Adakalanya waktu yang paling tepat untuk berdoa ialah pada ketika hati paling berat untuk berdoa.

Benar, ada masa kita terlalu ‘down’ hingga segala-galanya mati dan terhenti. Rasa dan fikir kita mati. Langkah dan upaya kita seakan terhenti.

Masjid tempat paling tenang itupun terasa berat untuk dijejaki. Solat seakan-akan terawang-awang hingga segalanya terasa berlalu begitu kontang… gersang.

Pada waktu itu, istighfar dan berselawatlah. Duduk, pejamkan mata, tarik, simpan dan hembuskan nafas dengan perlahan-lahan. Katakan pada diri, aku tidak punya apa-apa, segalanya milik Mu ya Allah.

Jika segalanya berpunca daripada dirimu sendiri, istighfar… pasti itu daripada dosa. Jika pada orang lain, lepaskan… biar Allah yang membalas.

Jika memaafkan terlalu sukar, jangan dipaksakan. Tetapi terimalah itu sebagai takdir yang tidak mungkin dapat ditangkis. Memaafkan itu satu rasa. Rasa tidak mungkin dapat dipaksa.

Hanya katakan pada diri, biarlah Allah yang membalas. Allah sentiasa berada di pihak hamba yang dizalimi. Biarkanlah sumber kesakitan itu tertawa semahu-mahunya, tetapi yakinlah air mata mu lebih berbisa.

Selagi kau tidak melakukan dosa, itulah modal mu untuk bahagia. Bersedia berperang bukan bererti tidak berani untuk berdamai. Jangan dihunus belati kemarahan, sebaliknya simpan, pendam dan tahan… itu petanda taqwa yang ada di dalam dada.

Jangan sekali-kali mengundang perang, namun jika diri mu telah diserang, lawanlah dan patahkan tengkuk kezaliman dan pengkhianatan itu habis-habisan!

(Pesan-pesan pasca haji bersama Tuan Guru ustaz Salehuddin di masjid Ampang baru-baru ini)

Ustaz Pahrol
FB 24/9/2023