MENJAUHI PERGAULAN BURUK ITU IBADAH
Jika bukan kerana tujuan berdakwah, maka kita sangat ditegah daripada bergaul dengan orang-orang yang sentiasa bergelumang dalam maksiat dan kemungkaran terhadap Allah.
Mengapa begitu?
Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-‘Asqalani rahimahullah menyebut:
“Tidak bergaul dengan orang yang buruk adalah suatu bentuk ibadah.”
(Fathul Bari, Jilid 8, hlm. 717)
Beliau juga menegaskan:
“Sesungguhnya menjauhkan diri daripada manusia, khususnya mereka yang berada di atas kebatilan, termasuk sebahagian daripada ibadah.”
Itulah kata-kata ulama agung yang tidak berbicara tanpa ilmu.
Dalam dunia moden yang semakin terbuka dan saling bersambung, pergaulan sosial menjadi hampir mustahil untuk dielakkan. Namun, Islam mengajar kita satu prinsip asas yang sangat penting: pilihlah temanmu, kerana merekalah yang mencerminkan siapa dirimu.
Bahkan, para ulama menegaskan bahawa tidak bergaul dengan orang yang buruk akhlak dan agama adalah sebahagian daripada ibadah.
Allah SWT berfirman:
“Dan apabila kamu melihat orang-orang memperolok-olokkan ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka membicarakan perkara yang lain…”
(Surah Al-An’am: 68)
Ayat ini mengajar kita agar tidak duduk bersama mereka yang mempermainkan agama, kerana kebersamaan itu boleh menjadi tanda sokongan terhadap kebatilan.
Allah juga berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah kamu bersama orang-orang yang benar.”
(Surah At-Taubah: 119)
Ayat ini menekankan betapa pentingnya untuk kita memilih persekitaran yang baik, jujur dan soleh, bukan sekadar hidup dalam kalangan manusia yang ramai.
Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Perumpamaan teman yang baik dan teman yang buruk seperti penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi mungkin akan memberimu minyak, atau kamu akan mendapat bau harum daripadanya. Sedangkan tukang besi, boleh jadi kamu terkena percikan apinya atau mendapat bau busuk daripadanya.”
(HR Bukhari & Muslim)
Hadis ini dengan jelas menggambarkan bahawa teman mampu membentuk karakter. Teman yang buruk bukan sahaja boleh merosakkan iman, bahkan menarik kita bersama ke lembah murka Allah.
Abu Darda’ radhiyallahu ‘anhu pernah berkata:
“Bersahabat dengan orang yang membuatmu menangis kerana takutkan Allah lebih baik daripada bersahabat dengan orang yang membuatmu ketawa hingga melupakan Allah.”
Umar bin Khattab radhiyallahu ‘anhu pula selalu berpesan kepada anaknya:
“Wahai anakku, jika engkau mendapati seseorang yang bertakwa, maka dekatilah dia. Duduklah bersamanya, kerana orang yang bertakwa akan mengingatkanmu kepada Allah dan membuatmu takut kepada neraka.”
Mengapa hal ini juga dikira ibadah?
Kerana ibadah bukan semata-mata rukuk dan sujud. Ibadah adalah segala bentuk perbuatan yang mendekatkan diri kepada Allah. Maka, menjauhi persekitaran yang merosakkan hati dan iman adalah sebahagian daripada jihad melawan hawa nafsu.
Ia adalah bentuk penjagaan terhadap agama, taqwa dan keselamatan hati.
Allah berfirman:
“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertakwa.”
(Surah At-Taubah: 4)
Jika kita tidak memilih sahabat dengan teliti, maka sahabat yang salah akan memilih kita. Dan jika kita lemah, kita akan hanyut bersama mereka.
Berhati-hatilah. Menjauh itu bukan sombong, tetapi perlindungan kepada hati daripada gelapnya dosa.
Ibn Qayyim rahimahullah berkata:
“Hati itu ibarat cermin. Jika ia sentiasa dekat dengan keburukan, maka akan kaburlah cahaya hidayah yang memantul di dalamnya.”
Pilih temanmu. Pilih syurgamu.