap permasalahannya hanya kepada Tuhannya, maka ia akan memperolehi pengawasan, perlindungan, kecukupan, kekuatan serta pertolongan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala.

            Ketika Nabi Ibrahim ‘Alaihissamal dilempar ke dalam api, ia mengucapkan, “Hasbunallah wa ni’mal wakil (Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung)”, maka Allah pun menjadikan api yang panas itu dingin seketika dan Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam pun selamat (tidak terbakar).

            Demikian juga halnya yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabatnya Radhiyallahu ‘anhum tatkala mereka mendapat ancaman dari pasukan kafir dan penyembah berhala, di mana mereka juga mengucapkan, “ Hasbunallah wa ni’mal wakil.”

…. cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung. Maka mereka kembali dengan ni’mat dan kurnia (yang besar dari) Allah, mereka tidak mendapat bencana apa-apa, mereka mengikuti keredhaan Allah. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar. (Ali-‘Imran:173-174).

Manusia tidak akan mampu melawan setiap bencana, menakluk setiap derita, dan mencegah setiap malapetaka dengan kekuatannya sendiri. Ini adalah kerana, manusia diciptakan sebagai makhluk yang sangat lemah. Mereka hanya akan mampu menghadapi semua itu dengan baik apabila mereka bertawakkal kepada Tuhannya, percaya sepenuhnya kepada Pelindungnya, dan menyerahkan semua perkara kepadaNya, maka ia akan memperolehi kekuatan.

      Sebaliknya, jika mereka tidak bertawakkal, jalan keluar mana lagi yang boleh dilakukan oleh hamba yang hina dina ini dalam menghadapi berbagai-bagai macam ujian dan cubaan?

….dah hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakkal jka kamu benar-benar beriman. (Al-Ma’idah:23)

Oleh kerana itu, wahai orang yang menyedari kelemahan dirinya, bertawakkallah kepada Yang Maha Kaya dan Yang Maha Kuat, yang mempunyai kekuatan yang amat besar, yang tiada bandingannya agar diri anda selamat dari berbagai kesusahan dan keluar dari bencana!. Jadikanlah “hasbunallah wa ni’mal wakil” syair dan semboyan yang selalu menyelimuti Langkah hidup anda. Jika harta anda berkurangan, hutang anda banyak, sumber penghidupan anda berkurang, dan mata pencarian anda menyempit, mengadulah kepada  Tuhanmua seraya mengucapkan “hasbunallah wa ni’mal wakil”.

      Apabila anda takut menghadapi musuh, cemas terhadap perlakuan orang zalim, atau khuatir terhadap permasalahan kehidupan, maka ucapkanlah dengan tulus akan kalima: “hasbunallah wa ni’mal wakil”.

…. dan cukuplah Rabbmu menjadi Pemberi Petunjuk dan Penolong. (Al-Furqan:31)

  • Sumber : Kitab La Tahzan : Jangan Bersedih (Don’t Be Sad) Setelah Kesulitan Pasti ada Kemudahan. Penulis : Dr Aidh Bin Abdullah Al-Qarni (Penterjemah: Noraine Abu).
  • (Ditaip semula dari Kitab La Tahzan sebagai bacaan bersama).

LA TAHZAN SIRI 21: “Anda Lebih Beruntung Daripada Yang Lain”

Link Live Dari Ustazah Muzayyanah @ustazahmuzayyanah : (20+) Facebook

Terumbang-ambing adalah merupakan ciri orang yang ditimpa musibah dan dihempas bencana. Rumahnya selalu dipenuhi suasana kedukaan. Di setiap sudut wajahnya mengalir air mata sebagaimana kesedihan di Lembah Bani Sa’ad.

Sesungguhnya betapa banyaknya penderitaan yang terjadi, dan betapa ramai pula orang-orang yang sanggup bersabar menghadapinya. Maka anda bukanlah satu-satunya orang yang ditimpa bencana. Bahkan, mungkin penderitaan atau bencana yang menimpa anda tidaklah seberapa sekiranya dibandingkan dengan bencana orang lain. Lihatlah berapa ramai manusia di dunia ini yang terbaring sakit di atas katil selama bertahun-tahun lamanya dan mereka hanya mampu membolak-balikkan badannya sahaja, lalu merintih kesakitan dan menjerit menahaan penderitaan.

Berapa ramai orang yang dipenjara selama bertahun-tahun lamanya tanpa dapat melihat cahaya matahari walaupun sekali dan mereka ini hanya mengenal jerijil-jerijil selnya sahaja.

Betapa ramai orang tua yang kehilangan permata hatinya pada saat masih mud abelia, masa yang seharusnya dihiasi oleh kesenangan.

Betapa ramainya manusia di dunia ini yang menderita, mendapat pujian, mendapat ujian dan cubaan, belum lagi kepada mereka yang setiap saat menahan himpitan hidup!.

            Kini, sudah tibalah waktunya untuk anda mengunjungi mereka yang mengajarkan ilmu yang menyakinkan diri mereka bahawa hidup ini adalah penjara bagi orang mukmin dan rumah bagi kesedihan dan penderitaan. Di pagi hari, istana-istana kehidupan penuh sesak dengan penghuninya, namum menjelang senja tiba-tiba istana-istana itu menjadi runtuh. Mungkin saat ini kekuatan masih utuh, badan masih sihat, harta melimpah, dan keturunan banyak jumlahnya. Namun dalam hitungan beberapa hari sahaja semuanya boleh berubah, jatuh miskin, kematian datang secara tiba-tiba, perpisahan yang tidak dapat dihindarkan, dan sakit yang menyerang secara tiba-tiba.

Dan telah nyata bagimu bagaimana Kami berbuat terhadap mereka dan telah Kami berikan kepadamu beberapa perumpamaan. (Ibrahim : 45)

Oleh itu sebaiknya anda hendaklah mempersiapkan diri sebagaimana persiapan seekor unta berpengalaman yang akan mengiringi anda menyeberangi padang Sahara. Anda juga hendaklah membandingkan penderitaan anda dengan penderitaan orang-orang yang berada di sekeliling anda dan penderitaan orang-orang yang wujud sebelum anda, supaya anda sedar bahawa keadaan andalah yang lebih baik jika dibandingkan dengan keadaan mereka! Bahkan, anda akan merasakan bahawa penderitaan anda itu hanyalah sebahagian daripada duri-duri kecil yang tidak ada ertinya. Maka panjatkan segala kepujian kepada Allah di atas semua kebaikanNya itu, bersyukurlah kepadaNya di atas apa yang telah diberikan kepada anda, bersabarlah di atas semua yang diambilNya dan muhasabahlah terhadap diri sendiri di atas segala kelemahan, dosa dan kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan dan ziarahilah orang-orang yang menderita di sekitar anda.

      Anda boleh mengambil banyak di antara suri teladan Rasululah Shallallahu ‘alaihi wasallam sepanjang hidupnya, yang ditimpa dengan berbagai ujian dan dugaan sebagai bimbingan buat anda. Baginda pernah dilempar kotoran unta oleh orang-orang kafir Mekah, kedua kakinya dicederai dan wajahnya mereka lukai, dikepung dalam suatu kaum beberapa lama hingga beliau hanya dapat makan dedaunan apa adanya sahaja, diusir dari Mekah, dipukul gerahamnya hingga retak. Kemuliaan isterinya difitnah, 70 di kalangan sahabatnya terbunuh, dah kehilangan beberapa orang anaknya. Bahkan baginda pernah menahan laparnya dengan mengikatkan batu di perutnya. Beliau pernah dituduh sebagai seorang penyair (bukan penyampai wahyu Allah), dukun, orang gila dan pembohong. Namun, Allah melindunginya dari semua itu. Dan semua perkara tadi adalah merupakan cubaan dan dugaan yang harus beliau hadapi dalam perjuangannya dan penyucian jiwa yang tiada tara dan bandingannya.

      Sebelum itu, Nabi Zakaria dan Nabi Yahya ‘Alaihimassalam dibunuh, Nabi Musa ‘Alaihissalam diusir dan dikejar oleh Fir’ain dan Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam dibakar hidup-hidup. Cubaan-cubaan itu turut menimpa para khalifah dan para pemimpin kita; Umar Radhiyallahu ‘anhu dilumuri dengan darahnya sendiri, Uthman Radhiayallahu ‘anhu dibunuh secara diam-diam, dan Ali Radhiayallahu ‘anhu ditikam dari belakang. Dan masih banyak lagi di antara para pemimpin kita yang turut menerima dugaan yang sama di mana punggung para Imam penuh dengan bekas sebatan, orang-orang terpilih dimasukkan ke dalam penjara dan juga dibuang ke negeri lain.

      Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan). (Al-Baqarah:214)

  • Sumber : Kitab La Tahzan : Jangan Bersedih (Don’t Be Sad) Setelah Kesulitan Pasti ada Kemudahan. Penulis : Dr Aidh Bin Abdullah Al-Qarni (Penterjemah: Noraine Abu).
  • (Ditaip semula dari Kitab La Tahzan sebagai bacaan bersama).

LA TAHZAN SIRI 22: “Solat, Ubat Mujarab Pengusir Kesedihan”

Link Live Dari Ustazah Muzayyanah @ustazahmuzayyanah : (20+) Facebook

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam surah Al-Baqarah, ayat 153:

           Wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat…

            Apabila ketakutan meliputi anda, kesedihan menghimpit anda dan kerisauan mencekik anda, maka bersegeralah anda mendirikan solat, nescaya jiwa anda akan kembali tenteram dan tenang! Sesungguhnya solat itu – atas izin Allah – boleh menjaga anda dengan menghilangkan kesedihan dan kerisauan yang menghimpit anda selama ini.

            Ketika Rasulullah Shallahu ‘alaihi wasallam dirundung masalaha, baginda bersabda kepada Bilal bin Rabbah Radhiyallahu ‘anhu:

            Wahai Bilal, aku dapat merasa tenang dengan solat. (Al-Hadith).

            Begitulah, solat benar-benar merupakan penyejuk hati dan sumber kebahagiaan bagi Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

            Saya telah banyak membaca sejarah hidup beberapa orang tokoh kita. Dan umumnya, apabila saat mereka dihimpit dengan persoalan hidup dan menghadapi banyak dugaan, maka mereka segera memohon pertolongan Allah dengan mendirikan solat dengan khusyu’. Begitulah cara mereka mencari jalan keluar, sehinggalah kekuatan, semangat dan tekad hidup mereka pun pulih kembali.

            Solat khauf dilaksanakan pada saat-saat genting, yakni saat kematian terjadi di mana-mana dan banyak nyawa melayang akibat peperangan. Apabila keadaan semakin memburuk, maka solat akan memperbaikinya. Ini merupakan isyarat bahawa sebaik-baik penenang jiwa dan ketenteraman hati adalah solat yang khusyu.’

            Setiap generasi umat manusia yang sedang menderita berbagai penyakit kejiwaan saat ini, hendaklah sering mengunjungi masjid dan menghamparkan keningnya di atas lantai tempat sujud dalam rangka meraih keredhaan dari Ilahi. Dengan melakukan sedemikian, nescaya ia akan selamat dari pelbagai himpitan hidup. Jika tidak, tangisannya tentu akan membakar kelopak matanya dan kesedihan akan menghancurkan urat sarafnya. Maka jelaslah bahawa seseorang itu tidak memiliki sebarang kekuatan pun untuk meraih ketenangan dan ketenteraman hati selain dengan mendirikan solat.

            Salah satu daripada nikmat Allah yang paling besar – jika kita mahu berfikir – ialah pelaksanaan solat wajib lima waktu dalam sehari-semalam, yang merupakan sebagai penghapus dosa-dosa dan pengangkat darjat kita di sisi Tuhan. Di samping itu, solat lima waktu juga merupakan ubat yang paling mujarab untuk mengubati pelbagai kesedihan dan berbagai macam penyakit yang kita deritai. Betapapun, solat mampu meniupkan ketulusan iman dan kejernihan iman ke dalam relung hati, sehingga hati redha dengan juga ketentuan Allah.

            Adapun mereka yang menjauhi masjid dan meninggalkan solat, maka mereka hanya akan beralih dari kesusahan yang satu ke kesusahan yang lain, dari goncangan jiwa yang satu ke goncangan jiwa yang lain, dan dari kesengsaraan yang satu ke kesengsaraan yang lain.

….maka kecelakaanlah bagi mereka dan Allah menghapus amal-amal mereka. (Muhammad: 8)

  • Sumber : Kitab La Tahzan : Jangan Bersedih (Don’t Be Sad) Setelah Kesulitan Pasti ada Kemudahan. Penulis : Dr Aidh Bin Abdullah Al-Qarni (Penterjemah: Noraine Abu).
  • (Ditaip semula dari Kitab La Tahzan sebagai bacaan bersama).