Sebelum kita mula melakukan sesuatu, ada baiknya kita belajar dahulu bagaimana untuk menamatkannya. Kerana memulakan itu seringkali datang bersama semangat yang meluap, tetapi menyudahkannya memerlukan ketabahan yang luar biasa.

Ramai orang terpesona dengan permulaan, dengan idea baru, impian besar dan langkah pertama yang penuh harapan. Namun, di pertengahan jalan, apabila cabaran mula hadir dan kesabaran mula diuji, tidak ramai yang mampu bertahan.

Sebab itu penting untuk kita bukan sekadar tahu bagaimana untuk mula, tetapi lebih penting lagi, tahu bagaimana untuk mengakhiri dengan baik. Setiap perkara yang dimulakan tanpa ilmu tentang bagaimana ia seharusnya berakhir, berisiko untuk tinggal separuh jalan, tergantung, terbengkalai dan akhirnya dilupakan.

Belajar menamatkan sesuatu mengajar kita tentang disiplin, tentang istiqamah dan tentang tanggungjawab terhadap pilihan kita sendiri. Ia juga mengajar kita bahawa kejayaan sebenar bukan terletak pada siapa yang cepat memulakan, tetapi siapa yang sabar bertahan hingga ke garisan penamat.

Kerana dunia ini bukan milik mereka yang paling berani bermula, tetapi milik mereka yang tahu bagaimana untuk menyempurnakan.

Sumber FB: 3/5/2025

Naim Mazlan
Begin With The End In Mind

VERTIKALKAN HATI DENGAN ZIKIR

Ada orang cari tenang dengan cuti.

Ada yang lari ke pantai, hiking ke gunung, shopping tengah malam, atau duduk sorang-sorang dalam kereta.

Tenang itu dicari — tapi tetap hilang.

Kerana kita hanya mendatar dalam pencarian. Horizontal. Sumbernya di bumi, penyelesaiannya pun di bumi. Kita lari ke manusia, ke suasana, ke benda. Dan akhirnya terperangkap semula dalam gelisah yang sama.

Tapi Al-Quran ajar:
“Ketahuilah, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenang.”
(Surah ar-Ra’d 13:28)

Ini bukan ayat biasa. Ini kunci.

Zikir bukan sekadar sebutan di lidah — tapi pintu naik ke atas. Kita vertikalkan hati. Naik ke langit. Hubungkan roh ke sumber asalnya. Bila hati sudah naik, baru jiwa jadi ringan.

Saintis hari ini pun kata benda yang sama. Kajian neurosains buktikan:

  1. Zikir tenangkan amygdala, pusat stres dalam otak.
  2. Ia aktifkan prefrontal cortex, bahagian kawalan diri dan ketenangan.
  3. Malah zikir ubah gelombang otak ke mod alpha — mod tenang, reflektif.
  4. Otak mula keluarkan hormon dopamin dan serotonin — penenang semula jadi.

Dan semua ini berlaku… bila hati mula berzikir.

Maknanya, spiritual healing yang Quran ajar, sains pun mula akui. Tapi kita tak perlu tunggu makmal untuk percaya.

Cukuplah kita yakin — bila jiwa risau, bukan tambah dunia, tapi tambah zikir.


Cari tenang bukan dengan lari ke luar — tapi naikkan hati ke langit.

Vertikalkan rasa. Biarkan zikir menjadi suara yang membetulkan degup hati.

Dan bila hati sudah tenang, dunia pun terasa damai ikut serta. Dalam serba kepayahan dan kemelut yang ada.

Zikir bukanlah escapism atau cara nak mengelak dari masalah yang ada. Namun ia adalah solusi untuk kembali punca segalanya iaitu Allah yang mencipta, yang mengetahui, yang menyusun dan memberi panduan. Dia bagi ujian, dia juga ada penyelesaian.

Didoakan untuk sahabat semua tetap diberi ketenangan dalam serba cabaran yang ada hingga masuk syurga.

Sumber FB : Ustaz Fazrul Ismail, 3/5/2025