BUKAN PERAHAN LIMAU ITU YANG MENYAKITKAN TETAPI LUKA DI KULIT PUNCA KEPEDIHAN

Benar, bahagia dan gembira itu boleh datang dengan harta, takhta, paras rupa, ramainya keluarga dan kuasa. Lalu kita lihat ramai orang ternama dunia telah memiliki semua itu samada golongan selebriti, ahli politik, pengusaha korporat, model kecantikan.. namun hidup masih menderita, kemurungan, bahkan ada yang memilih untuk meragut nyawa sendiri.

Puncanya adalah hati yang sedang menderita sakit yang tidak dapat dilihat. Air perahan limau, jika dititikkan ke atas kulit yang sihat, tidak akan memberi kesan tetapi jika dititikkan ke atas luka pasti terasa pedihnya. Begitulah perumpamaan, jika hati yang sihat sejahtera, maka datanglah ujian seberat apa pun, tetap kuat bertahan. Namun jika Ujian menitis di atas hati yang sakit, maka akan terus merana.

Ujian kecil atau besar tidak meragut kebahagiaan walaupun kita sangka bahagia itu bila tiada lagi ujian, tetapi hakikatnya ujian itu hanya untuk menzahirkan keadaan hati yang sebenar sama ada sihat atau sakit. Riya’, Takabbur, Ujub, Hasad dengki, sentiasa tidak cukup dengan apa yang ada, Suma’ah(sukakan pujian), semua itu punca hati semakin tenat. Lalu apabila dititikkan sedikit ujian padanya, maka bertambah tenat dan mungkin hati boleh mati.

Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ ، وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ

Maksudnya: “Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta, akan tetapi kekayaan itu adalah kaya jiwa.” (HR Bukhari, hadis sahih)

KISAH KEBERSIHAN HATI SAIDINA HASSAN BIN ALI BIN ABI TALIB R.ANHUMA SAAT DICACI MAKI

Di dalam ceramah Dr Habib Segaf bin Hasan Baharun, beliau pernah menceritakan, suatu hari Saidina Hassan r.a. sedang berkumpul di rumah bersama anak cucunya. Saat mereka saling bergembira dan tertawa, tiba-tiba pintu rumahnya di pecahkan oleh seorang lelaki yang tidak diundang.

Dengan penuh biadap lelaki itu terus mencaci Saidina Hassan habis-habisan. Namun, Saidina Hassan hanya tersenyum. Selepas puas mencaci maki Saidina Hassan, dia pun terus beredar dari rumah tersebut. Anak dan cucu Saidina Hassan marah bercampur bingung lalu bertanya:

“Ayah, kami melihat lelaki tadi menceroboh masuk ke rumah kita dengan biadab kemudian menghinamu tanpa sebab. Tetapi kenapa engkau hanya diam dan tersenyum?”

Maka Saidina Hassan r.a. menjawab, “Wahai anak cucuku, kalian tak tahu siapa aku. Aku adalah Hassan, ibuku adalah Fatimah Az-Zahraa r.a., ayahku adalah Ali bin Abi Talib r.a., datukku adalah Nabi Muhammad SAW. Mereka semua tidak pernah ajarkan padaku bagaimana cara menjawab cacian dan makian sehingga aku sendiri tidak tahu bagaimana cara menjawabnya.”

SubhanAllah, Allahu Akbar.

Hati yang sihat bebas daripada segala sifat mazmumah akan kuat hadapi ujian yang datang, walaupun secara tiba-tiba.

Antara amalan untuk MERAWAT hati supaya terus kuat melawan penyakit ialah ;

🔸 Menghadiri majlis ilmu.
🔸 Banyakkan membaca al-Quran.
🔸 Lazimi zikir dan selawat.
🔸 Solat di awal waktu.
🔸 Berdamping dengan orang soleh.

Inilah erti bahagia, iaitu perjuangan memiliki hati yang kuat dan sihat sejahtera, insyaAllah mampu hadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Bersyukur dengan apa yang ada, bersabar dengan apa yang tiada. Kemuncak bahagia adalah apabila bila kita hidup dapat redha Allah dan mati dapat Syurga Allah.. ameen ya Rabbal Aalamin.

Asma’ binti Harun

UAHSahabatDuniaAkhirat