PERKARA YANG TIDAK PERLU DIPAMERKAN DI MEDIA SOSIAL…

  1. Ibadah mu.

Menyatakan kamu baru bangkit. Kamu baru habis mengerjakan solat. Kamu sedang “checked in” di masjid atau surau. Melainkan bagi tujuan dakwah. Mengajak teman-teman untuk sama-sama beribadah. Dan berkongsi demi kebaikan.

  1. Kehidupan cinta mu.

Kerana semua perkara hanyalah pinjaman. Segala hal yang paling membahagiakan kamu adalah hal yang paling menyedihkan atau menyakitkan nanti. Hati manusia milik Allah. Bisa jadi hati orang yang mencintai mu berubah dalam sekelip mata. Bisa jadi hati mu juga yang bakal berubah. Bisa jadi mereka pergi tanpa kita duga. Simpan kisah cinta dan kebahagiaan mu dengan penuh syukur. Cukup menyatakan rasa cinta hanya kepada orang yang kamu cinta dan kepada Allah.

  1. Kewangan mu.

Segala hal kewangan mu tidak memberikan manfaat kepada orang lain dan diri melainkan bagi harta yang disedekahkan. Semuanya hanyalah pinjaman.

Kata Ustaz Azhar Idrus, orang yang suka mempamerkan hartanya adalah seperti orang yang meminjam harta orang lain, kemudian menunjuk-nunjuk dengannya. Kerana semua harta dan kekayaan adalah pinjaman dari Allah.

  1. Masalah keluarga mu.

Samada dalam bentuk sindiran terhadap pasangan, ipar, mertua, adik beradik, anak-anak. Mengadu-ngadu di media sosial. Semuanya tidak mendatangkan kebaikan. Semua masalah adalah bersifat sementara. Kelak akan membuat kamu kesal nanti.

  1. Kesusahan mu.

Apa sahaja bentuk kesusahan yang sedang kamu alami pada saat ini tidak perlu kamu kongsikan. Segala bentuk kepayahan adalah alasan bagi diri untuk kita terus melangkah. Apabila kamu telah melepasinya, ketika itu lalu kamu kongsikan…. Ianya akan menjadi inspirasi. Banyak orang yang tidak suka kan kita ketika kita susah. Dan banyak orang yang suka melihat kita susah. Ulang baca dan cuba fahami.

  1. Perancangan masa depan mu.

Bekerjalah dalam senyap. Sehingga kamu berjaya mencapai impian mu nanti. Ketika kita merancang. Allah juga merancang. Namun perancangan Allah adalah lebih baik. Fahami tentang ini.

Sumber Perkongsian FB:
Oleh: Dzuriasikim Dzulkefli

(Gambar saya bersama anak-anak dari perkampungan Mabul. Anak-anak ini sangat bahagia bermain dengan “kereta” yang dibuat dari botol bedak. Hidup yang sederhana tetapi penuh dengan kecukupan. Tidak ada gajet buat anak-anak ini. Tidak ada yang perlu mereka berlumba pamerkan…).

TAHAJJUD.

  1. Subuh masuk lewat ketika saya sedang menulis posting ini. Bangunlah sedikit awal sebelum masuk waktu Subuh untuk menunaikan solat Tahajjud. Jika tidak biasa, inilah waktu terbaik untuk kita melatih diri.

  1. Tunaikanlah solat Tahajjud sekurang-kurangnya 2 rakaat pada setiap awal pagi sebelum masuk waktu Subuh. Untuk permulaan itu adalah yang terbaik. Jika berasa tidak mampu, tunaikanlah sekurang-kurangnya seminggu sekali.

  1. Apabila sudah biasa nanti, bangun lebih awal lagi. Dan lagi. Waktu terbaik untuk menunaikan solat Tahajjud adalah pada satu per tiga malam. Bangunlah dari tidur mu.

  1. Tidak ada malas atau letih lagi jika kita benar-benar mahukan sesuatu. Tahajjud adalah “ubat” terbaik bagi segala “penyakit” dunia. Jalan terbaik untuk membuang resah mu, sedih mu, sakit mu, bahkan untuk sakit fizikal juga. Segalanya adalah sangat mudah bagi Allah. Tidak ada satu pun yang sukar bagiNya jika Dia berkehendak untuk memberi.

  1. Duhai wanita, berhentilah untuk mengadu damba kesedihan mu kepada orang lain. Tempat yang terpaling baik untuk kamu mengadu segala kesukaan, kebahagian, kesedihan, ujian, kesakitan, bahkan apa sahaja…. Adalah ketika kita bersujud dan hanya kepada Allah. Bukan di Mukabuku mu.

  1. Tidak ada orang yang berasa susah untuk bangkit di malam hari jika mereka benar-benar mahu. Jika kita tidak mahu bangkit, itu bererti kita belum cukup mahu.

  1. Satu satu doa yang tidak lari daripada sasaran walau seinci ialah DOA pada waktu 1/3 malam.

Pembuktian dalam Al-quran satu-satunya Solat Sunat yang diabadikan dalam Al-quran adalah Solat Tahajjud:-

“Dan pada sebagian malam hari bersalat tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu. Mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat yang terpuji.”
(Q.S. 17:79 ).

  1. “Doa di Saat Tahajud Bagaikan Anak Panah yang Melesat Tepat Mengenai Sasaran”
    (Imam Syafi’i)

Lihatlah bagaimana mudahnya bagi mu untuk mencari jalan keluar….

  1. Mulai dari hari ini, marilah kita berazam untuk bertahajjud pada setiap hari.

  1. Paksa diri untuk permulaan. Selepas seminggu, dua minggu dan 3 minggu, kita akan mula rindu jika meninggalkannya. Sungguh Tahajjud itu adalah sangat ajaib bagi yang tahu.

Semoga kita bersahabat sehingga ke Syurga.
Amin.

Sumber FB:
Dzuriasikim Dzulkefli

Trust Allah for everything no matter what.

Saat kehilangan, yakin dengan Allah. Saat mendapat sesuatu, yakin dengan Allah. Saat menang, yakin dengan Allah. Tika diuji, yakin dengan Allah. Tika ada masalah, yakin dengan Allah. Pada saat segalanya tidak berlaku seperti yang kamu harapkan, tetaplah yakin dengan ketentuan Allah dan tingkatkan syukur kepada Allah kerana Dia sedang melindungi kamu dari apa yang tidak dapat kamu lihat.

Sumber FB:

Dzuriasikim Dzulkefli.

Setiap saat ada yang meninggalkan dunia ini….

Kita juga sedang berada dalam “barisan” yang sama (Menunggu giliran…).
Kita tidak tahu berapa yang akan pergi sebelum tiba masa kita.
Kita tidak boleh berganjak ke belakang “barisan”.
Kita tidak boleh keluar “barisan”.
Kita tidak boleh elakkan dari terus berada di “barisan” ini.

Jadi, sementara kita semua masih berada di “barisan” ini…

Nikmati setiap detik dalam hidup.
Pilih keutamaan dalam hidup.
Adakan waktu agar kita dapat melakukan yang terbaik untuk diri kita.
Perbanyakkan sedekah kerana itulah harta kita.
Jadikan diri kita lebih berharga.
Suarakan isi hati dengan baik (jangan hidup dalam penjara yang kita bina sendiri).
Hargai sekecil-kecil perkara dalam hidup.
Bahagiakan seramai mungkin sahabat dan sesiapa sahaja di sekeliling kita.
Lakukan sesuatu untuk merubah hidup agar lebih baik.
Sayangi diri.
Hargai diri.
Hiasi diri dari segi fizikal dan ilmu.
Pastikan kita selalu beritahu orang yang kita sayang betapa kita sangat sayangkan mereka.
Pastikan tidak ada kesal dalam hidup.
Pastikan kita siap sedia selalu untuk pergi ke negeri abadi…. Subhanallah.

Peringatan untuk diri…

Sumber FB:
Dzuriasikim Dzulkefli

BERSIHKAN HATI

Bersih hati adalah bersifat ghaib. Tak ada orang yang tahu sejauh mana hati kita ini bersih. Bersih hati bermaksud, ikhlas dan jujur dalam segala perkara. Sejauh mana kita ikhlas dan jujur terhadap diri dan orang sekeliling, hanya diri kita dan Allah sahaja yang tahu.

Belajarlah untuk bersihkan hati kita dalam memberi, berkata-kata, melakukan perbuatan, pekerjaan, persahabatan, persaudaraan, hubungan pasangan, terhadap anak-anak, ipar duai, adik-beradik… malah dalam segala hal.

Ianya bermaksud, jika kita memberi… beri dengan ikhlas tanpa niat untuk mendapat balasan apa lagi mengungkit. Ketika kita berbuat baik dengan orang, buat baik dengan semua orang tanpa mengira darjat atau kekayaan. Tanpa ada hasrat atau tujuan perniagaan. Tanpa ada sebarang keinginan tersirat.

Ikhlas adalah bererti ketika kita melakukan sesuatu, kita tidak mengharapkan balasan atau ucapan terima kasih atau apa sahaja. Kita beri dan kita lupakan. Selagi ada perasaan mahu dihargai atau mahu jasa kita dikenang (atau disebut-sebut), bererti kita belum cukup ikhlas.

Orang yang bersih hatinya tidak akan pernah rugi. Yakinlah. Setiap perbuatan baik mu akan mendapat balasan. Ianya akan datang dalam bentuk kebahagiaan atau rezeki atau kesihatan atau kejayaan. Apa sahaja yang baik….

Ketahuilah, ketika kita berbuat sesuatu sedangkan dalam hati kita tidak ikhlas, ianya menjadikan diri kita berada dalam vibrasi yang rendah (low vibration).

Berada dalam “low vibration” akan menjadikan diri anda sering mudah tidak bahagia, air wajahnya tidak bercahaya (kerana hati yang ikhlas akan terpancar kepada wajah), sering dijauhi, malah akan menarik kepada banyak hal-hal yang tidak baik.

Untuk lebih mudah bersihkan hati, tetapkan hati bahawa segala perbuatan kita hanya kerana Allah. Senyum kerana Allah, berbuat baik kerana Allah, memberi kerana Allah, bekerja kerana Allah. Bukan untuk pujian manusia. Cukup Allah tahu sahaja.

Orang yang bersih hatinya akan lebih tenang dan berlapang dada dalam apa juga hal.

Ketenangan dan kebahagiaan hati adalah dua perkara yang sangat mahal dalam hidup.

Sumber FB:Dzuriasikim Dzulkefli