RAMAI manusia ‘sangkut‘ di akhirat bukan disebabkan dosa dengan ALLAH SWT, tetapi melibatkan urusan dosa sesama manusia.

Perbuatan itu termasuklah dosa menjaja aib orang lain yang boleh menjadikan seseorang tergolong dalam kelompok muflis pada hari akhirat.

Rasulullah ﷺ pernah bertanyakan sahabatnya: “Tahukah kamu sekalian, siapakah orang muflis itu?” Sahabat menjawab:”Orang muflis menurut kami ialah orang yang tidak memiliki wang dan harta benda.”Baginda ﷺ kemudian membalas: “Sesungguhnya orang muflis daripada kalangan umatku ialah orang yang pada hari kiamat kelak datang dengan ibadah solat, puasa dan zakat, tetapi ia dulu selalu mencaci-maki orang ini, memfitnah orang itu, memakan harta orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang itu dan memukul orang ini. Maka diberikan kepada setiap orang tadi daripada pahala kebaikannya…” (Hadis Riwayat Muslim)

“Akhirnya, dia pergi akhirat tanpa sebarang pahala amalan. Umpama tidak buat sebarang amalan pun sebelum ini. Sebab itulah kita sentiasa beringat agar diri kita tidak tergolong dalam kelompok orang yang muflis di akhirat asbab membuka cela dan pekung manusia lain,”

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan ALLAH tutup aib hamba yang pertama tadi pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam satu riwayat lain daripada Ibn Umar RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya ALLAH akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Melihat ungkapan hadis berkenaan, dapat difahami dan dihayati secara mendalam, pasti kita akan berkira-kira atau goyah untuk menjatuhkan air muka orang lain, ini kerana di hari akhirat nanti, semua amalan kita akan ditayangkan di padang mahsyar. Semua orang boleh lihat termasuk pasangan, anak-anak dan ibu bapa kita. Pasti kita risau semua orang tahu akan perbuatan kita di dunia dan dosa dilakukan di belakang manusia.

Seperkara lagi, suka saya ingatkan, sesiapa yang mencari-cari aib orang lain sebenarnya bukanlah menjaga tepi kain orang, tetapi seolah-olah dia sengaja menyelak kain orang demi mencari aib saudaranya yang lain. ALLAH akan buka aibnya nanti.

Andai seseorang percaya dan YAKIN dengannya, kita akan gentar untuk mengeluarkan kata-kata negatif mahupun dalam bentuk penulisan.

Ya benar, untuk menjadi baik bukanlah suatu yang mudah dan memerlukan mujahadah yang tinggi. Namun itu bukan alasan untuk tidak menjadi baik. Kita perlu sering bermuhasabah dan mengaudit diri sendiri tentang kesalahan dosa yang banyak yang kita sendiri tahu.

Ketahuilah bahawa manusia yang banyak menyakiti ialah orang yang disakiti.

Mengertilah, individu yang banyak melukakan orang lain ialah orang yang sebenarnya banyak terluka.

Mungkin dia sakit, secara mental atau emosi. Itulah caranya untuk mereka meluahkan kesakitan dan emosi iaitu menerusi media sosial.

Bila datang saja isu-isu tular, dia komen. Bukan komen jadi punca utama, tetapi disebabkan oleh hati yang terlalu sakit, masih belum berdamai dengan takdir atau mungkin juga dirinya pernah difitnah dulu.

Faktor hati banyak menyebabkan orang menyakiti seseorang yang lain.

Antara tanda hati seseorang sakit itu apabila kita menyakitkan orang lain, justeru bagaimana pula tanda hati yang sihat?

Tanda hati kita sihat adalah, kita suka beri kebaikan dan membuatkan orang lain rasa yang baik, suka memberi nasihat, memberikan kata-kata positif serta tidak merasa iri hati atas kelebihan orang lain dan tidak berburuk sangka.

Sumber Facebook : ISTIQOMAH ZIKIR PAGI.

~MRJ