Muslim yang Taqwa dia akan sentiasa bersemangat memburu amal. Tidak ghairah hanya pada amalan-amalan besar semata seperti Puasa Ramadhan, merebut Lailatul Qadar, ibadah Qurban tetapi tetap sentiasa tamak di dalam memburu amal pada apa jua peluang ibadah yang terhidang. Ini kerana peluang-peluang beribadah ini kita hanya dapat lakukan hanya semasa kita hidup didunia sahaja. Kita tidak diberi peluang untuk kali kedua. Istighfar kita sudah tidak laku lagi apabila kain kafan telah sampai ke jasad. Jutaan zikir sudah tidak bermakna lagi apabila dibaca ketika menunggu giliran untuk penghisaban (semasa berada diyaumul mahsyar).

Dunia hanya sementara, kehidupan yang sementara, kenikmatan yang sementara, keseronokan yang sementara, kesulitan yang sementara.

Allah SWT memiliki 100 Rahmat. Allah berikan untuk dunia hanya 1% sahaja, manakala 99% lagi diberi untuk akhirat. Maksudnya segala nikmat, keindahan, kekayaan, kehebatan dunia ini adalah hanya 1% sahaja dari Rahmat Allah. Di syurga nanti Allah akan berikan 99% dari rahmat-Nya yang mana betapa dahyatnya kenikmatan syurga itu kita tidak dapat jangkau melalui akal. Sedang 1% rahmat Allah SWT dari nikmat dunia ini pun ada dikalangan manusia yang sudah lupa daratan dan bangga dengan apa yang dimiliki. Justeru itu kita perlu bersemangat untuk mengejar akhirat.

Akal boleh percaya, namun…. tubuh belum kuat untuk laksana, tanpa ada keimananan yang kuat. Maka kerana itu kita dapat lihat bahawa tubuh yang sihat belum tentu boleh ke masjid, berpuasa sunat, membaca al-Quran, berzikir dan memperbanyakkan solat sunat. Harta yang banyak belum tentu mahu bersedekah dan melakukan ibadah Qurban.

Justeru itu, kejutkan diri dari lamunan. Sekarang akhirat adalah fantasi, manakala dunia adalah reality. Namun, setelah kita meninggal nanti, dunia pula yang akan menjadi fantasi tatkala akhirat akan menjadi reality.

Untuk menjadi muslim yang taqwa, antara perkara yang perlu pada diri kita adalah kena banyak BERSABAR. Bersabar dengan kesusahan hidup, bersabar dengan perangai suami/isteri/keluarga/anak-anak, bersabar dengan ujian sakit, bersabar dari berbalah, juga bersabar dengan kezaliman orang pada diri kita.

Antara faktor terbesar yang menyebabkan seseorang itu masuk ke syurga adalah disebabkan kuatnya bersabar bukan kerana kuatnya beramal kerana semua orang mampu beramal tetapi bukan semua orang mampu bersabar.

Tidak dinafikan bersabar itu tidak semudah seperti apa yang disuruh dan diucap namun itulah kesabaran. Sabar adalah perkataan yang banyak disebut di dalam Al-Quran dan ia dikaitkan dengan kejayaan ke syurga. Justeru itu, kuatkan diri kita untuk bersabar iaitu dengan menanan marah, tidak membalas, tidak bertindak pada sesuatu perkara mengikut hawa nafsu dan akal.

ISTIQOMAH ZIKIR PAGI.

~MRJ

Sumber FB : Muhamad Rizal Johari

5/10/2024

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *