Jangan Bersedih Selama Anda Masih Dapat Berbuat Baik Kepada Orang Lain.
Kak bett nukil semula pesanan Ustazah Zai pagi ini. InsyaAllah.
Kita mungkin berasa pelik, kenapalah seseorang itu boleh membalas kesakitan yang diperlakukan insan lain dengan kebaikan?
“Kalau akulah yang kena macam tu, jangan harap…..”
Jawabnya adalah proses mendidik diri yang berterusan. Dahulu, hati mungkin sering berkata-kata, dan lisan juga mudah terlepas perkataan.
Hati yang kehangatan bagai dicucuh api. Aku tersakiti, kau juga harus merasa sakitnya!
Namun, setelah melazimi nasihat-nasihat kebaikan, diri akan mudah mengingat kematian. Mahukah aku mati dalam keadaan hati dan perlakuan yang tidak baik? Ya Allah, aku mahu mati dalam keadaan sedang berbuat kebaikan!
Tidak pernah menyesal seseorang yang berusaha membaiki diri. Biar tidak diterima kasihkan, biar sering dilupakan, tetapi bukanlah pandangan manusia yang diharapkan, bahkan redha Ilahi-lah yang dicari.
Siapakah yang tidak pernah lupa kepada kebaikan hambaNya? Itulah Allah Azza Wajalla, yang sentiasa mengetahui walau sezarah kebaikan yang dilakukan. Semuanya sudah tercatat!
Yang wajib, paksakan diri untuk lakukan. Jangan beralasan menunggu ikhlas.
Sesudah mampu untuk melakukan, didik diri supaya ikhlas, agar ketaatan itu hanya semata-mata keranaNya.
Kak bett lampirkan bersama hadith qudsi yang dikongsi Dr. Aidh Al Qarni dalam kitab, mudah-mudahan ada jentikan buat hati kak bett sendiri. Kita selalu berkeluh-kesah dengan masalah, sehingga lupa ada hamba-hamba Allah di sekitar kita dan bahagian ceruk dunia lain yang jauh lebih susah.
Ada banyak senarai kebaikan yang sering kita abaikan. Semoga kita tidak “didakwa” atas kelalaian kita kelak. Kerana nikmat kelebihan harta, kesihatan, kelapangan waktu, dan keamanan juga adalah ujian yang sering membuatkan manusia lupa bahawa dirinya adalah “hamba” Allah 🤧
Sumber Facebook : Baiti Abdullah (kakbettmuhasabah)
11 Ranadhan 1445h/ 22/3/2024
Pic hadith diambil dari page UmmatTv