Ustaz ada seorang kawan. Dia pencen askar. Untuk isi masa lapang, dia berniaga pisang goreng di tepi jalan.

Bila dah berniaga tepi jalan ni, faham-fahamlah. Pakaian biasa-biasa saja. Kadang nampak selekeh apa adanya. Lengan penuh parut kena percikan minyak panas.

Sahabat saya ni berniaga pisang goreng dari tengah hari sampai petang. Berjemur tengah panas hampir setiap hari.
.
.
Apa yang menariknya,

Setiap kali azan, dia berhenti jual pisang goreng, tutup warung. Cepat-cepat bersiap ke masjid untuk solat jemaah. Tak kira pelanggan datang atau tak ada, dia tetap akan siap-siap untuk ke masjid.

Ada satu hari, dia jadi imam.

Pada rakaat keempat, dia sujud lama. Tak bangun-bangun. Bila jemaah lain datang check, rupanya dia dah meninggal dunia. Hembus nafas terakhir ketika sujud.

Innalillahiwainnailaihirojiun…

Alhamdulillah, saya berpeluang untuk turut mandikan jenazah sebab agak rapat dengan arwah. Lengan berparut kesan kena minyak panas semuanya suci bersih. Hilang begitu saja. Wajah dia pula tenang dan tenteram dilihat.

SubhanaAllah. Allah muliakan dia dengan pilih dia meninggal ketika dalam sujud solat Jemaah di masjid. Husnul Khatimah. InshaAllah.
.
.
Kalau tengok secara zahir kehidupan dia semasa berniaga tepi jalan jual pisang goreng tu memang tak sangka akan temui kematian semulia itu.

Allahuakbar. Hebat kurniaan Allah.
.
.
Tuan puan, kadang kita ni mudah nak bersangka-sangka bila tengok orang lain.

Tengok orang susah tepi jalan, kita mula pandang sinis. Macam-macam sangka buruk timbul dalam fikiran.

Boleh jadi juga orang yang kita nampak selekeh tu lebih kaya dari kita.

Tengok orang berniaga tepi jalan sepanjang hari, kita fikir mereka ni mesti tinggalkan solat.
.
.
Ingatan untuk diri ustaz sendiri dan tuan puan semua, jangan suka bersangka-sangka bila tengok orang lain.

Sebaiknya saling mendoakan.

Ada seorang sahabat nabi yang dijanjikan sebagai calon ahli syurga. Beliau adalah Saad Bin Abi Waqash. Ketika ditanya apa amalan yang membawanya ke syurga beliau jawab,

“Aku tidaklah sehebat manusia lain dalam urusan ibadah mahupun ketaatan. Namun, aku sama sekali tidak mempunyai prasangka buruk kepada sesiapa pun termasuk tidak berkata buruk tentang sesiapa pun.”

Lalu balas sahabat yang bertanya: “Sungguh! Inilah perkara yang paling sukar dilakukan oleh mana-mana manusia.”
.
.
MashaAllah, besarnya manfaat orang yang tidak bersangka buruk kepada orang lain.

Tuan puan, ustaz kongsi 6 tip jadi orang tidak bersangka buruk pada orang lain menurut Sheikh Abdul Kadir Jailani:

  1. Jika engkau bertemu dengan seseorang, maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu.
    Ucapkan dalam hati: “Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku”.
  2. Jika bertemu anak kecil, maka ucapkanlah dalam hatimu: “Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepadaNya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku”.
  3. Jika bertemu orang tua, maka ucapkanlah dalam hatimu: “Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku.”
  4. Jika bertemu dengan seorang yang berilmu, maka ucapkanlah dalam hatimu: “Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku.
  5. Jika bertemu dengan seorang yang bodoh, maka katakanlah dalam hatimu: “Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia bodoh (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui akibatnya. Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik dariku.”
  6. Jika bertemu dengan orang kafir, maka katakanlah dalam hatimu: “Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin di akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh. Dan mungkin boleh jadi di akhir usia diriku kufur dan berbuat buruk.
    .
    .
    Tuan puan yang ustaz hormati,

Kita mudah bersangka buruk pada orang sebab rasa diri kita lebih baik. Berhati-hatilah dengan rasa ‘diri lebih baik ini’. Sebab perasaan inilah menyebabkan iblis tidak mahu sujud kepada Nabi Adam atas perintah Allah SWT.

Kata Iblis laknatullah:

“Aku lebih baik dari kamu. Aku dari api sedang kau dari tanah.”
.
.
Sama-sama kita ambil iktibar dan pelajaran.

Baik atau buruk diri kita atau orang lain,
cukuplah Allah yang beri penilaian.
.
.Sumber Facebook.

UstazHanafiMalek

24/11/2023