Link Live Dari Ustazah Muzayyanah @ustazahmuzayyanah : (20+) Facebook
Menyerahkan semua urusan kepada Allah, bertawakkal kepadaNya, percaya terhadap janji-janjiNya, redha dengan apa yang dilakukanNya, berbaik sangka kepadaNya, dan menunggu dengan sabar pertolongan dariNya, merupakan sebahagian daripada buah keimanan yang paling besar dan merupakan salah satu daripada sifat mukmin yang paling mulia. Dan ketika seorang hamba merasa tenang bahawa apa yang akan terjadi itu baik baginya, dan ia menggantungkan setiap permasalahannya hanya kepada Tuhannya, maka ia akan memperolehi pengawasan, perlindungan, kecukupan, kekuatan serta pertolongan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Ketika Nabi Ibrahim ‘Alaihissamal dilempar ke dalam api, ia mengucapkan, “Hasbunallah wa ni’mal wakil (Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung)”, maka Allah pun menjadikan api yang panas itu dingin seketika dan Nabi Ibrahim ‘Alaihissalam pun selamat (tidak terbakar).
Demikian juga halnya yang dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabatnya Radhiyallahu ‘anhum tatkala mereka mendapat ancaman dari pasukan kafir dan penyembah berhala, di mana mereka juga mengucapkan, “ Hasbunallah wa ni’mal wakil.”
…. cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung. Maka mereka kembali dengan ni’mat dan kurnia (yang besar dari) Allah, mereka tidak mendapat bencana apa-apa, mereka mengikuti keredhaan Allah. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar. (Ali-‘Imran:173-174).
Manusia tidak akan mampu melawan setiap bencana, menakluk setiap derita, dan mencegah setiap malapetaka dengan kekuatannya sendiri. Ini adalah kerana, manusia diciptakan sebagai makhluk yang sangat lemah. Mereka hanya akan mampu menghadapi semua itu dengan baik apabila mereka bertawakkal kepada Tuhannya, percaya sepenuhnya kepada Pelindungnya, dan menyerahkan semua perkara kepadaNya, maka ia akan memperolehi kekuatan.
Sebaliknya, jika mereka tidak bertawakkal, jalan keluar mana lagi yang boleh dilakukan oleh hamba yang hina dina ini dalam menghadapi berbagai-bagai macam ujian dan cubaan?
….dah hanya kepada Allah hendaknya kamu bertawakkal jka kamu benar-benar beriman. (Al-Ma’idah:23)
Oleh kerana itu, wahai orang yang menyedari kelemahan dirinya, bertawakkallah kepada Yang Maha Kaya dan Yang Maha Kuat, yang mempunyai kekuatan yang amat besar, yang tiada bandingannya agar diri anda selamat dari berbagai kesusahan dan keluar dari bencana!. Jadikanlah “hasbunallah wa ni’mal wakil” syair dan semboyan yang selalu menyelimuti Langkah hidup anda. Jika harta anda berkurangan, hutang anda banyak, sumber penghidupan anda berkurang, dan mata pencarian anda menyempit, mengadulah kepada Tuhanmua seraya mengucapkan “hasbunallah wa ni’mal wakil”.
Apabila anda takut menghadapi musuh, cemas terhadap perlakuan orang zalim, atau khuatir terhadap permasalahan kehidupan, maka ucapkanlah dengan tulus akan kalima: “hasbunallah wa ni’mal wakil”.
…. dan cukuplah Rabbmu menjadi Pemberi Petunjuk dan Penolong. (Al-Furqan:31)
- Sumber : Kitab La Tahzan : Jangan Bersedih (Don’t Be Sad) Setelah Kesulitan Pasti ada Kemudahan. Penulis : Dr Aidh Bin Abdullah Al-Qarni (Penterjemah: Noraine Abu).
- (Ditaip semula dari Kitab La Tahzan sebagai bacaan bersama).