“Pasal apa hang sampai tak sembahyang Zohor , Asar ni?

“Ya ALLAH…. Hang takdak anak takpalah hang tanya aku soalan macam tu. Fokus hang sembahyang, sembahyang, sembahyang. Aku urus anak. Anak nombor satu nak masuk sekolah. Anak nombor dua nak keluar sekolah. Aku semua kena urus ni. Pak depa bukan ingat apa dah. Maka mana sempat aku nak sembahyang. ALLAH tau lahhh aku tak sempat nak sembahyang.”

Inilah orang yang disibukkan dengan anak pinak.

“Hang pasal apa , dekat masjid pun dah lama tak pernah nampak?”

“Pasal aku sibuk kerja. Lagi aku naik pangkat lagi aku sibuk.”

Inilah orang yang disibukkan dengan harta benda.


Firman ALLAH dalam Surah Al-Munafiqun ayat 9.

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا لَا تُلْهِكُمْ اَمْوَالُكُمْ وَلَآ اَوْلَادُكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللّٰهِ ۚوَمَنْ يَّفْعَلْ ذٰلِكَ فَاُولٰۤىِٕكَ هُمُ الْخٰسِرُوْنَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah harta bendamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat ALLAH. Dan barangsiapa berbuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.”


Harta benda tak pernah salah.
Anak pinak tak pernah salah.

Jadikan kedua-dua yang ALLAH sebut dalam Al-Quran ini bukan menjauhkan kita dengan ALLAH tapi makin mendekatkan kita dengan ALLAH.


Kita perlu sedar semua yang ada pada diri kita, semua yang kita miliki sekarang yakni keluarga, anak-anak dan harta benda hanyalah perhiasan semata-mata.

Apa makna perhiasan ni sahabat-sahabat?

Ada. Takpa.
Tak ada. Pun takpa.

Perhiasan ini kehendak nafsu.

Bila kita pandai mengurus nafsu, kita akan kata,

“Ohhh…harta dan anak-anak ni hanyalah perhiasan semata-mata. Ada ok, kita boleh bahagia dengan anak dan harta tu. Tak ada pun ok. Kita boleh bahagia tanpa anak dan harta itu.”


“Dan ingatlah sesiapa yang melakukan demikian maka merekalah orang-orang yang rugi.”

Ada anak dan ada harta benda ni rugi ke?

Ada anak ni kemahuan semua orang. Semua orang nak anak. Semua orang nakkan harta. Tapi jangan sampai dua perkara ini menguji kita sehingga kita jauh dari ALLAH.

Sebab itu kadangkala ALLAH uji kita melalui harta dan anak-anak supaya kita tersedar,

“Ya Robb, aku sibuk sangat dengan harta aku, dengan anak pinak aku. Hari ni KAU beri aku ujian. Aku baru jatuh terduduk. Aku terlentang Ya ALLAH. Tapi aku masih lagi boleh bangkit Ya ALLAH . Jangan sampai aku sudah dimasukkan ke dalam liang lahad dalam kesibukan dengan harta dan anak-anak.”


Dengan adanya semua itu ( harta benda dan anak pinak ) sepatutnya menjadikan kita lebih taat kepada ALLAH SWT, bukan sebaliknya iaitu menjadikan kita lalai.

Walau sesibuk mana pun kita sekarang, luangkan sedikit masa untuk memberikan hak kepada yang menciptakan kita iaitu ALLAH SWT.

Rugi sangat kita apabila bermati-matian mengejar dunia yang fana ini. Kita sepatutnya mengejar Akhirat yang selama-lamanya abadan abada.


Siapa orang yang bodoh?

Orang yang bermati-matian mengejar dunia. Dia tahu dunia ini akan binasa tapi itu yang dia kejar. Dia terus menerus mengumpul harta dan kesenangan dunia dengan melupakan kehidupan abadi selepas ini.

Inilah orang yang rugi.

Dia sibuk dengan kehidupan dunia. Dia lupakan kehidupan yang abadi. Rugilah apabila menukarkan kehidupan di Syurga yang kekal abadi dengan kehidupan dunia yang sementara ini.

Ibaratnya kita memilih batu kerikil berbanding batu permata yang jauh lebih cantik dan berharga.

Manakala orang bijak adalah orang yang mengejar Akhirat sebab dia tahu Akhirat itu selama-lamanya.


Sebab itu ALLAH sudah beritahu bahawa manusia ini hidup dalam kerugian.

“Kita mana ada rugi? Perniagaan kita untung. Anak kita ramai, kita untung. Harta kita banyak. Kita untung.”

Kita kata kita untung. Kita ada itu kita ada ini.

Sedangkan ALLAH lebih mengetahui.

“Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling menasihati supaya mentaati kebenaran dan saling menasihati supaya menetapi kesabaran.”

(QS Al-Asr 103:1-3)

_______W-A-S-Y-K-U-R-U-L-I__

[Sebahagian tazkirah dari Ustazah Muzayyanah dalam Wasykuruli pagi ini. Alhamdulillah. Jazakillahu Khair Ustazah ❤️]

Wallahu’alam.
Semoga bermanfaat.

سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ ِللهِ وَ لآ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ

لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّٰهِ ٱلْعَلِيِّ ٱلْعَظِيمِ‎

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَىٰ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَىٰ آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

Sumber Facebook : yusnizayaziz

ustazahzai

wasykuruli

24 Zulhijjah 1445H
1 Julai 2024

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *