RASULULLAH SAW TEGAS DALAM MENGINGATKAN HAL KEMATIAN

Berkata Syeikh Abdul Qadir al-Jailani:

“Hendaklah engkau,

  1. Selalu mengingati mati
  2. Bersabar di atas bala bencana
  3. Berserah diri kepada Allah azzawajalla pada semua hal dan keadaan

Bila sudah sempurna kesemua tiga-tiga sifat ini pada dirimu, datanglah kepadamu Malaikat.

Dengan mengingati mati, barulah benar kezuhudanmu.

Dengan bersabar, nanti engkau akan memperolehi apa yang engkau inginkan daripada Tuhanmu.

Dengan berserah diri kepadaNya, semua ingatan dunia akan keluar daripada hatimu, hatimu itu pun akan bergantung dengan Tuhannya, dan akan berundur daripadamu dunia, Akhirat dan semua yang selain Allah.

Ketika itu akan datang kepadamu kerehatan daripada segala penjuru, akan datang perlindungan daripada segala penjuru – Allah akan memeliharamu daripada segala penjuru yang enam sehingga tiada jalan bagi seorang pun untuk membahayakanmu.

Semua sudut yang menuju kepadamu akan tersekat,
Semua pintu yang sampai kepadamu akan tertutup.

Kini engkau tergolong ke dalam kumpulan orang-orang yang dikatakan oleh Allah Taala dalam firmanNya:

إِنَّ عِبَادِى لَيْسَ لَكَ عَلَيْهِمْ سُلْطَـٰنٌ

“Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka.”

(Surah Al-Hijr, 42)

  • Sesungguhnya para hambaKu itu tiada kuasa bagimu (wahai Syaitan) untuk menyusahkannya.

PENERANGAN

Kata Syeikh Abdul Qadir, ada tiga perkara yang mesti kamu lakukan untuk mendapat keselamatan, dan untuk sentiasa bersedia dan tenang ketikamana datang Malakul Maut –

i) Sentiasa ingat mati
ii) Bersabar bagi setiap bencana, musibah menimpa
iii) Senantiasa berserah diri kepada Allah SWT.

Lengkap tiga perkara ini maka datanglah Malaikatmu dengan cara yang baik.

Nabi SAW bila melihat para sahabat, sedikit lalai – maka Rasulullah SAW menyatakan:

“Mati kejap lagi datang.. paling tidak ia mesti datang, waima mati ini adalah kecelakaan kamu, atau kebahagiaan kamu.”

Nabi SAW akan pastikan para sahabat sentiasa ingat mati. Bila nampak sahabat sedikit lagha, atau terpaling, mula leka, Nabi SAW akan ingatkan dengan pelbagai bentuk ingatan. Kadang-kala dengan tegas, seperti hadis di atas.

“Mati dah datang ni,
Tidak dapat tidak ia akan datang!
Waima kamu akan jadi celaka, ataupun kamu akan jadi bahagia.”

Rasulullah SAW menyebut lagi dalam memberi ingatan tegas akan kematian, perumpamaan kematian itu umpama pakaian kamu yang koyak, lalu tergantung hanya pada pakaian yang bersisa, yang menunggu untuk putus. Begitu hidupmu dengan kematian.

Kita tergantung, hanya sikit.

Rasulullah SAW bertanyakan sahabat, “Wahai Muaz apa hakikat iman kamu?”

Kamu kata kamu beriman, apa hakikat?

Lalu kata Muaz Bin Jabal , “Ya Rasulullah.. tidak aku melangkah satu langkah, melainkan aku melihat langkah ke-dua aku akan mati.”

Begitu mereka para sahabat ingat mati, untuk menunjukkan bagaimana Rasulullah SAW tegas dalam bab ini. Tegas dalam mengingatkan kematian kerana ini menjadikan permulaan kebahagiaan, ataupun kecelakaan kita.

Sumber FB : TOKKU PASIR GUDANG

29/11/2024