Cerita Ustazah Zai dalam Fasobrun Jamil pagi tadi yang membuatkanku tak berhenti lap airmata. Ingin ku coretkan di sini sebagai peringatan dan ikhtibar kepada kita semua.


Ustazah memulakan cerita,

Ada seorang makcik ni jemaah umrah Ustazah. Dia nampak ceria bila berkawan tapi Ustazah tengok muka dia pun Ustazah tahu dia ada banyak masalah. Cara senyum dia dan cara pandang dia pada kita, Ustazah tahu dia ada benda nak cerita. Ustazah pun luangkan masa mendengar luahan hatinya.

Makcik ni dia demam tak baik-baik. Ustazah cakap kat dia,

“Makcik kena bersihkan dulu yang ada dalam hati. Makcik faham ya maksud saya? Makcik kena tenang dan lapang dada. Makcik lepaskan semua benda yang tak terlepas ni. Kalau tidak sampai bila makcik nak macam ni? Makcik balik Malaysia makcik sorang-sorang.”

Suami makcik ni dah meninggal. Dia ada 4 orang anak. 2 lelaki dan 2 perempuan. 2 lelaki ni Alhamdulillah dah kahwin belaka. Lepas arwah ayah mereka meninggal, anak-anak lelaki ni ingatlah kat makcik ni tapi kita fahamlah masing-masing ada tanggungjawab. Tapi anak perempuan makcik ni dah 4 tahun tak balik jumpa dia sejak suami makcik ni meninggal.

Kita bila tahu cerita macam ni, doakan kebaikan untuk dia.

Besar mana pun kesalahan seorang mak, anak jenis apa yang sudah 4 tahun tak tanya khabar mak?

4 tahun dah anak perempuan ni tak tanya khabar. Makcik ni nak pi umrah, dia bagi whatsapp kat anak perempuannya itu tapi whatsapp tak berjawab. Blue tick tapi whatsapp tak berjawab.

Kata Ustazah,

Macam mana kecik hati kita dengan mak ayah, macam mana kita marah dengan mak ayah kita, memang mak ayah pun ada silap sebab mak ayah kita bukan suci dari dosa. Ketahuilah bahawa ALLAH wajibkan seorang anak buat baik kepada orang tuanya walaupun orang tua itu tak baik kepada anaknya.

Tolonglah fahamkan kepada diri sendiri, yang suruh kita buat baik kepada mak ayah adalah ALLAH.

?

Kalau kamu tak buat baik kepada mak ayah…

Kamu solat, kamu puasa, kamu zakat , SIA-SIA wahai anak yang tidak berbuat baik kepada mak dan ayah.

“Kalau dah sia-sia, saya tak kisahlah kalau ALLAH tak terima solat saya pun.”

Orang Islam mesti taat perintah ALLAH. Perintah ALLAH bukan hanya solat, puasa dan zakat. Perintah ALLAH juga adalah mentaati ibu ayah.

Solat?

Kau tengah kerja, kau tetap kena solat. Kau tengah holiday, kau tetap kena solat.

“Lantaklah. Tak ada pun dalam rukun Islam suruh mentaati mak ayah.”

Itu perintah ALLAH. Walaupun mentaati orang tua itu tak ada dalam rukun Islam, tapi itu perintah ALLAH. Quran cakap, hadis cakap. Kau tak buat perintah ALLAH, hanya kerana kau kecik hati dan tak boleh terima perangai mak. Sedarlah ini perintah ALLAH.

?

Ustazah cerita , bukan sedikit anak-anak orang-orang Islam mengadu kepada Ustazah.

“Ustazah, saya dah tak berdoa dah untuk mak ayah saya Robbighfirli Waliwalidayya Warhamhuma Kamaa Robbayani Soghira. Kenapa saya nak kesian dekat mak ayah saya? Kenapa saya nak berdoa kesian kat mak ayah saya sepertimana mereka mengasihani kami sewaktu kami kecil? Saya tak perlu doa macam tu Ustazah.”

Seorang anak jumpa Ustazah dan bercakap macam tu.

“Kenapa kamu cakap macam tu?”

“Sebab mak ayah saya tak kesian saya masa saya kecil. Mereka sibuk kerja, Ustazah. Saya dihantar kepada pengasuh. Mak ayah saya tak kesian kat saya.”

Ada kes lain pulak,

“Mak ayah buang saya. Mak ayah saya bagi saya dekat adik beradik mereka yang tak ada anak. Sebab apa saya kena berdoa kasihani mak ayah? Saya tak perlu berdoa kesian mak ayahku Ya ALLAH sepertimana mereka kesian kepadaku sewaktu aku masih kecil. Sebab mak ayah saya tak kesian pun pada saya.”

Inilah dakyah yang sangat-sangat menakutkan sahabat-sahabat. Otak manusia seperti ini menerima bisikan-bisikan syaitan. Mereka bercakap menggunakan logik akal.

Logik akal dia berkata,

‘Mak ayah kau tak kesian kat kau masa kau kecik. Jadi kau tak payahlah kesian kat mak ayah kau masa kau dah dewasa. Kan ALLAH suruh berdoa Robbighfirli Waliwalidayya Warhamhuma Kamaa Robbayani Soghira. Kesianlah mereka sepertimana mereka mengasihani kamu sewaktu kecil. Jadi bila mereka dah tua, kau tak perlu kesian pada mereka. Tak perlu berdoa kerana masa kau kecik mereka tak kesian kat kau.’

Maknanya manusia seperti ini hidup menggunakan logik akal semata.

Kalau kita faham Surah Al-Israa’ ayat 23,

وَقَضٰى رَبُّكَ اَلَّا تَعْبُدُوْٓا اِلَّآ اِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ اِحْسٰنًاۗ اِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ اَحَدُهُمَآ اَوْ كِلٰهُمَا فَلَا تَقُلْ لَّهُمَآ اُفٍّ وَّلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيْمًا

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapak. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik.”

ALLAH suruh kita bercakap dengan orang tua kita dengan ‘Qaulan Kariima’ yakni bercakap dengan perkataan yang baik.

Walaupun kita menyampah dan benci macam mana pun pada mak ayah kita, kita boleh ada kat dunia ke tanpa benih hina ayah kita dan mak kita?

Kita sedar tak kita datang dari lubang yang hina?

Mati pun terhina.

Apa maksud mati terhina?

Kita jadi bangkai. Busuk bangkai tu dan hina.

?

Anak selama 4 tahun tak cari mak dia. Ayah dah meninggal. Mak pergi umrah. Anak tak hantar kat KLIA. Paling sedih, dekat Madinah dalam perjalanan balik daripada masjid, makcik ni cakap dengan Ustazah,

“Ustazah, saya dah whatsapp anak-anak lelaki saya tapi dua-dua tak nak ambil saya dekat airport. Mereka kata mereka kerja. Sibuk.”

Dah lah anak perempuan macam tu. Anak-anak lelaki pula macam ni. Sampai di KLIA, kawan-kawan makcik yang jemput makcik.

Ya ALLAH, inilah yang paling Ustazah sedih!

Orang lain semua dijemput oleh anak-anak. Orang lain semua dijemput oleh keluarga. Yang keluarga ni tak sabar-sabar nak jumpa tetamu ALLAH. Yang jadi tetamu ALLAH ni pula tak sabar-sabar nak jumpa dan nak peluk anak cucu dan keluarga. Tapi makcik ni hanya disambut oleh kawan-kawan. Syukurlah ada kawan-kawan.

(Ustazah cerita part ni sambil menangis dengan Yus pun menangis sama. Sedih sangat)

?

Pesan Ustazah lagi,

Wahai anak!

Kamu tak suka macam mana pun pada mak ayah, mereka tetap mak ayah kamu.

Jangan ada di kalangan kita yang tak reti nak berterima kasih kepada orang tua kita walaupun orang tua kita itu adalah orang tua yang sangat menyakitkan.

“Tak sama mak ayah saya macam mak ayah orang lain, Ustazah. Mak ayah orang lain hantar anak-anak mereka belajar agama. Mak ayah saya tak pernah tunjuk agama pada saya.”

Jangan salahkan mak ayah kamu. Kamu dah ada otak, kamu dah ada akal maka carilah agama itu sendiri. Jangan salahkan mak ayah kau tak mengajar agama. Itu kesilapan mereka zaman lampau. Tetaplah berdoa ampunkan dosa mak ayah kita. Bukan kita yang mempadan mukakan mak ayah.

Subhanallah.

Sahabat-sahabat,

Buruk manapun mereka tetap mak ayah kita.

?

Ustazah berdoa semoga ALLAH permudahkan urusan makcik ni. Semoga ALLAH kesian pada makcik ni walaupun anak-anak tak kesian dekat dia. Semoga ALLAH angkat darjatnya. Semoga ALLAH tinggikan darjatnya.

Pesan Ustazah pada makcik ni,

“Makcik, tetaplah jadi orang baik ya makcik sebab ALLAH sayang orang yang baik. Walaupun anak kita tak sayang kita.”

Jawab makcik ni,

“Saya sayang anak saya, Ustazah. Saya tak putus berdoa supaya ALLAH lembutkan hati anak-anak saya.”

Lihatlah!

Tidak ada ibu ayah yang mendoakan kecelakaan kepada anak-anaknya walaupun anak-anaknya telah berbuat celaka kepada orang tuanya sendiri.

?

Ustazah bertemu dengan macam-macam manusia yang mengadu. Bila Ustazah balik , Ustazah jadikan cerita-cerita ini sebagai pengajaran.

Anak-anak, ingatlah bilamana orang tuamu tercalar hati, kerana sakit di dalam hatinya, susah dia nak sihat. Walaupun kamu kaya raya, tenang kamu takkan dapat.

?

Macam mana pun kita rasa susah jaga mak ayah kita, tolong hargai sebab nanti kebaikan itu akan berbalik kepada diri kita. Soal orang lain tak nak buat baik pada mak ayah dia, itu antara dia dengan ALLAH. Kita tak payah hukum apa-apa. Kita tak payah sindir apa-apapun. Sebab yang tukang balasnya adalah ALLAH, bukan kita.

“Mak , ayah… Along tak pernah datang jenguk mak ayah. Mak dan ayah redho tak kat dia?”

Mak ayah jawab,

“Aku tak redho dia sebagai anak.”

Kalau mak ayah cakap tak dah redho, jangan kita seronok tepuk tangan dan padan mukakan adik beradik kita tu. ALLAH yang balas. Bukan kita yang padan mukakan dia.

Kamu tunggulah. Derhaka dengan mak ayah, atas dunia ni ALLAH balas. ALLAH akan tunjuk hidup dia tak ada manfaat. Kaya raya tapi hidup dia tak senang. Percayalah. ALLAH akan datangkan sesuatu. ALLAH akan tunjukkan.

?

Kita jadi anak yang baik kepada mak ayah kita, maka teruskan. Tak perlulah kita mempertikaikan adik beradik kita yang tak nak buat.

Ikhlas ke kita dalam menerima tanggungjawab? Ikhlas tak?

Jujur pada diri. Kalau kita betul-betul ikhlas cukuplah kita bagitau pada adik beradik kita,

“Mak tak sihat ni. Mai lah jenguk.”

Adik beradik bukan tak ada otak. Bukan tak ada duit nak naik kenderaan datang jenguk mak. Kalau adik beradik tak nak datang jugak jenguk mak, kita tak payah balas kejahatan orang. Kita tak payah sindir-sindir. Kita tak payah tag di Facebook bagitau kat semua Friends Facebook ni anak derhaka tak datang tengok mak tengah sakit. Tak perlu buat begitu.

Kita doakan mereka jangan sampai ALLAH susahkan hidup mereka kerana kederhakaannya kepada orang tua.

?

Hai anak!

Kau tak ingat pada mak ayah kau hanya kerana alasan mak ayah kau bukan orang baik. Yang kau tu baik ke buang mak ayah kau? Kau baik sangat? Solat kau tak pernah tinggal. Pergi umrah berpuluh kali. Kau rasa kau baik sangat?

Takkan ada ciri baik bagi orang yang tidak menghormati ibu dan ayahnya dan tidak mendahulukan orang tuanya.

?

Ustazah pujuk makcik tu semalam.

“Makcik, tolong lapangkan dada makcik. Maafkan anak-anak makcik. Doakan.”

Jatuh airmata dia. Katanya,

“Saya tak pernah berhenti berdoa untuk anak-anak saya, Ustazah.”

Subhanallah.

?

Ustazah cakap kat makcik tu,

“Makcik susah nak sihat kalau makcik tak lepaskan dendam. Kita kena berlapang dada. Orang tak berlapang dada ni sakit. Kita nak ceria. Kita nak sentiasa bersemangat. Kita nak bahagia. Lepaskan semua dendam dan benci kat orang. Tolong bersihkan hati kita dari dendam dan benci kat orang. Minta tolong pada ALLAH. Sebab orang yang ada dendam kat hati takkan tenang.”

Derita ini sekejap. Dunia ini sekejap. Berdoalah kepada ALLAH minta ALLAH kuatkan kita dalam menerima ujian ini.

?

Apabila kita melakukan perkara-perkara baik walaupun sakit, percayalah kita akan cepat pulih. Meskipun terluka, kita akan mudah sembuh. Meskipun hanya saat sakaratul maut nanti kita akan menikmati hasilnya, kita akan dapat mudah kerana kita tidak pernah dendam dan tidak pernah benci kat orang. Bersih hati itulah Qalbun Salim. Balik bertemu ALLAH dengan mudah, itulah hasil yang indah walaupun saat hidup di dunia kita rasa derita sangat. Kita cekal menyebarkan kebaikan, hanya kebaikan yang akan mengikuti kita. Hanya orang baik-baik yang akan kita jumpa. Hanya kemudahan yang akan kita terima. Hanya ketenangan jiwa yang layak kita perolehi bilamana kita tak benci orang, bilamana kita tak dendam pada orang dan bilamana kita jadi manusia bermanfaat kepada orang lain.


Semoga kisah benar ini memberi ikhtibar kepada orang-orang yang ingin bermuhasabah dan mengambil pengajaran.

Wallahua’lam.
Semoga bermanfaat.

سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ ِللهِ وَ لآ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ

لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّٰهِ ٱلْعَلِيِّ ٱلْعَظِيمِ‎

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَىٰ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَىٰ آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

Sumber Dari FB:

yusnizayaziz

yusfasobrunjamil

20 Rabiul Akhir 1444H
15 November 2022

Hidup ini sebenarnya tidak mudah. Bukan juga terlalu sulit.

Asal kita tahu di mana sebaiknya kita harus meletakkan pergantungan, agar tidak timbul kesal di kemudian hari. Jangan berharap sangat kepada manusia. Sehingga kamu merasakan tidak akan ada siapa pun yang faham tentang kamu melainkan seorang manusia yang kamu harapkan itu.

Itu tidak benar.

Kita sebenarnya punya pengetahuan yang terbatas tentang diri kita. Apa lagi tentang kemampuan kita.
Kita juga tidak tahu apa pun tentang orang yang kita fikir kita kenal termasuk pasangan kita.

Seringkali, keyakinan kita sendiri yang membuatkan kita jadi kecewa. Anda faham bukan…

Untuk itu. Tenang-tenang selalu. Jangan meletakkan terlalu tinggi harapan untuk banyak perkara dalam hidup. Setelah kamu berikan yang terbaik, berusaha dengan baik, berserah dan berdoalah kepada Tuhan. Dan jalanilah hidup dengan perlahan-lahan.

Barangkali langkah mu kecil dan lemah. Tetapi tetaplah terus melangkah. Barangkali juga ada banyak yang pergi meninggalkan mu sewaktu susah. Namun, tetaplah tabah.

Nanti kamu akan tahu, bahawa tidak ada satu pun yang Tuhan izinkan terjadi melainkan untuk hal yang terbaik bagi mu.
Jika kamu bersabar, kamu tidak akan pernah kesal.

Strong women itu, tidak pernah putus asa ok…

Sumber Dari FB: Dzuriasikim Binti Dzulkefli