BERSIHKAN HATI

Bersih hati adalah bersifat ghaib. Tak ada orang yang tahu sejauh mana hati kita ini bersih. Bersih hati bermaksud, ikhlas dan jujur dalam segala perkara. Sejauh mana kita ikhlas dan jujur terhadap diri dan orang sekeliling, hanya diri kita dan Allah sahaja yang tahu.

Belajarlah untuk bersihkan hati kita dalam memberi, berkata-kata, melakukan perbuatan, pekerjaan, persahabatan, persaudaraan, hubungan pasangan, terhadap anak-anak, ipar duai, adik-beradik… malah dalam segala hal.

Ianya bermaksud, jika kita memberi… beri dengan ikhlas tanpa niat untuk mendapat balasan apa lagi mengungkit. Ketika kita berbuat baik dengan orang, buat baik dengan semua orang tanpa mengira darjat atau kekayaan. Tanpa ada hasrat atau tujuan perniagaan. Tanpa ada sebarang keinginan tersirat.

Ikhlas adalah bererti ketika kita melakukan sesuatu, kita tidak mengharapkan balasan atau ucapan terima kasih atau apa sahaja. Kita beri dan kita lupakan. Selagi ada perasaan mahu dihargai atau mahu jasa kita dikenang (atau disebut-sebut), bererti kita belum cukup ikhlas.

Orang yang bersih hatinya tidak akan pernah rugi. Yakinlah. Setiap perbuatan baik mu akan mendapat balasan. Ianya akan datang dalam bentuk kebahagiaan atau rezeki atau kesihatan atau kejayaan. Apa sahaja yang baik….

Ketahuilah, ketika kita berbuat sesuatu sedangkan dalam hati kita tidak ikhlas, ianya menjadikan diri kita berada dalam vibrasi yang rendah (low vibration).

Berada dalam “low vibration” akan menjadikan diri anda sering mudah tidak bahagia, air wajahnya tidak bercahaya (kerana hati yang ikhlas akan terpancar kepada wajah), sering dijauhi, malah akan menarik kepada banyak hal-hal yang tidak baik.

Untuk lebih mudah bersihkan hati, tetapkan hati bahawa segala perbuatan kita hanya kerana Allah. Senyum kerana Allah, berbuat baik kerana Allah, memberi kerana Allah, bekerja kerana Allah. Bukan untuk pujian manusia. Cukup Allah tahu sahaja.

Orang yang bersih hatinya akan lebih tenang dan berlapang dada dalam apa juga hal.

Ketenangan dan kebahagiaan hati adalah dua perkara yang sangat mahal dalam hidup.

Sumber FB:Dzuriasikim Dzulkefli