Dia pernah terlibat dengan kemalangan jalan raya di Elmina beberapa tahun lalu. 10 buah kereta terlibat dalam kemalangan. Alhamdulillah, dia selamat.
Ustaz betul-betul kagum dengan anak muda ini. Ustaz jumpa dia dalam sesi rakaman untuk program di RTM sempena hari raya haji nanti.
Ustaz tanya, kenapa kerja sampai buat tiga kerja dalam sehari macam tu?
Dia jawab,
“Sebab nak senangkan hidup emak. Sebab nak senangkan hidup sendiri.”
Emak yang dah tua dan sering sakit jadi motivasi untuk dia bekerja keras dalam hidup di usia yang masih muda. Emak jadi asbab dia terus berjuang hadapi kehidupan.
Tengok kegigihan anak muda ini buat ustaz teringatkan satu kisah ketika masih merawat penagih dadah satu waktu dulu.
Ustaz ingat lagi ketika sedang borak-borak, penagih tu dia bagi handfon. Masa tu zaman handfon Nokia 3310.
“Nah, Ustaz. Ni telefon aku. Ustaz ambik telefon ni. Telefon Allah. Minta Allah siapkan neraka yang paling VIP. Mak aku sendiri cakap aku anak derhaka. Ustaz tempah satu bilik dalam neraka. Mati nanti aku terus check in kat sana.”
Astaghfirullahaladzhim.
Istighfar panjang ustaz bila dia cakap macam tu.
Ustaz pun cuba pujuk dia,
“Tak baik kau cakap macam tu. kau balik lah jumpa mak kau. Minta ampun. Minta doa pada mak kau”.
Apa dia cakap, “Hmm… tak ada makna lah ustaz. Aku tak pernah minta ampun daripada mak.”
Tengok keadaan dia yang keras hati macam itu, ustaz biarkan saja. Biar reda dan berkurang ego dalam diri.
Apa yang berlaku?
Ustaz dapat tahu dia balik kampung masa hari raya. Balik kampung minta ampun dan doa dari mak dia.
Tapi, Ustaz ingatkan dia dah berubah. Rupanya tidak. Sebenarnya dia balik kampung sebab hantar stok dadah. Jual pada orang kampung.
Tak lama tu, mak si penagih ni meninggal dunia. Bila emak dah tak ada, perangai dia makin menjadi-jadi. Bertambah jahat dan tak insaf.
Takdir Allah.
Beberapa tahun lepas tu ustaz jumpa semula dengan si penagih ini. Tapi keadaan dia sangat berbeza.
Kalau dulu penagih, Sekarang dia dah jadi pendakwah. Berubah 100 peratus.
Dulu ajak orang buat perkara jahat, Sekarang ajak orang ke jalan Allah. Subhanallah.
Dia cakap pada ustaz,
“Ustaz, sepanjang hidup saya lepas kembali ke jalan yang betul ni, saya tak pernah lupa sebut nama arwah emak dan arwah ayah tiap kali lepas solat.
Allah nak ke ampunkan dosa saya pada ibu dan ayah, yang saya pernah derhaka semasa mereka masih hidup? Allah nak ka ampunkan dosa saya?”
Ustaz pun peluk dia dan cakap,
“Wallahi. Kau berubah berkat doa emak kau. Kau berhijrah berkat doa ibu ayah kau yang telah meninggal dunia. Allah Maha Pengampun. Allah pasti ampunkan dosa sesiapa saja yang betul-betul bertaubat kepadaNya.”
Betul tuan puan. Ustaz percaya walaupun mak dia pernah cakap dia anak derhaka, pasti arwah mak dia tak pernah putus berdoa agar si anak kembali ke pangkal jalan.
Moga anak muda ni istiqamah buat kerja baik. Ustaz juga dapat tahu, selain berdakwah, dia jadi siak kat masjid.
Masjid mana?
Masjid kat kampung dia sendiri. Sebelah masjid ada tanah perkuburan. Di tanah perkuburan tu lah mak dia dikuburkan.
Dia nak sentiasa mengingati ibu yang telah meninggal dunia dan terus menjadi talian hayat yang menghantar doa dan pahala kepada ibunya.
Tuan puan yang dirahmati Allah.
Ada satu persamaan antara dua cerita ini iaitu bakti anak kepada ibu ayah.
Cerita pertama tentang bakti seorang ketika ibu masih hidup, cerita kedua tentang bakti anak setelah ibu meninggal dunia.
Islam sangat menganjurkan untuk umatnya berbakti kepada ibu bapa tak kira ketika mereka masih hidup atau telah meninggal dunia.
Ketika hidup, macam-macam yang si anak boleh lakukan untuk bahagiakan ibu ayah. Sediakan keperluan hidup, melayani mereka dengan baik, bahagiakan dan mudahkan urusan mereka.
Bagaimana jika ibu ayah dah meninggal dunia?
Ada beberapa amalan yang boleh dilakukan sebagai saham pahala kepada ibu ayah yang telah meninggal dunia.
- Doakan yang baik-baik.
Doalah yang baik-baik, dengan cara yang baik. Doakan Allah ampun segala kesalahan ibu ayah kita ketika di dunia. Doakan agar Allah beratkan timbangan pahala mereka.
- Sedekah.
Panjang sedekah dari harta mahupun ilmu yang mereka tinggalkan. Nabi saw pernah bersabda,
Apabila matinya seseorang insan maka akan terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan juga anak soleh (atau solehah) yang mendoakan kepada kedua ibubapanya.” – Riwayat Muslim.
- Langsaikan hutang.
Langsaikan hutang mereka yang berbaki. Boleh tanyakan pada kawan-kawan mereka atau saudara mara. Jika tak mampu langsaikan seorang diri, boleh berpakat dengan adik beradik yang lain.
- Tunaikan wasiat.
Tunaikan wasiat yang ibu ayah tinggalkan dengan keadaan baik. Jangan sampai berlaku pergaduhan dan putus hubungan sesama saudara.
- Ziarah kenalan dan saudara.
Ada hadis nabi saw, “Barangsiapa yang ingin diluaskan rezekinya serta dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung pertalian silaturrahim.” (Riwayat al-Bukhari)
Tuan puan,
Anak-anak adalah harta setiap ibu ayah. Sebagai anak, jom kita jadi ‘harta’ yang panjang manfaatnya kepada ibu ayah kita dengan jadi anak yang soleh dan taat kepada Allah Taala.
Semoga ada pahala yang mengalir kepada mereka asbab apa saja yang kita lakukan sepanjang hidup ini. Semoga kita dikumpulkan kembali di syurga bersama ibu ayah tercinta.
Sumber Facebook: Ustaz Hanafi Malek