RAMAI manusia ‘sangkut‘ di akhirat bukan disebabkan dosa dengan ALLAH SWT, tetapi melibatkan urusan dosa sesama manusia.

Perbuatan itu termasuklah dosa menjaja aib orang lain yang boleh menjadikan seseorang tergolong dalam kelompok muflis pada hari akhirat.

Rasulullah ﷺ pernah bertanyakan sahabatnya: “Tahukah kamu sekalian, siapakah orang muflis itu?” Sahabat menjawab:”Orang muflis menurut kami ialah orang yang tidak memiliki wang dan harta benda.”Baginda ﷺ kemudian membalas: “Sesungguhnya orang muflis daripada kalangan umatku ialah orang yang pada hari kiamat kelak datang dengan ibadah solat, puasa dan zakat, tetapi ia dulu selalu mencaci-maki orang ini, memfitnah orang itu, memakan harta orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang itu dan memukul orang ini. Maka diberikan kepada setiap orang tadi daripada pahala kebaikannya…” (Hadis Riwayat Muslim)

“Akhirnya, dia pergi akhirat tanpa sebarang pahala amalan. Umpama tidak buat sebarang amalan pun sebelum ini. Sebab itulah kita sentiasa beringat agar diri kita tidak tergolong dalam kelompok orang yang muflis di akhirat asbab membuka cela dan pekung manusia lain,”

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan ALLAH tutup aib hamba yang pertama tadi pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam satu riwayat lain daripada Ibn Umar RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya ALLAH akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, dapat difahami dan dihayati secara mendalam, pasti kita akan berkira-kira atau goyah untuk menjatuhkan air muka orang lain, ini kerana di hari akhirat nanti, semua amalan kita akan ditayangkan di padang mahsyar. Semua orang boleh lihat termasuk pasangan, anak-anak dan ibu bapa kita. Pasti kita risau semua orang tahu akan perbuatan kita di dunia dan dosa dilakukan di belakang manusia.

Seperkara lagi, suka saya ingatkan, sesiapa yang mencari-cari aib orang lain sebenarnya bukanlah menjaga tepi kain orang, tetapi seolah-olah dia sengaja menyelak kain orang demi mencari aib saudaranya yang lain. ALLAH akan buka aibnya nanti.

Andai seseorang percaya dan YAKIN dengannya, kita akan gentar untuk mengeluarkan kata-kata negatif mahupun dalam bentuk penulisan.

Ya benar, untuk menjadi baik bukanlah suatu yang mudah dan memerlukan mujahadah yang tinggi. Namun itu bukan alasan untuk tidak menjadi baik. Kita perlu sering bermuhasabah dan mengaudit diri sendiri tentang kesalahan dosa yang banyak yang kita sendiri tahu.

Ketahuilah bahawa manusia yang banyak menyakiti ialah orang yang disakiti.

Mengertilah, individu yang banyak melukakan orang lain ialah orang yang sebenarnya banyak terluka.

Mungkin dia sakit, secara mental atau emosi. Itulah caranya untuk mereka meluahkan kesakitan dan emosi iaitu menerusi media sosial.

Bila datang saja isu-isu tular, dia komen. Bukan komen jadi punca utama, tetapi disebabkan oleh hati yang terlalu sakit, masih belum berdamai dengan takdir atau mungkin juga dirinya pernah difitnah dulu.

Faktor hati banyak menyebabkan orang menyakiti seseorang yang lain.

Antara tanda hati seseorang sakit itu apabila kita menyakitkan orang lain, justeru bagaimana pula tanda hati yang sihat?

Tanda hati kita sihat adalah, kita suka beri kebaikan dan membuatkan orang lain rasa yang baik, suka memberi nasihat, memberikan kata-kata positif serta tidak merasa iri hati atas kelebihan orang lain dan tidak berburuk sangka.

Sumber Facebook : ISTIQOMAH ZIKIR PAGI.

~MRJ

MAHABBAH (CINTA): KITA AKAN BERSAMA DENGAN ORANG YANG DICINTAI

Fasa terakhir huraian makna cinta (Mahabbatullah – cinta kepada Allah) merupakan sebab kemuliaan hamba dunia dan Akhirat bahkan sebab kecintaan Allah kepadanya dan sebab kemustajaban doanya.

Disebutkan dalam hadis Qudsi, Allah berfirman tentang hamba-hamba Allah yang telah dicintai oleh Allah, Allah Taala menyatakan (maksudnya),

“Kalau hambaKu itu berdoa kepadaKu akan Aku mustajabkan. Dan jika dia berlindung kepadaKu, Aku lindunginya.”

Di antara tanda kecintaan Allah Taala kepada seorang hamba – cinta ada pangkat (level). Umpama,

  • orang berpangkat tinggi, cakapannya sedikit dan orang dengar. Dia beri arahan, orang patuh
  • orang pangkat rendah sedikit, dia komen, mengadu nanti akan diperhatikan juga namun perlu masa

Orang awam macam kita, komen jalan berlubang dua bulan in shaa Allah ditutup lubang. Tapi orang besar dia komen lubang yang sama dalam berapa minit, siap!

Bila orang itu dekat dengan Allah antara tandanya doa dia cepat mustajab. Fudhail bin Iyadh, dia ada masalah penyakit batu karang (dalam bahasa hari ini) sukar nak buang air kecil, ada waktunya maka salah-seorang khadamnya melihatnya sukar kencing tiba-tiba Fudhail angkat tangannya dan berkata,

“Ya Allah demi kecintaanku kepadaMu Engkau sembuhkanlah penyakit ini..”

Maka Allah sembuhkan. Terus dia sembuh, itu tanda kemustajaban doa dan itu tanda mahabbah (cinta).

Contoh, analogi mudah bila kita sayang seseorang dan dia mintak sesuatu, cepat tak dapat? Kita sayang dia dan dia sayang kita, dia minta hari ini maka hari ini jugak kita hantar. Kita takkan berlama-lama.

Kita bacakan hadis, kisah yang banyak bagaimana kemustajaban doa para kekasih Allah, begitu cepat. Allah berikan kepada mereka. Satu kisah oleh Imam Ibn Jauzi dalam kitab Sifatu-Safwa diceritakan daripada Malik bin Dinar RA seorang Tabiin meninggal sekitar tahun 101 / 110 Hijriyah.

Kata Malik bin Dinar,
‘Suatu hari aku masuk satu masjid di Basrah, aku lihat ramai orang berkumpul. Ternyata mereka berkumpul dari solat Zuhur ke Isyak, ramai penuh. Aku tanyakan mereka:

“Kenapa kamu semua berkumpul..?”

“Kami ni dah berbulan tak hujan.. tak tau nak buat apa sehingga telaga kami kering, sungai-sungai kami juga begitu maka kami berdoa daripada Zuhur ke Isyak, ini hari ke-2.”

Malik bin Dinar pun berkata, “Baiklah, saya ikut sekali..”

Maka mereka pun berdoa sampai Asar, solat Asar dan berdoa hingga Maghrib dan berdoa hingga Isyak dan balik rumah. Malik bin Dinar di Kota Basrah itu takda rumah, duduk di tempat lain. Maka tak tau nak ke mana, maka Malik bin Dinar duduk di masjid.

Kata Malik bin Dinar, “Sedang saya duduk di masjid berseorangan, tiba-tiba ada seorang lelaki masuk dan dia tak perasan saya ada di dalam masjid, orangnya hitam perutnya buncit. Dia ada satu pakaian yang dia tutup di badannya dan satu lagi kain diletakkan di bahunya.”

Kata Malik bin Dinar, “Saya melihat lelaki itu dia berada di masjid dan berdoa kepada Allah. Diperhatikan dan saya mendengar doanya: “Ya Allah.. Engkau menghalang hujan daripada turun di negeriMu untuk mengajar / mendidik hamba-hambaMu. Ya Allah Engkau Tuhan yang Pemurah, yang Lembut, Tuhan yang diketahui semua makhluk akan pemurahnya maka Engkau turunkanlah hujan untuk mereka waktu ini dan waktu ini..”

Kata Malik bin Dinar, waktu lelaki berkulit hitam itu turunkan tanganya (selesai berdoa), diperhatikan awan-awan mula bergerak, tengah malam dan hujan turun dengan begitu cepat. Maka lelaki itu keluar dari masjid, Malik bin Dinar pun ikut lelaki itu bagi mengenalinya. Diikut sehingga ikut, sampai ke jalan sempit penuh lecak, Malik bin Dinar tak mengikutnya lagi oleh kerana malam gelap dan kembali ke masjid sehingga ke solat Subuh.

Setelah solat Malik bin Dinar nak mencari rumah lelaki tersebut, maka dia pergi. Tiba-tiba yang dia nampak adalah satu rumah besar, dan tempat tadi tempat jual hamba yang ramai.

Maka kata Malik bin Dinar, “Saya nak beli salah-seorang hamba di sini.”

Maka orang kaya dari rumah besar itu pun keluarkan semua hamba dia, yang tinggi – rendah, dikeluarkan semua. Ada gemuk, ada comel. Satu pun Malik bin Dinar suka, dan ditanyakan: “Ada hamba-hamba yang lain?”

Kata orang kaya itu, “Inilah hamba-hamba yang kami ada, tiada yang lain.”

Tiba-tiba diperhatikan di sebelah rumah besar itu ada rumah buruk, ditanyakan: “Itu rumah siapa..?”

Dijawab oleh orang kaya itu, “Itu rumah seorang hamba, tapi dia tu tak guna sangat. Dia tak guna sangat.”

Maka Malik bin Dinar pun tengok ke rumah itu, dilihat itulah hamba yang dilihat di waktu malam. Orangnya perut buncit, kulit hitam dan hidung kemik, tak dilihat keistimewaannya. Maka Malik bin Dinar kata,

“Aku nak beli hamba ni.”

Kata lelaki kaya itu, “Takda faedah pun hamba ni, kamu nak beli.. nak beli jugak? Beli dengan harga murah saja dahlah.”

Dijual dengan harga murah. Maka Malik bin Dinar pun beli hamba itu, di sepanjang perjalanan hamba itu tak mengangkat mukanya, tunduk. Sampai ke rumah hamba itu pun bertanya,

“Tuan kenapa beli saya? Nak hamba kuat, ramai lagi. Nak hamba lawa ada ramai lagi hamba yang lain..”

Lalu kata Malik bin Dinar, “Bukan, aku melihat satu kejadian di dalam masjid dan kamu tak memerhatikan aku. Kamu berdoa kepada Allah dan aku melihat Allah memustajabkan doamu, kerana itu aku beli kamu hamba yang soleh.”

Ini antara contoh, tanda-tanda seorang itu kekasih Allah.

Kekasih (Wali) Allah ini, kata Ulama ada dua (2):

  1. Mastur – orang tak kenal, tak tau

Hamba tadi tak dikenali secara umum, yang kenal Kekasih Allah yang mastur hanyalah Kekasih Allah juga.

  1. Kekasih Allah yang dikenali

Orang kenal dia seperti Fudhail bin Iyadh, Malik bin Dinar, Dzun Nun al-Misri orang kenal semasa hidupnya lagi, kesolehannya. Maka yang dikenali ini mengenali mastur, orang awam macam kita tak kenal mastur melainkan kita anggap dia orang biasa, kita anggap dia macam orang takda nilai.

Kita orang awam hanya mengenali orang-orang yang terkenal. Lalu kita kenal dia orang soleh, bertakwa, taat, dia orang yang doanya mustajab ini di kalangan para kekasih Allah yang ‘masyhur’.

Ada istilah:

  • Masyhur
  • Mastur

Tetapi kekasih Allah yang tertutup ini, takkan ada orang awam yang kenal. Kalaupun orang awam tengok dia, orang tengok dia biasa saja tapi di kalangan para Wali Allah kenal,

“.. ini Auliya (Kekasih / Wali Allah)..”

Dek kerana dia suka menyorok identitinya, suka merendah diri dan mereka cuba beruzlah daripada masyarakat.

Tapi sifat uzlah (menyendiri) mereka tak menuduh masyarakat itu rosak atau sekian-sekian bahkan mereka (para Wali ini) mereka yang merasakan diri mereka rosak, takut mempengaruhi orang lain.

Tapi berbeza setengah kita, beruzlah dia untuk memburukkan orang lain:

“Orang sekarang ni teruk-teruk.. sebab itu saya menyendiri (uzlah)..”

Dia dan perkataannya seperti riak, sombong seolah-olah orang tak elok, dia saja elok. Sedangkan dalam bab Uzlah, seorang nak uzlah itu mesti buat wasangka yang orang lain buruk, tapi dia berkata: “Saya bimbang keburukan saya berjangkit pada orang..”

Ketika fasa Covid, kita kuarantin kita takut menjangkiti orang sebab kita bersimptom, waima kita kuarantin sebab kita takut orang lain yang ada simptom. Di sisi tarbiyah diri, siapa pun beruzlah dia mesti rasa dirinya lah penyebab orang lain mungkin jadi rosak, barulah uzlah dia sempurna.

Tapi kalau dia rasa orang rosak sebab itu dia uzlah, ada dua (ii) kemungkinan:
i) Dia sombong dengan kenyataan dia; atau
ii) Dia benar dan dia ambil sikap berhati-hati.

Tapi dia tak war-warkan kerosakan orang lain tapi dia melihat apa kesilapannya sehingga orang lain rosak, apakah tak dijalankan tanggungjawab dakwahnya?
Tidak menyampaikan perintah Allah?
Tak ditegur, dinasihati?

Sekiranya telah dilakukan tapi didapati responnya begini begitu barulah dia tarik diri. Ini kisah kekasih Allah.

DOA

Asas doa dituntut di semua ketika, waktu, keadaan dan doa, Allah janjikan kemustajaban,

ٱدْعُونِىٓ أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ

“Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

(Surah Ghafir, 60)

  • Asasnya doa, mustajab. Waima Allah: simpan di Akhirat, diberikan apa diminta, dipalingkan daripada yang boleh memudaratkannya.

Dalam senarai doa mustajab, paling cepat mustajab ini diberikan kepada para Wali / Kekasih Allah untuk membezakan mereka dengan orang lain sehingga orang datang minta doa mereka. Sebab itu kita baca kisah para sahabat RA, kesemua mereka mempunyai sifat mustajab doa.

Kisah Ubai bin Ka’ab, salah-seorang sahabat ahli al-Quran, disertai batalion tentera dipimpin Umar al-Khattab pada zaman Rasulullah SAW, maka Umar jadi Jeneral, salah-seorang sahabat dan Ubai ini bawa bekalan. Ketika ribut yang kuat dan hujan lebat, bersama dengan Ubai ialah Abdullah bin Abbas, tiba-tiba Abdullah bin Abbas melihat Ubai mengangkat tangannya,

“Ya Allah selamatkan kami daripada kejahatan hujan dan ribut ini..”

Akhir mereka sampai kepada Umar bin Khattab, dlihat barang-barang semua tak basah. Semua barang kering walhal Umar tahu di belakangnya ada hujan ribut kuat, tak mungkin barang-barang dibawa selamat, paling kurang barang basah dan rosak. Tiba di destinasi barang semua kering tak kena hujan.

Maka kata Abdullah bin Abbas,
“Tadi waktu kami dilanda ribut dan hujan lebat, kami lihat Ubai angkat tangannya dan kami tahu itu kemustajaban doa.”

Lalu Umar panggil Ubai bin Ka’ab dan berkata, “Kenapa kamu tak doakan kami sekali?”

Umar pun doanya mustajab, tapi watak orang yang doa mustajab mereka memuliakan orang lain yang doanya mustajab seperti mereka. Mereka tak bersaing dalam menghina, ia tak macam dunia. Dunia bila kita tinggi, kita nak menghina orang sedang agama ini bila kita dapat agama yang baik, Allah berikan kita ketinggian kita masih nak tumpang ketinggian orang lain, ia tak menjadikan kita sombong.

Ini kisah kemustajaban doa para Kekasih Allah dan kesan CINTA.

Para Ulama menyebutkan beberapa sebab mustajab cepat (doa), kita ada perkara-perkara umum mustajab doa terkait tempat, waktu, makan minum, tempat di Mekah, waktu sujud dan sebagainya.

Tetapi ada sebab khusus (mustajab doa), ia Allah berikan kepada orang yang:

  1. Orang yang banyak buat perkara sunat

Orang yang banyak buat perkara sunat, doanya mustajab. Yang wajib dijaga betul, yang sunat dia buat banyak, dalam erti kata dia tak memperlekehkan perkara-perkara sunat. Dia buat perkara sunat, sunat rowatib, Dhuha, witir, dan lain-lain perkara yang biasa sebahagian yang lain sudah lemah membuatnya.

Tetapi mereka ini orang-orang yang kuat melakukan ibadat-ibadat sunat, ini tanda mereka dapat doa mustajab yang cepat.

  1. Orang yang banyak berzikir kepada Allah

Orang-orang ini banyak berzikir kepada Allah, sehingga zikirnya menenggelamkan seluruh keinginannya yang lain, ini memang doanya mustajab. Banyak dia berzikir, orang macam ni tak ramai, kita ni zikir lepas solat saja lepas tu entah ke mana zikir.

Kita kadang lepas solat, terus ke dapur alasan anak sekolah semua, tak sempat. Kadang tak sempat pun terus shopping, zikir tak menjadi kebiasaan.

Di kalangan orang-orang yang doa mustajab, lihat dia dengan zikir ikatan dia dengan zikir kuat atau tak. Kalau kuat, mintak doa dia.

Dan di antara orang yang doa mustajab cepat –

  1. Ahli al-Quran, dia suka baca al-Quran

Dia banyak baca al-Quran.

Ini orang-orang yang kita tak jumpa ramai orang yang baca al-Quran banyak satu hari, ambil kawan-kawan sendiri 20 – 30 orang tanya dia banyak mana dia baca al-Quran? Takkan jumpa orang yang banyak baca al-Quran.

Tanya orang-orang pencen, sejuzuk saja sehari dia baca.

Tapi kalau tuan-tuan jumpa orang yang sehari dia baca al-Quran sehari 10 juzuk, pegang dia – doa dia mustajab. Sehari 10 juzuk dia boleh baca, atau paling tidak 5 juzuk maka kita tau dia bukan calang-calang orang terutama orang yang kita lihat dia sibuk tapi masih boleh baca al-Quran dengan jumlah yang banyak siang atau malam.

Kata Ulama nak kenal orang yang mustajab doanya,

  1. Orang yang suka tolong orang lain

Siapa pun kita jumpa, tuan-tuan orang yang suka tolong orang ni tak ramai. Yang tolong pada waktu tertentu itu ada, tapi setiap waktu kerja dia nak tolong orang..? sedang kita cemburu dengan diri kita sendiri. Kita sendiri ada kerja, ada urusan.

Watak orang doa mustajab, dia pasti tolong orang. Hatta kadang-kala dia tangguhkan kerja / urusannya demi nak tolong orang. Orang kata, “Anak saya sakit..”

“Takpa saya hantar. Saya kerja lambat sikit takpa, saya hantar anak awak sakit. Saya tolong urusan awak dulu.”

Orang ini dipanggil ‘itsar’, dia lebihkan orang, doanya mustajab. Siapa nak tengok orang yang doanya mustajab, watak dia, dia akan tolong orang sehingga dia buang masa dia untuk orang lain sehingga seolah-olah dia ini hidup untuk orang lain. Dia ini kita mintak tolong apa pun, dia sanggup korbankan.

Kita kata rumah kita nak buat jamuan, dia datang tolong. Tolong kemas, benda paling susah. Tapi ada orang watak dia lain, dia faham situasi dalam majlis kahwin bab mengemas dia datang, tolong. Dia kemas, dia ini doa mustajab.

Dia ini tak macam orang lain, dapat tolong orang. Saya kata kalau tuan-tuan buat jamuan, di permulaan persediaan ramai orang tolong tapi di akhir-akhir jamuan tak ramai tolong melainkan orang-orang terpilih. Ini orang-orang terpilih, paling sukar.

Buat jamuan, cerita bab kemas itu susah sekali. Nak mengemas, buang sampah semua orang serah diri sebab tak biasa. Tapi orang-orang khusus bab beri tangan (bantu) orang lain, luar biasa! Kita tau dia ini doa dia mustajab, mintak pada dia doakan kita.

Dan para Ulama kata antara orang yang benar-benar doanya mustajab,

  1. Orang yang benar-benar menghormati Ibu Ayahnya dan para Ulama

Dia betul hormat Mak Ayah dan khidmat sepenuh masa. Dia takda sub orang jaga, suruh orang – cucu jaga, tapi dia jaga. Dia sebagai anak jaga, setengah orang bila Mak / Ayah dia sakit, dia suruh anak atau cucu dia jaga. Lebih teruk orang lain sewa orang lain jaga, lebih teruk hantar rumah orang tua.

Fatwa, Ustaz sebutkan hukum hantar Mak Ayah ke rumah orang tua hukumnya haram kerana ia maksud penganiayaan. Tapi anak kata, Mak Ayahnya yang nak duduk rumah orang tua, walau anak-anak dah pujuk tetap Mak / Ayah nak duduk situ, mereka lebih selesa di situ.

Maka saya katakan pasti kita sebagai anak ada buat sesuatu sehingga mereka Mak / Ayah tak selesa dengan kita, buatlah sesuatu sehingga dia selesa dengan kita. Ikut mana pun kena ambil Mak Ayah. Tak selesa orang tua dengan kita itu bukan salah mereka orang tua, tapi salah kita anak.

Bila tuan-tuan pergi rumah orang, kerenah tuan rumah tak selesa kita tetamu pun nak balik awal, tapi kalau tuan rumah tadi dia dengan seronok layan kita maka kita pun rasa nak duduk situ.

Begitu Mak Ayah kita, bila dia selesa dengan layanan kita, dia takkan fikir nak ke lain. Tapi kalau sekiranya cara kita layan tu menjadikan dia tak selesa, dia Mak Ayah takkan duduk dengan kita.

Ada seorang Ayah mengadu dia pergi rumah anak dia di Kuala Lumpur, orang kaya berduit banyak. Ayah itu duduk lama, dan akhir dia bersumpah takkan pijak lagi duduk rumah anak dia, akhir ditanyakan kepada salah-seorang anaknya kenapa sampai ayahnya kata begitu?

Anak itu kata, “Ustaz, abang saya itu tak jahat.. tapi dia sibuk. Abang sibuk, isterinya juga sibuk. Bila ayah ada di rumah abang itu kata dia sibuk mesyuarat sampai tengah malam, jumpa kawan.”

Akhir ayah itu tak dilayan dalam tempoh panjang, sedangkan anak itu tak jahat. Dia hanya tak berikan / tak luangkan masa dengan ayahnya. Akhir ayah itu kecil hati dan bersumpah takkan pijak lagi kaki di rumah anaknya itu.

Bayangkan bila ayah bersumpah?
Teruk. Kecil hatinya dalam.

Sebab itu saya katakan orang yang boleh jaga Mak Ayah betul-betul ni, tak ramai. Jenguk Mak Ayah ada, tapi yang betul-betul jaga Mak Ayah dengan jiwa dan hati ni tak ramai. Tuan-tuan ada anak, boleh banding sendiri.

Kita yang dah tua-tua ni, siapa anak yang betul-betul jaga kita?
Balik raya, telefon, bagi duit raya tu biasa.
Tapi Mak Ayah yang dia betul-betul duduk dengan kita. Bahkan dia anak, bila dia ada mesyuarat dia kata,

“Takpalah mesyuarat tu, biar saya duduk dengan Mak. Ayah.”

Kita ada jumpa orang yang sanggup berhenti kerja untuk jaga Mak Ayah. Sehingga sebahagian kata dia itu bodoh berhenti kerja nak kerja apa demi jaga Mak Ayah! Tapi dia, tak layan. Dia tetap jaga Mak Ayah, dia tak peduli. Sebahagian menangguhkan perkahwinan untuk jaga Mak Ayah. Dan dia sehingga dipaksa Mak Ayah dia berkahwin, ikut mana kena kawin tapi Mak dia sampai kena paksa dia kawin.

Ini orang-orang yang luar biasa.
Ini orang-orang yang doa mustajab cepat.

Dan di kalangan orang-orang yang doa dia mustajab cepat,

  1. Orang yang berkhidmat kepada para Ulama, dan dia menjaga lidahnya daripada mengatakan sesuatu kepada Ulama

Kita berada pada zaman, kita masing-masing ada Tok Guru sendiri. Orang lain ada Tok Guru dia, kita pun ada Tok Guru kita. Tetapi kita takut bila berlaku perbezaan pendapat, percanggahan pendapat dan sebagainya sebahagian mereka cenderung menghina Ulama lain. Ini merosakkan hubungannya dengan Allah.

Kita berbeza pandangan, jangan pernah menghina orang lain.

Setiap Ulama ada pandangan, pendapat dia di sebalik kesolehannya menjaga agama, dalam menjaga maruahnya. Jangan kita hanya kerana perbezaan pandangan dan pendapat lalu kita mula bersifat menghina, dan merendah-rendahkan orang.

Ini bukan watak orang beriman.

Kita nak tengok orang mustajab doa, dia takkan suka merendahkan para alim Ulama walau Ulama itu bukanlah yang dia belajar (ambil ilmunya) atau yang dia cenderung pendapat tapi dia tetap memuliakannya, ini orang soleh.

Bila kita sebut, “Ulama pewaris Nabi SAW..”, bukan Ulama tu Tok Guru kita, mazhab kita saja tapi semua para Ulama. Ulama pelbagai pendapat, pandangan mereka ULAMA.

Tapi kita ada satu kecenderungan,
Ulama kita, kita puja.
Ulama yang tak berapa, kita rasa dia silap sebab ada khilaf.
Kita cepat melabel dengan label menakutkan!

Watak mereka yang doanya mustajab, antaranya mereka yang:

  • Memuliakan Ulama
  • Berkhidmat kepada para Ulama
  • Memuliakan dengan doa mereka.

Ini contoh orang-orang yang paling cepat doanya mustajab.

6 GOLONGAN ini, kalau tuan-tuan jumpa atau ciri-ciri ini ada pada tuan-tuan maka bergembiralah. Doa kita antara doa paling cepat meluncur di langit dan paling cepat dimustajabkan oleh Allah.

Ada orang-orang khusus yang doanya mustajab seperti ibu ayah kita, untuk hak kita sebagai anak bukan untuk orang lain. Ada Mak Ayah, doanya mustajab untuk kita tapi untuk orang lain, tidak.

Ada autoriti terhad. Melainkan dia Mak Ayah soleh, hebat bertakwa.
Tapi Mak Ayah doanya hanya buat anak-anak.
Doa para Ulama, untuk umatnya, lebih besar ridius keluasan kemustajaban doanya.

Tanda-tanda mahabbatullah pada doanya.

Kita lihat di antara makna mahabbah (kecintaan) juga, mengaku sesudah kita buat salah ini tanda Allah sayang.

Kita lihat kisah Zulaikha, waktu dia menggoda Nabi Yusuf a.s, dia letakkan kesalahan pada Nabi Yusuf a.s walau dia salah, waktu itu dia belum kenal Allah. Akhirnya tengah dia menggoda Yusuf a.s, suaminya masuk dan dia berkata:

“Wahai suamiku, apa balasan bagi orang yang cuba menggoda isterimu?”

Walhal dia yang menggoda Nabi Yusuf a.s, dia tukar cerita. Akhirnya Yusuf a.s dipenjarakan oleh tuduhan jenayah Zulaikha tetapi bila Zulaikha sudah berubah, berubah cintanya kepada Yusuf kepada cintanya kepada Allah.

Waktu mencintai Yusuf, dia berkelakuan jahat dan bila mencintai Allah dia berkelakuan baik dan akhirnya dia memiliki Yusuf a.s, supaya tuan-tuan memahami ‘plot’ kehidupan. Waktu kita mencintai Allah, kita akan mendapat isteri dan anak-anak dan waktu mencintai isteri dan anak-anak dengan meninggalkan Allah..? Maka kita akan hilang segala-galanya.

Ceritalah romantik macam mana, akan hilang.
Tapi waktu kita mencintai Allah.. kita akan mendapat isteri dan anak-anak. Maka baiki, islah kalau kita ada masalah dengan isteri, anak-anak maka baiki dulu kita dengan Allah, mesti dengan Allah dulu. Ada ‘cerita’ kita dengan Allah yang belum selesai sebelum cerita kita dengan isteri atau suami yang tak selesai.

Zulaikha, daripada dia tak mengaku salah dan lebih lagi menuduh orang lain bersalah kepada dia mengaku dia bersalah: “Hari ini jelas kebenaran, saya taknak bohong. Sebenarnya, sayalah yang salah. Saya takkan lagi khianati dia. Yusuf itu orang baik..”

Bila dia kenal Allah, dia mula kata Yusuf a.s orang baik.

Sebab itu Ulama ambil daripada kisah Zulaikha dan Yusuf, waktu Zulaikha mencintai Yusuf tanpa cinta dan tanpa kenal Allah maka dia berlaku jahat dengan cintanya.

Bila kita tengok orang bercinta dengan orang, tak dapat maka dia akan buat jahat dengan santau, ubat pengasih. Sedangkan orang cinta kerana Allah.. dia takkan buat semua tu, dapat cinta atau tak dapat, dia takpa. Dia kira rezeki, atau tak.

Tapi setengah orang bila dia cinta seseorang, dia tak dapat maka dia akan buat benda jahat. Cintanya kerana nafsu, bukan kerana Allah. Tapi Zulaikha bila mula Insaf, dan mula mencintai Allah akhir apa jadi?

Dia mengaku salah, dan mula mengakui Yusuf a.s orang soleh.
Allah angkat darjat dia, sehingga dia jadi isteri Nabi Allah Yusuf a.s

Ini cerita hebat tentang Zulaikha, ini maksud CINTA. Apa itu cinta..?
Mengakulah salah.

Kita tengok antara dua orang bercinta, salah seorang yang lebih cinta dia akan mengaku, “Sayalah salah. Saya yang salah.” Dia tak suka memanjangkan perkara, dia dengan cepat mengaku.

Bukan macam kita, hanya nak melepaskan geram. “Sayalah tu yang salah..”
Ini orang sombong yang cuba mengaku salah. Bila bergaduh dia beri ayat kasar, “Sayalah saya! Awak je betul!”

Itu nak tambah perbalahan masa tambahan. Kalaulah dia mengaku dengan baik, selesai. Tapi cakap dengan cara mengaku bak melepaskan batuk di tangga, “Sayalah salah.. awak je betul.” Ini bergaduh melanjutkan ‘masa tambahan’, tak selesai.

Orang yang cinta, dia akan mengaku (salah).

HEY ORANG YANG TAK FAHAM

Kisah Abu Sa’id Al-Hamdun dia berkata, “Suatu hari saya bermimpi berjumpa Nabi SAW dan saya berkata: Ya Rasulullah.. maafkanlah.. cinta saya kepada Allah sampai saya lupa untuk mencintaimu..”

Maka kata Rasulullah SAW dalam mimpi itu, “Ya Mubarak!

  • (hey orang yang tak faham..), cinta Allah itu.. cinta akulah. Itu maksud cinta aku.”

Kadang-kadang kita punya persepsi salah. Lalu kita kata, “Ustaz saya ni al-Quran jarang baca.. saya baca Yasin je..”

(Surah) Yasin tu, al-Quran lah. Bukan luar daripada al-Quran.
Orang yang kata, “Saya Ustaz.. jarang baca al-Quran. Hanya baca Yasin 40 kali sehari.”

Kita kata, “Awak baca al-Quran lah tu.. Yasin tu kan (sebahagian) al-Quran? Yasin ialah al-Quran.”

Tapi dia fikir itu bukan, dia tak rasa dia beri hak sebenar dalam bab baca al-Quran, sedangkan dia dah bagi hak sebenar. Seorang hamba Allah, dia duduk dekat Mekah dan takda visa, takda apa. Dia duduk Mekah dengan selamat. Allah beri dia doa mustajab, kawan saya ceritakan, ditanyakan apa amalan dia?

Dia itu tak reti baca al-Quran, dia hanya tahu surah Yasin saja.
Apa dia buat? Dia setiap hari baca surah Yasin 40 kali sehari.
Itu saja surah yang dia pandai, yang lain dia tak pandai.
Dia baca dan baca sampai 40 kali sehari. Dan dia ini Allah beri dia doa mustajab.

Suatu hari ada orang Arab, tak tau nak buat ada masalah lemah tenaga batin. Maka sahabat saya ini pun bawa orang Arab bertemu pakcik tua ini, duduk Masjidil Haram sehingga Subuh lepas tu baru balik atas bukit. Bukit Jiyad ada 600 anak tangga, kalau rajin boleh panjat.

Hari ini boleh dengan kereta, naik.

Orang Arab ini pun datang, dia jumpa pakcik ini dan beritahu, orang tua mustajab doa ini tak reti cakap doa, maka dia pun doa. Doa esoknya, Arab ini datang ke rumahnya bawa kambing seekor, selesai masalah dia. Ini cerita lama, orang itu pun dah mati, tapi kita nak sebut orang-orang yang setengah kita pandangan pada dia kurang, tapi kisah Syeikh Hamdun ini, dia seorang Ulama besar.., cuma Baginda SAW betulkan dia,

“Ya Mubarak, cinta Allah tu.. cinta sayalah. Allah suruh cinta saya, dan saya takda masalah apa. Memang saya ajar awak mencintai Allah.”

Mencintai Allah, bila cinta Allah selesai semua benda.
Seorang yang kata, dalam diri dia tak cintai isteri tapi semua cinta Allah.
Maka itu betul. Tapi kalau kata,

  • Tak cinta isteri, dan tak beri isteri nafkah?

Maka awak benci Allah, sebab Allah yang suruh beri isteri nafkah. Awak telah melakukan kesalahan pada Allah sebelum kesalahan pada isteri. Seorang cinta Allah, automatik dia cinta isteri, anak-anak dia sebab Allah yang suruh bergaullah dengan isteri dengan baik. Kalau cinta Allah maka akan ikut / buat. Takda orang yang bohong, cinta Allah TAPI dia abaikan isteri, nafkah isteri tak bagi tapi Tasawuf tertinggi? Cinta Allah? Ini BOHONG, dia tak cinta Allah.

Yang perintahkan dia buat baik pada isteri, anak-anak siapa kalau bukan Allah?
Yang menjadikan hukum-hakam kita pada isteri siapa kalau bukan Allah? Daripada hukum-hakam akad nikah, sampai kepada perkara berkaitan kalau benar dia cinta Allah dia akan sempurnakan layanan kepada isterinya. Kalau benar cinta Allah dia takkan menidakkan Rasulnya sebab itulah perintah Allah dalam al-Quran agar menjaga Rasul, mengikutinya.

Itulah cinta Allah.
Kefahaman betul, macam orang kata dia tak baca al-Quran tapi baca Yasin je, maka Yasin tu al-Quran, yang penting baca.

Apa pun kebaikan walau berbeza cara persembahan, ia kebaikan.

Kata Rabiatul Adawiyah, “Wahai Tuhan.. apakah Engkau akan membakar hati orang yang mencintaiMu?”

Tiba-tiba dia terdengar suatu suara, “Kenapa wasangka macam tu? Kami takkan mengazab kekasih Kami.”

Makna orang yang hidupnya mencintai Allah, Allah Taala akan memelihara dia daripada perkara ditakuti. Bila kita cinta Allah dan Allah cinta kita, maka Allah pelihara kita daripada semua perkara yang kita takuti, tidak ada lagi ketakutan, kebimbangan.

Dikatakan cinta itu daripada dua huruf: ‘ha’ dan ‘ba’.

‘Ha’ – ruh
‘Ba’ – badan

Ini tafsir secara isyarat, ia terkenal di sisi sebahagian Ulama Sufi, setiap abjab/ perkataan memberi maksud sesuatu. Orang cinta bercinta itu dia telah keluarkan ruh dan badan sekali, untuk menyetujui sesuatu.

Sebab itu disebutkan: “Cinta memberi maksud tak pernah sanggah, melainkan bersetuju.” Apa maksud cinta..? Setuju, setuju dengan orang yang kita cintai dan ia lebih sempurna bila cinta itu datang daripada hati. Seorang dia cintai suami dia, contoh: Suami kata hujung minggu ikut pergi rumah sedara, isteri cinta bukan hanya mulut malah hati juga ‘Boleh’.

Tapi kalau masih bangkang, belum cinta.
Cinta betul, hati dan mulutnya boleh.
Senyum mulut dan hatinya ini cinta sempurna.

Cinta itu tidak menyanggah.

Fudhail bin Iyadh berkata, “Bila kamu bercakap sesuatu dan kamu dapati seorang menyanggah, ketahuilah dia bukan sahabatmu. Tapi kalau kamu cakap dan dia bersetuju dengan kamu, dia betul kekasih.”

Kalau bercanggah, bukan kawan.

Tapi bercakap dengan isteri / suami, sama bercakap maka dia nak bercinta. Tapi sebaliknya, dia nak bergaduh lah tu. Nak selamat pergi tempat lain bila mula bercanggah.

Orang yang sayang belajar bercakap seirama, senada.
Lagu jadi indah sebab lagu sama.
Tapi bila irama ke mana tak jadi lagu, jadi gila.

Dalam rumahtangga jadi irama yang indah bila ia sama, sesekali akan jadi ‘chorus’ tinggi yang menyedapkan lagu itu, itulah lagu cintai. Cinta memberi maksud ‘muafakah’, bersetuju dan menafikan sebarang perkara tak bersetuju.

Abu Musa menyebutkan satu riwayat hadis, bila seorang berkata, “Ya Rasulullah.. ada seorang dia sayang satu kaum tapi belum bersama kaum tadi (dia belum mati lagi).”

Maka Nabi SAW kata,
“Kamu akan bersama orang yang kamu sayang..”

Siapa pun kita sayang, kita akan bersamanya Akhirat kelak. Hatta kita sayang suami kita, kita akan bersamanya. Sayang isteri, akan bersamanya Akhirat kelak. Kita sayang keluarga, kita akan bersama mereka. Sebab itu kerja kita hari ini menyuburkan kasih-sayang, dan kasih-sayang itu bak tanah yang subur yang menghidupkan setiap tanaman yang ada padanya.

Kita punya ‘formula’, tanah itu tak subur maka baja subur.
Kita letak satu lapisan tanah subur, biar tanaman subur biar semua ditanam itu hidup.

Demikian cinta bak tanah subur, agar semua yang tumbuh memberi manfaat. Kita pulak ada usaha dan perlu ada mujahadah.

Kata Abu Hafsh, ada tiga perkara yang rosak:

  1. Fasik orang Arifin
  2. Khianat orang jatuh cinta
  3. Berbohong para Murid

Ada tiga (3) darjat:

1) Murid, baru meletakkan dirinya berjalan ke jalan Allah

Murid dengan Salik ada beza sikit,

  • Salik, baru bermula
  • Murid, orang yang benar berkehendak

‘Salikin’ – bersedia pada jalan Allah (Salik)_
‘Muridin’ – berada jauh, bina karisma, jati diri sebagai hamba.

Kadang Murid jadi rosak, bila?
Bila dia banyak menyebut makhluk daripada Allah maka rosak dia.

“Awak kata nak dekat dengan Allah, nak jadi hamba Allah tapi awak sebut banyak makhluk, orang daripada Allah?”

Dan,

2) Golongan ‘Muhibbin’, dia juga khianat bila dia kata cinta Allah tapi bila keperluan syahwatnya mendesak lalu didahulukan syahwat, dia dah rosakkan cintanya.

Contoh:
‘Muhibbin’ (Pencinta Allah), dia tak boleh tidur bukan pada waktunya, ia akan merosakkan cinta.

Bayangkan duduk dengan orang-orang yang tuan-tuan cinta, tiba-tiba depan dia tuan-tuan tidur. Apakah tuan-tuan telah merosakkan cinta? Sayang dia? Sayang. Bila sayang maka duduk depan dia jangan tidur, patut beri perhatian pada dia.

Atau duduk depan orang tuan-tuan cinta tapi telefon orang lain?
Dia khianat maksud dia tak faham apa itu cinta.

Kita cinta seseorang telefon kita tak berbunyi depan dia, jangan kata perhatian kita pun tak beralih daripada dia. Jangan kata kita nak tidur depan dia, malah kita biarkan dia tidur dulu baru kita.

Cinta, Ayah Mak bercinta dipastikan anak tidur dulu. Dipastikan anak makan dulu, dibelikan anak-anak baju raya dulu, dia? Nanti dulu. Untuk anak baju baru, kerana cinta. Khianat cinta, apabila syahwat datang maka dia dahului syahwatnya daripada perintah Allah, maka rosak cinta.

Dan,

3) Golongan Arifin, bagaimana khianat dia? Dia mula bicara tentang dunia, seronok tentang dunia sampai dia lupa tugasnya membicarakan tentang Akhirat, seronok tentang Akhirat dan menjadikan orang seronok tentang Akhirat maka dia telah khianat dengan keilmuannya.

Ini tiga golongan.

Kisah dua ekor burung bercinta, burung jantan dan betina yang singgah di kubah istana Nabi Sulaiman a.s. Kubah ini tempat prestij, di masjid, bumbung paling mahal. Maka dua ekor burung bertenggek di kubah Nabi Sulaiman a.s, sedang memikat.

Maka mula mereka berbicara soal cinta, kata burung jantan itu, “Kalau kamu mahu aku boleh runtuhkan kubah ini sehingga kena kepala Sulaiman.”

Nabi Sulaiman a.s dengar, dan faham.

Orang bercinta memang akan cakap merapu. Lalu Nabi Sulaiman itu panggil burung jantan itu, maka kata burung itu, “Wahai Nabi Allah.. orang bercinta ini perkataannya jangan dikira..”

  • Para pencinta jangan dikira perkataannya

Sebab itu orang bercinta cakapannya lautan api nak direnangi?
Bila datang hujan lebat cari payung tempat berlindung.

Tapi orang bercinta ini, apakah dia menipu..?
Tak, itulah bahasa cinta.
Bahasa cinta cakap begitu, seronok dia bercakap.

Dia cakap suatu yang seorang bercinta, dia akan kata, “Saya kalau boleh panjat ke langit ambil bintang semat di dada..” cerita cinta dia nak naik ke langit, nak semat di dada nak hadiahi bintang!

Ini orang bercinta bahasa dia mustahil, macam seolah dia gagah sekali di dunia.

Para suami bercakap sebelum kawin, itu cakapannya bercinta.

“Awak jangan bimbang.. kawin dengan saya senang..”
Masa bercinta dia kata nak pakaikan emas atas ke bawah, dah kawin?
Digadaikan.

Kata burung jantan itu, “Orang bercinta takkan diazab dengan perkataannya..”

  • Jangan dikiralah cakapan orang bercinta..

Sanggup ikut ke mana lah, isteri kata sebelum kawin.
Tapi dah kawin? Ajak balik kampung pun taknak.
Sebelum kawin semua nak ikut suami, tapi lepas kawin? Ke masjid pun taknak pergi.

Itulah orang bercinta cakapan penuh kebohongan, tapi apakah dia berdosa..?
Tidak..
Dilamun cinta memang bahasanya begitu, melainkan orang yang cinta Allah.

Orang bercakap bab cinta, ‘pick-up line’, jangan percaya.
Bahasa orang bercinta seindah mana jangan percaya. Dengar boleh hanya hiburan, ia bukan boleh pegang setelah kawin. Waktu dia bercakap, bakal suami itu dalam keadaan ‘mabuk’, dia pun dah menyesal kawin.

Alam hakiki, rupanya sekian.
Maka tabahlah, sebab bermulalah pahala kita dengan ujian (rumahtangga) tersebut, bukan masa mabuk cinta ia masa buat kerja dan masa untuk kita jalankan tanggungjawab sehingga masa kita jumpa Allah dengan kebaikan kita lakukan.

Sumber Facebook: Pertubuhan Pengajian Ilmu Islam – PQ

TOKKU PASIR GUDANG

Santuni dan berbuat baiklah pada ibubapamu. Boleh jadi doa merekalah yang membuat hidupmu baik-baik sahaja hingga kini.

___

1️⃣ Jika ibu bapa kita masih hidup hingga kini, pastikan kita santuni dan berbuat baik pada mereka.

Pegang teguh anjuran Allah pada kita sebagai anak, Firman Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

al-Isra’:23

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

2️⃣ Dan, jika mereka telah kembali ke rahmatullah, jangan ditinggalkan amal baik dan doa buat mereka.

Firman Allah SWT:

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

al-Isra’:24

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu merendahkan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”

3️⃣ Hidup ini berputar, kan? Dahulu, kita adalah anak, kini kita adalah ibu bapa yang punyai anak. Dan tetap sahaja masih punya ibu bapa.

Maka, santunilah mereka sesuai dengan apa yang Allah dan Rasul telah tetapkan. ❤️

Tembaklah doa demi doa buat mereka kerana Tuhan, mudah-mudahan dinilai amal soleh!

Akhirnya kebaikan ini untuk diri kita untuk dipandang oleh Tuhan hingga ke Akhirat. Berjuanglah!

___

Nak dapatkan tadabbur & bimbingan doa ibu bapa dan zuriat yang soleh/ah?

Moga doa kita adalah doa yang lebih tulus daripada hati, bukan sekadar hafalan di lidah! 

https://www.wasap.my/601113109862/NakBukuDoa

#aplikasitadabbur #tapDOA #BinaKejayaanKeSyurga

Sumber Telegram : Akademi Sinergi