MANA HILANGNYA COMMON SENSE?

Dalam kegembiraan menyambut Aidilfitri, ada yang lupa bahawa dunia ini tidak berputar pada dirinya seorang. Tengah malam, saat manusia lain mengharapkan ketenangan, mereka membuat bising, meletupkan mercun, menghidupkan muzik sekuat hati — tanpa memikirkan jiran yang mahu lena, anak kecil yang baru hendak terlelap, bayi yang baru tidur setelah puas menangis, atau orang tua yang sakit dan memerlukan rehat. Mana hilangnya common sense?

Islam tidak mengajar kita mementingkan diri. Malah, Rasulullah SAW mengajar betapa pentingnya menjaga hak jiran. Baginda bersabda:

“Demi Allah, dia tidak beriman! Demi Allah, dia tidak beriman! Demi Allah, dia tidak beriman!”

Lalu ditanya: Siapa itu, wahai Rasulullah?

Baginda bersabda: Iaitu orang yang jirannya tidak merasa aman daripada kejahatannya.”

(Muttafaq Alaih)

Tegasnya, iman kita teruji pada perlakuan kita terhadap jiran. Selama 30 hari Ramadan, kita berusaha memperbaiki diri, solat tahajud, mengaji, menahan marah dan menjaga adab. Tapi seolah-olah semua itu hilang sekelip mata apabila Syawal tiba. Bukankah Ramadan sepatutnya melatih kita menjadi lebih sabar, lebih peduli, lebih beradab?

Main Mercun Sampai Tengah Pagi?

Gembira menyambut raya itu tidak salah, tetapi jangan sampai lupa batasan. Letupan mercun yang membingitkan telinga sehingga dinihari bukanlah budaya Islam. Anak-anak mungkin seronok, tapi bagaimana dengan anak kecil jiran yang terkejut dan menangis kerana tidak dapat tidur? Atau bayi yang baru sahaja lelap, terus terjaga dan menangis semula? Bayangkan pula orang tua yang sakit, yang sudah letih tetapi terpaksa menahan bunyi mercun seolah-olah berada dalam zon perang.

Jangan Ajar Anak Mementingkan Diri

Gembirakan anak-anak, tidak salah. Namun, mendidik mereka untuk menghormati jiran juga tanggungjawab kita. Ajar mereka bahawa keseronokan kita tidak boleh menyusahkan orang lain. Malah, keceriaan Aidilfitri seharusnya dikongsi dengan cara yang beradab, bukan memaksa jiran menanggung kebisingan yang tidak sepatutnya. Jika benar kita sudah belajar dari Ramadan, buktikan dengan menjaga adab dan memberi ketenangan kepada orang lain. Jangan sampai kerana sedikit kegembiraan, kita merosakkan pahala sebulan Ramadan yang telah dikumpul.

Ingatlah, jangan biarkan kegembiraan kita menjadi ujian bagi orang lain. Aidilfitri adalah hari untuk mengeratkan silaturahim, bukan mencetuskan persengketaan. Allah tidak memandang pada banyaknya amal ibadah jika ia disulami dengan kezaliman terhadap orang lain.

Jangan Sampai Doa Jiran Teraniaya Dimakbulkan

Kadang-kadang kita tidak sedar bahawa perbuatan kita boleh menjadi punca doa teraniaya jiran kita dimakbulkan. Orang tua yang terjaga tengah malam kerana bisingnya mercun, ibu bapa yang keletihan menenangkan anak kecil yang menangis akibat terkejut, semuanya mungkin mengadu dalam hati kepada Allah. Jangan sampai doa mereka menjadi sebab kita kehilangan keberkatan hidup.

Moga Allah redha dengan akhlak kita. Jangan hanya menunduk waktu solat, tapi lupa menundukkan ego dalam kehidupan seharian. Selamat Aidilfitri, jagalah hubungan sesama manusia seperti mana kita menjaga hubungan dengan Allah.

Sumber Telegram : Ceramah Ustaz & Ustazah.

April, 2025/ 1446H

https://wa.me/60142767238?text=ebookCeramah