Ustaz ada seorang kawan. Kenal sejak zaman muda-muda dulu. Zaman muda dulu dia jenis yang agak kelam kabut.

Sebelum dia masuk maktab perguruan, dia jumpa Ustaz.

“Macam mana ni? Aku tak minat jadi cikgu, tapi dapat maktab perguruan. Dulu, minta universiti tak dapat. Aku nak buat apa ni?”

Bertalu-talu dia tanya solat dengan dahi berkerut seribu.

Ustaz pun tanya dia balik.

“Hang dah buat istikharah ka masa nak minta maktab tu?”

Dia jawab, dah.

“Aku tak tau nak buat apa. Aku betul-betul tak minat nak jadi cikgu. Aku lagi minat berniaga.”

Ustaz pun tenangkan dia.

“Relaks, rezeki kita tak sama dengan orang lain. Tiap-tiap orang ada jalan rezeki masing-masing. Hang dah buat istikharah kan? Mungkin ni jalan rezeki yang Allah nak bagi kat hang.”

“Ya ka? Aku tak boleh la. Aku fikir bukan-bukan. Aku tengok ada kawan-kawan kita pakai kereta. Aku stress. Aku masih tak ada apa-apa.”

Zaman tu kalau pakai kereta Wira Aerobek tu memang dah hebat sangat. Kawan-kawan kerja kilang saja dah pakai kereta.

Ustaz pujuk dia lagi.

“Relaks.., rezeki hang mesti ada satu hari nanti. Hang tenang saja. Sabar.”

Habis saja belajar, dia dapat jadi cikgu. Ustaz ingatkan dia dah gembira dengan kerjaya sebagai guru. Tapi dia datang jumpa Ustaz lagi dengan muka stress.

“Aku dah dapat jadi cikgu. Tapi aku makin stress dan sedih.”

Ustaz pun tanya,

“Pasai apa muka sedih sangat ni. Alhamdulillah.., syukur lah dapat jadi cikgu.”

“Aku sedih sebab aku ditugaskan di Sabah. Kawasan pendalaman pula tu.”

Ustaz pun cakap,

“Hang kena bersyukur. Itu jalan yang dipilih Allah. Hang jangan serabut sangat. Mesti ada hikmah. Hang follow ja apa yang Allah bagi.”

Ustaz tambah lagi.

“Hang kan minat berniaga. Aku doakan hang ada pusat tuisyen kat Sabah nanti.”

Dia pun pergi ke Sabah jadi cikgu.
Apa terjadi?

Tuan puan tahu? Sampai hari ni dia tak ada pusat tuisyen sendiri. Sebab dia dah kaya raya.

Walaupun kawan Ustaz ni tak suka jadi cikgu, dia berusaha jadi guru yang terbaik. Dia mengajar Matematik bersungguh-sungguh. Budak-budak suka cara dia mengajar. Mudah faham. Mak ayah pun suka. Dia jadi guru yang sangat hebat mengajar Matematik.

Macam mana dia boleh jadi kaya?

Dia buat kerja separuh masa mengajar anak-anak tauke balak di Sabah subjek matematik. Tauke balak ni bagi upah tinggi pada kawan Ustaz ni.

MashaAllah, rezeki dari Allah.
Alhamdulillah, tabarakallah…

Tuan puan yang dirahmati Allah.

Ramai orang tidak rasa bahagia dalam hidup. Gelisah dan tidak tenang. Sebab lebih fokus pada apa yang diinginkan, bukan yang dimiliki.

Sempena kehadiran tahun baru hijrah tak berapa hari lagi, jom kita hijrah cara berfikir. Fokus apa yang kita miliki bukan semata apa yang kita inginkan.

Dalam cerita kawan ustaz di atas, Alhamdulillah dia menyedari kelebihan yang ada pada diri iaitu pandai ajar matematik. Jadi, walaupun pada awalnya dia tidak suka jadi guru tapi dia tetap menggunakan kelebihan yang ada untuk beri manfaat yang terbaik kepada anak murid.

Tuan puan, fokus pada apa yang kita miliki adalah sifat orang yang bersyukur.

Allah sebut dalam Al-Quran maksudnya, “Jika kamu bersyukur, aku akan tambahkan nikmat…”
Kenali kelebihan yang Allah beri pada kita lalu gunakannya untuk manfaat diri, keluarga dan orang lain. Inilah bentuk kesyukuran yang Islam perintahkan.

Alhamdulillah. Allah berikan ustaz kelebihan bercakap, bagi motivasi pada orang dan sedikit ilmu, ustaz gunakan di jalan kebaikan.

Alhamdulillah, semuanya atas bantuan Allah.

Tuan puan. Kita dah nak masuk tahun 1446H.

Jom pujuk hati untuk berubah.
Dari sikap kurang baik kepada baik.
Dari sikap baik kepada yang lebih baik.

Semoga tahun baru yang bakal datang, Allah kurniakan kita kebaikan, keberkatan dan kebahagiaan dalam hidup.

Sumber Facebook: Ustaz Hanafi Malek

6/7/2024 (Sabtu)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *