Catatan Istimewa dari Bumi MinaAidiladha 1446H | 10 Zulhijjah

Pagi ini, membuka mata dalam khemah sederhana ini di tanah suci bernama Mina.
Langitnya tenang, anginnya damai,
dan hati terasa begitu lapang,
Rasa yang tak terungkap dengan bicara..

Semalam kami wukuf di Arafah.
Tempat yang Rasulullah SAW pernah berdiri,
tempat seluruh umat menadah tangan,
dalam linangan air mata yang tak lagi boleh disembunyikan.
Doa-doa terbit dari hati yang paling dalam,
mengharap Allah sudi memandang walau kami datang dalam serba kekurangan.

Dan hari ini…
kami menyambut Aidiladha.
Tapi bukan dengan baju baru, bukan dengan rendang atau ketupat yang ada, sebaliknya dengan kain putih yang sama,
dengan tubuh yang lelahnya, tetapi jiwa yang kini terasa sarat, terasa lebih dekat dengan Allah Azzawajalla.

Di Mina ini, kami menanti..
menanti waktu untuk melontar jamrah,
simbolik menentang iblis,
dan lebih dalam daripada itu,
menandakan kemenangan atas bisikan jahat dalam diri sendiri.

Bersama sahabat-sahabat seperjuangan,
kami duduk di lantai khemah,
berkongsi air, senyuman dan semangat.
Ada yang termenung panjang,
mungkin mengenang dosa silam,
mungkin juga sedang berbicara diam-diam dengan Allah,
tentang pengharapan yang tak pernah padam.

Aidiladha kali ini,
bukan tentang korban haiwan semata,
tetapi tentang korban diri,
meninggalkan ego, melepaskan nafsu,
dan menyerah penuh kepada kehendak Allah yang satu.

Dalam kesederhanaan inilah,
hadir satu bentuk kesyukuran yang tak mampu ditulis panjang. Cukup hanya dengan satu lafaz dalam hati:
“Ya Allah, terimalah kami.”

Bumi Mina ini menyimpan saksi,
bahawa kami pernah berjuang untuk kembali kepada-Mu,
dengan segenap kudrat yang kami ada,
dengan iman yang belum sempurna,
tetapi penuh berharap agar Kau redha.

Salam Aidiladha dari bumi perjuangan.
Di sini, kami belajar bahawa setiap langkah,
setiap air mata,
setiap takbir,
adalah jalan untuk kembali kepada-Mu,
Tuhan yang tak pernah jemu memanggil hamba-Nya pulang.

Salam Aidiladha dari kami jemaah haji dari Bumi Mina

Sumber FB : Ustazah Nazirah Abu Bakar

10 Doa Hari Arafah Yang Membuka Pintu Langit

Hari ini… langit terbuka luas.

Doa yang biasa, jadi luar biasa.

Kalimah yang ringkas, jadi asbab pengampunan.

Hari ini bukan hari biasa.

Ia adalah Hari Arafah.

Hari yang Nabi SAW sebut sebagai sebaik-baik hari untuk berdoa.

(Hadis Riwayat Tirmizi – hasan)

Kalau ada satu hari untuk kita jujur dengan Allah — inilah harinya.

Tak perlu panjang. Tapi biar tulus.

Berikut 10 doa sahih dan indah, yang Nabi dan para ulama ajarkan:

1. Doa Minta Diampunkan Sepenuhnya

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ذَنْبِي كُلَّهُ، دِقَّهُ وَجِلَّهُ، وَأَوَّلَهُ وَآخِرَهُ، وَعَلَانِيَتَهُ وَسِرَّهُ

Allāhumma ighfir lī dhanbī kullahu, diqqahu wa jillahu, wa awwalahu wa ākhirahu, wa ‘alāniyatahu wa sirrahu.

“Ya Allah, ampunkan seluruh dosaku — kecil dan besar, awal dan akhir, yang terang dan tersembunyi.”

2. Doa Orang Yang Sedang Berharap Rezeki

رَبِّ إِنِّي لِمَا أَنْزَلْتَ إِلَيَّ مِنْ خَيْرٍ فَقِيرٌ

Rabbi innī limā anzalta ilayya min khayrin faqīr.

(al-Qasas: 24)

“Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku.”

3. Doa Minta Syurga Tertinggi

اللَّهُمَّ ارْزُقْنَا الفِرْدَوْسَ الأَعْلَى مِنَ الجَنَّةِ بِغَيْرِ حِسَابٍ

Allāhumma urzuqnā al-Firdaws al-A‘lā mina al-jannati bighayri ḥisāb.

“Ya Allah, kurniakan kami syurga Firdaus al-A‘la tanpa hisab.”

4. Doa Minta Kecukupan & Bebas Dari Bergantung Pada Manusia

اللَّهُمَّ اكْفِنِي بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنِي بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Allāhumma ikfinī bi-ḥalālika ‘an ḥarāmik, wa aghninī bifaḍlika ‘amman siwāk.

“Ya Allah, cukupkan aku dengan yang halal agar jauh dari yang haram, dan kayakan aku dengan limpahan-Mu agar tak perlu bergantung pada sesiapa pun selain-Mu.”

5. Doa Agar Ibadah Kita Ikhlas & Indah

اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ، وَشُكْرِكَ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Allāhumma a‘innī ‘alā dhikrika, wa shukrika, wa ḥusni ‘ibādatik.

“Ya Allah, bantu aku untuk sentiasa mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan beribadah kepada-Mu dengan sebaik-baik ibadah.”

6. Doa Untuk Menjadi Tetamu Haji Tahun Depan

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنْ حُجَّاجِ بَيْتِكَ العَتِيقِ فِي العَامِ القَادِمِ

Allāhumma aj‘alnā min ḥujjāji baytika al-‘atīq fī al-‘ām al-qādim.

“Ya Allah, jadikan kami antara tetamu-Mu yang menunaikan Haji tahun hadapan.”

7. Doa Mohon Perlindungan Dari Fitnah Dunia

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْفِتَنِ، مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ

Allāhumma innī a‘ūdhu bika mina al-fitan, mā ẓahara minhā wa mā baṭan.

“Ya Allah, aku mohon perlindungan daripada fitnah yang nyata dan tersembunyi.”

8. Doa Untuk Umat Islam Seluruh Dunia

اللَّهُمَّ أَصْلِحْ أَحْوَالَ أُمَّةِ الإِسْلَامِ… (penuh seperti versi asal)

Ini adalah doa menyeluruh — untuk penyatuan umat, kemenangan Islam, kesembuhan yang sakit, rahmat pada yang pergi, dan agar Quran jadi cahaya dalam hati kita.

9. Doa Minta Pengakhiran Yang Terbaik

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِمَهَا، وَخَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Allāhumma ij‘al khayra a‘mālinā khawātimaha, wa khayra ayyāminā yawma nalqāk.

“Ya Allah, jadikan amalan terbaik kami sebagai penutup hidup kami, dan hari terbaik kami adalah hari kami bertemu dengan-Mu.”

10. Zikir Terbaik Hari Arafah

لَا إِلٰهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Lā ilāha illa Allāh, waḥdahu lā sharīka lah, lahul-mulku wa lahul-ḥamdu, wa huwa ‘alā kulli shay’in qadīr.

Ini bukan sekadar kalimah biasa.

Ini kalimah yang Nabi sebut sebagai doa paling utama Hari Arafah.

(Hadis Riwayat Tirmizi – hasan)

Hari ini, mari kita ulang doa ini perlahan-lahan.

Tulis dalam nota. Hafal satu demi satu.

Dan biarkan doa itu mengalir dari hati yang benar-benar mahu pulang semula kepada Allah.

NASIHAT SEBELUM TIDUR

Umur sudah 5 siri. Hidup mahu tenang. Tiada drama lagi. Tiada berebut jawatan atau perhatian. Mula berfikir sebelum bercakap. Bercakap dengan hati-hati.

“Kenapa doktor mula jaga jarak dengan orang yang tak rapat?”

Dulu saya aktif dalam politik, mudah rasa bersalah kalau tak balas mesej segera. Tak sampai hati menolak ajakan makan. Kalau ada orang datang bercerita, saya dengar semuanya—walau hati sendiri pun tengah kacau. Saya bantu rakan walaupun saya terhimpit. Sanggup berhutang untuk membantu rakan yang berhutang
.

Saya fikir itu tanda baik hati. Menjaga persahabatan dalam perjuangan.
.

Tapi lama-lama, saya perasan saya mula letih… bukan fizikal, tapi letih di hati. Rupanya saya jarang jaga boundaries.
.

Dan sejak itu, saya belajar beberapa perkara penting tentang hubungan. Bukan sebab nak menjauh, tapi sebab saya sayang diri sendiri.

Ketenangan itu sebenarnya bermula dari batas yang jelas.

  1. Saya belajar berkata “tidak” tanpa rasa bersalah.
    Sebab tak semua ‘ya’ itu tanda mesra. Kadang ‘tidak’ itu bentuk kasih sayang terhadap diri sendiri.
  2. Saya tak lagi rasa perlu balas mesej segera.
    Kalau saya tengah fokus atau rehat, saya rehat. Saya manusia, bukan pusat khidmat pelanggan 24 jam.
  3. Saya lebih memilih untuk tidak bercerita tentang hal peribadi secara terbuka.
    Saya belajar—bukan semua telinga membawa niat baik. Ada yang dengar untuk faham. Ada yang dengar untuk menilai. Ada yang mendengar untuk cari kelemahan.
  4. Saya mula kenal waktu saya tak boleh jumpa orang.
    Bila letih atau hati sedang gelisah, saya duduk diam. Rehat bukan tanda lemah, tapi cara saya menjaga kestabilan jiwa.
  5. Saya tak lagi jadi tempat longgokan emosi orang.
    Boleh dengar, boleh bantu. Tapi saya bukan tangki simpanan beban orang lain tanpa had.
  6. Saya makin kenal beza antara kenalan dan sahabat sejati.
    Kenalan ramai di media sosial. Tapi sahabat sebenar, mereka yang hadir saat kita jatuh, bukan hanya waktu kita berguna.
  7. Saya tak beri peluang pada yang menyakiti.
    Maaf itu indah, tapi bila dah kali ketiga? Saya belajar, menjaga jarak juga satu bentuk kasih kepada diri.
  8. Saya belajar bersuara bila batas saya dilanggar.
    Sebab kalau saya terus diam, mereka fikir tindakan mereka tak salah.
  9. Saya belajar hargai masa saya.
    Kalau seseorang hanya cari saya bila mereka perlu, saya tahu itu bukan sayang, itu tanda dipergunakan.
  10. Dan saya tak takut kehilangan mereka yang tak hormat saya.
    Kerana lebih baik sepi dengan damai, daripada dikelilingi bising yang penuh kepura-puraan.

Hari ini, saya bukan lagi orang yang sentiasa mengiyakan. Tapi saya lebih tenang. Saya masih menghargai orang, cuma saya tahu siapa yang layak saya izinkan dekat dengan hati saya.

Dr Zubaidi Hj Ahmad
Doktor. Motivator Islamik. Coach Wellness A’aFIYAT

Pagi tu, selepas Subuh, saya masih duduk bersila di saf belakang. Luar masjid perlahan-lahan terang, jemaah ada yang mula beransur. Tapi saya tunggu sebentar. Ada kuliah subuh ringkas pagi tu.

Ustaz kami naik ke depan. Wajahnya tenang. Mulakan kuliahnya. Nada suara tak tinggi, tapi cukup buat hati tenang dan tunduk.

Beliau buka dengan soalan:

“Berapa ramai di luar sana tidur malam tadi… tapi pagi ini tak sempat bangun?”

Masjid jadi sunyi. Tiada siapa yang jawab. Semua fokus ke arahnya.

Beliau sambung perlahan:

“Kita yang masih hidup pagi ini, bukan sebab kita lebih baik. Tapi sebab Allah masih beri peluang… untuk kita betulkan apa yang semalam kita abaikan.”

Lalu beliau bacakan satu ayat Al Quran yang menusuk jiwa:

وَهُوَ الَّذِي يُحْيِيكُمْ ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيكُمْ

Maksudnya: “Dan Dialah yang menghidupkan kamu, kemudian mematikan kamu, kemudian menghidupkan kamu semula.”
[Surah al-Hajj: 66]

Beliau huraikan dengan lembut:

  1. Setiap pagi adalah peluang kedua untuk taubat, untuk usaha, untuk berubah.
  2. Bila kita masih bangun pagi, itu tanda Allah belum berpaling dari kita. Dia masih sayang sepenuhnya.
  3. Hidup ini bukan untuk sekadar mengulang hari semalam, tapi untuk cari redha Allah yang baru pada setiap hari.

Pagi itu saya belajar sesuatu.

Hidup ini bukan tentang hak. Ia hanya pinjaman yang setiap pagi, Allah izinkan untuk kita pegang sekali lagi dengan harapan kita guna lebih baik dari semalam.

Jika pagi ini kita masih bernafas,
masih mampu buka mata,
masih boleh baca tulisan ini…

Itulah rahmat.
Itulah peluang.

Tuhan masih beri kita masa. Bukan untuk sambung lalai. Tapi untuk terus abdikan diri kepadaNya.

Dan kawan-kawan. Bukan semua orang dapat peluang kedua. Tapi pagi ini… kita salah seorang yang Allah izinkan untuk dibangunkan semula. Untuk terus hidup di dunia inj.

Begitulah. Semoga kita semua tergolong dalam kalangan mereka yang tak hanya hidup untuk hidup, tapi memilih hidup untuk persediaan akhirat disana juga.

Pagi semua. Moga Allah lancarkan segala urusan kita semua.

Arif Sukri
Moga keberkatan buat kita yang berpagi pagian.

UJIAN HATI, UJIAN HAJI.

Kerja haji itu berdebu dan kusut masai.

Ya, benar sekali.

Tapi apabila lalu gambar² suasana kemewahan di khemah Mina, saya cuma memilih untuk diam.

Diam.

Kerana ia satu ujian hati kepada saya, dan kepada yang lain, termasuk yang berada di tanah air.

Ujian hati itu juga ujian haji.

Saya berpegang kepada pesanan Ustaz Shamsuri Ahmad :

Kita ini siapa untuk mempersoalkan rezeki yang Allah bagi kepada setiap makhlukNya.

Siapa kita ni berbanding Allah?

Jodoh, ajal dan rezeki adalah perkara yang sudah tertulis.

Tidaklah ia cepat sesaat, tiada jua lambat walau sedetik.

Cara mana Allah nak beri, itu hak Dia.

Mungkin kita nampak orang itu menjadi kaya melalui perbuatan mungkar, tapi itu yang sudah tertulis cara Allah memberi rezeki kepadanya.

Persoalannya, adakah kita nak iri hati dengan rezeki yang dia dapat,

atau kita nak rasa bersyukur kerana rezeki yang kita ada harini diberi Allah melalui cara yang lebih berkat?

Jadi yang mana satu sebenarnya Allah sayang?

Dan jika rezeki yang baik itu datang kepada orang² mukmin yang baik, adakah kita berhak untuk sakit hati juga?

Jangan. Jangan.

Takut nanti Allah duga kita lebih hebat daripada apa yang kita sudah dapat.

Sudahkan kita mengucapkan syukur atas apa yang kita ada sekarang, sebelum kita mempertikai rezeki yang Allah beri kepada orang lain?

Mungkin mereka kaya kerana mereka lebih banyak bersyukur dengan hati, lidah dan perbuatan, berbanding diri kita yang tak semenggah.

Ingatlah apa yang Allah kata dalam surah Ibrahim ayat 7 :

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, niscaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat.”

Bersyukurlah, PASTI Allah akan tambah nikmat.

PASTI.

Allah sudah janji dalam Quran, black & white.

Bukannya dalam hadis palsu.

Sebab itu di Masyair ini jika kita ternampak kekurangan pada perjalanan Haji sendiri dan terbuka pandangan kepada kelebihan orang lain,

ucap sahaja Alhamdulillah.

Dan diam.

Fokus pada diri sendiri, dan bukannya orang lain.

Sumber Facebook : Ezreen Muhaizie

CARA MENDAPAT PAHALA PUASA BAGI ORANG YANG TIDAK DAPAT MELAKUKAN PUASA ATAS SEBAB KEUZURAN

  1. Siapkan makanan untuk orang yang berpuasa

Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا

Maksudnya: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa, maka dia mendapat pahala seumpamanya tanpa kurang sedikitpun daripada pahala orang yang berpuasa tersebut.

Riwayat al-Tirmidzi: 807

Bagi yang berpuasa juga, kalian tetap boleh memberi makan kepada orang yang berpuasa, kalian akan mendapat ganjaran pahala puasa yang berganda-ganda.

  1. Bagi wanita HAID, mereka tetap boleh berzikir sebagaimana zikir yang dianjurkan pada hari Arafah iaitu:-

لاَ إِلَـهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرُ

Laa ilaaha illallaåh wahdahu laa syarikalah, lahul mulku, walahul hamdu, wahuwa ‘ala kulli syay-in qådiir.

Ertinya: “Tidak ada ilah selain Allah Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya segala puji. Dan Dia-lah yang Maha kuasa atas segala sesuatu.”

  1. Kalian juga tetap boleh memperbanyakkan berdoa pada hari Arafah. Doalah untuk keampunan, dibebaskan dari neraka, di masukkan ke dalam syurga , diberi istiqomah di dalam amal, diberi kekuatan untuk beribadah dan ditambah dengan doa peribadi masing-masing.

~MRJ

4/6/2025