ALLAH tahu segala kesedihan, kelelahan dan kesulitan yang kita pendam dalam diri kita.

ALLAH tahu. Bukan ALLAH tak tahu.

Maka janganlah kita menjadi sepertinya orang yang merajuk dengan ALLAH. Janganlah kita menjadi sepertinya orang yang berjauh hati dengan ALLAH. ALLAH tahu segala apa yang kita hadapi.

Ketahuilah sesungguhnya…

DIA merindui kita.
DIA menyayangi kita.
DIA bersama-sama kita.

Cukuplah dengan kita tahu bahawa ALLAH tahu segala kesedihan, kesakitan, kelelahan dan segala kesulitan yang kita pendam dalam diri kita.

Maka bersabar dan bertawakkallah kerana ALLAH SWT ada bersama kita. DIA tidak akan meninggalkan kita bahkan ALLAH tahu kita akan mampu menempuhi segala ujian. Malah ALLAH tidak akan menguji seseorang hamba itu melebihi kemampuannya.

…….

“Kenapa ALLAH uji aku macam ni? Kenapa ALLAH tak uji jiran sebelah tu macam tu?”

Kita sering bertanya kepada ALLAH, mengapa DIA menguji kita dengan ujian seperti ini?

Bersangka baiklah dengan ALLAH.

Jika kita rasa ujian kita lebih berat daripada ujian orang lain, yakinlah ALLAH tahu kita lebih mampu menghadapi ujian itu berbanding yang lain.

Justeru tidak usah bertanya,

“Mengapa diri ini sering diuji?”

Tetapi yakinlah ia tanda kita mampu akan cabaran ini.

……..

Ramaikan kawan. Penuhkan jiwa dengan kasih sayang. Orang baik dan orang tak baik, semua adalah ujian buat kita.

Dari orang baik, kita belajar tak kebaikan daripada mereka?

Dari orang tak baik, orang yang dibenci orang, yang orang pulaukan dia, cuba belajar.

“Eiiii… Takutnya. Keluarga dia sendiri buang dia.”

Sebelum kita marah-marah keluarga dia buang dia, kita kena tengok dan siasat dulu. Kita kena cari tahu pasal apa keluarga dia buang dia?

“Oooo.. patutlah. Rupanya dia ada masalah begini.”

Kita akan dapat jawapan.

Bukan untuk bersangka buruk tapi untuk menjadi pelajaran kepada diri kita sendiri. Supaya kita ingatkan pada diri sendiri dan ingatkan pada anak-anak supaya jangan buat macam apa yang dia buat.

“Tengok dia. Kesian dia. Kenapa dia jadi macam tu? Sebab dia jahat pada diri dia sendiri. ALLAH tak bagi menipu. Bila mak ayah dia dah tahu dia banyak menipu, mak ayah dia sendiri buang dia dari keluarga.”

Kita jangan cepat nak menyalah-nyalahkan orang jika kita tak tahu cerita sebenar. Jangan main terjah kisah rumahtangga orang jika kita tak tahu apa kisah di sebaliknya.

…….

Bagaimana sikap anda ketika diuji?

Anda diuji, anda makin tutup pintu.
Orang whatsapp, tak nak jawab.
Orang telefon, tak nak angkat.
Dulu pergi masjid, sekarang masjid pun dah tak pergi.
Jumpa orang pun dah tak nak.
Lari dari jumpa orang.

Bila diuji , dia marah ALLAH,

“Aku dah elok-elok happy dengan kawan-kawan aku. Kenapa KAU matikan kawan baik aku? Kenapa??? Kenapa??? Kenapa??? Aku dah tak boleh lagi pergi masjid sebab kawan baik aku yang bawak aku pergi masjid tu dah mati.. dah tak boleh bawak aku pergi masjid dah.”

Anda merajuk dengan siapa sedangkan ujian itu ALLAH yang bagi?

“Dulu dia hadir majlis ilmu. Tapi sekarang sejak dia diuji begitu, dia tak nak datang majlis ilmu. Tak tahulah, dia macam down sangat.”

Sepatutnya apa yang mesti anda lakukan????

Lagi down, lagi anda kena bangkit!
Lagi down, lagi anda kena jumpa orang!
Lagi menangis di hati, lagi banyak anda kena bagi senyuman kepada orang!

Inilah cara anda sedang berdakwah!

Belajarlah dari semua orang yang anda jumpa. Terus bangkit. Terus berikan kegembiraan dan kebahagiaan. Secara diam anda sedang berdakwah.

…….

Ujian ini satu peringatan buat diri supaya kita lebih dekat dengan Pemilik Alam Semesta.

ALLAH merindui kita. Sebab itu ALLAH bagi ‘surprise’ yang berbentuk ujian itu pada kita. ALLAH beri ujian yang berat dan keras agar kita sedar jika selama ini kita sudah jauh daripada-NYA. Agar kita kembali mendekatkan diri kepada-NYA.

Cuba jujur pada diri sendiri.

Dulu ketika kita buat dosa, kita rasa ALLAH tu jauh dengan kita. Kan?

Lalu datang ujian menyebabkan kita balik mencari ALLAH. Kita belajar mengaji balik. Kita cari agama.

Subhanallah.

Bukankah kita sepatutnya berterima kasih kepada ujian?

Dan bukankah nanti di dalam Syurga, penghuni Syurga berterima kasih dengan ujian yang tidak pernah putus yang ALLAH berikan dengan airmata yang melimpah dulu, kita terima dengan redho, maka akhirnya ALLAH tempatkan kita di dalam Syurga?

Usah kita menjadi seperti orang-orang diuji tetapi mereka tidak bangkit dan tidak mencari redho-NYA ALLAH. Akhirnya mereka kekal berkeluh kesah di dalam Neraka ALLAH.

Na’uzubillahi Min Zalik.
Kita tak nak begitu.

……..

ALLAH rindu kita bercerita kepada-NYA. Sebab selama ni kita banyak bercerita dengan makhluk. Kita cerita kat FB. Kita terkinja-kinja di media sosial. Kita cerita pada ramai kawan. Kita rasa kita punya pasangan yang romantis. Kita punya anak-anak. Tapi akhirnya mereka hilang.

Sebenarnya kata alim Ulama, ALLAH cemburu. Kita cerita kat kawan berjam-jam. Kita cerita kat pasangan sampai bagi hadiah macam-macam.

Tapi kita cerita kat ALLAH?

1 minit sahaja.

Kita cerita kat ALLAH, 4 rakaat pun kita dah penat.

Kat ALLAH , kita tak bersembang sangat.

Jadi ALLAH bagi ujian yang keras.

Orang yang ALLAH nak tarik ke Syurga, dia sedar dengan ujian keras ini dia semakin berTahajjud. Dia semakin bersedekah. Dia semakin memberikan bahagia kepada orang lain. Ini cara ALLAH nak letakkan kita dalam Syurga.

DIA mahu kita kembali bercerita, mengeluh , meminta dan mengingati hanya kepada-NYA.

…….

Untuk kita yang diuji dengan ujian apa pun saat ini, berterima kasihlah kepada ALLAH.

Dan jangan maafkan diri kita andai dengan ujian itu kita semakin bermaksiat kepada ALLAH. Kerana tujuan ALLAH beri ujian, ALLAH sedang menghantarkan tali kepada orang yang sedang kelemasan. Peganglah tali itu sahabat.

Bila kita tarik tali itu, dengan siapa kita makin dekat?

Dengan penghulur tali itulah ALLAH.

ALLAH sedang mencampakkan tali kepada kita yang sedang kelemasan. Maka tarik. Supaya kita makin dekat dengan ALLAH. Dengan jalan-jalan syariat.

Bagaimana kita nak jumpa jalan-jalan syariat itu?

Melalui ilmu.

Maka belajarlah!
Baru kita jumpa jalan!

……

Jangan malas dan jangan jadikan malu sebagai alasan untuk kita kembali dekat kepada ALLAH. Kembali ke dalam dakapan iman kepada-NYA. ALLAH suka kepada kita yang menyerahkan diri, memunajatkan doa , meminta dengan penuh harap dan damba.

Sungguh!

ALLAH sedang menunggu kita mendekat.

Maka jangan sia-siakan penantian itu. Jangan sia-siakan waktumu dengan mengambil tempoh terlalu lama sebelum kembali mendekatkan diri kepada-NYA.

Jangan sampai ALLAH dah bagi ruang dan peluang berulang kali, tapi kita menderhakai-NYA berkali-kali.

Jangan sampai ruang dan peluang itu ALLAH tutup lalu tubuh kita ditutup dengan tanah, kita menyesal yang tak sudah-sudah di dalam tanah.

Na’uzubillahi Min Zalik.

____H-u-s-n-u-z-z-o-N____

Sebahagian tazkirah dari Ustazah Zai dalam Husnuzzon pagi tadi. Alhamdulillah. Jazakillahu Khair Ustazah ❤️.

Wallahu’alam.
Semoga coretan ini bermanfaat.

سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ ِللهِ وَ لآ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ

لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّٰهِ ٱلْعَلِيِّ ٱلْعَظِيمِ‎

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَىٰ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَىٰ آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

Sumber Facebook:

yusnizayaziz

ustazahzai

Husnuzzon

14 Jamadil Awal 1445H
28 November 2023

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *