Zaman dahulu, di sebuah perkampungan kecil yang jauh dari kota suci Makkah, tinggal seorang lelaki tua yang miskin, kerjanya hanyalah sebagai tukang kasut. Setiap hari, dia duduk di sudut pasar membaiki kasut orang, kadang-kadang dibayar, kadang-kadang hanya diberi sekeping roti.
Tetapi dalam hatinya yang tua dan letih itu, ada satu impian yang sangat besar.
Impian untuk menunaikan Haji ke Baitullah. Untuk sujud di hadapan Kaabah. Untuk menangis di padang Arafah. Untuk menyebut nama Allah di tempat yang paling mulia di atas muka bumi.
Tahun demi tahun berlalu. Wang demi wang dikumpulkan sedikit demi sedikit. Makan dikurangkan. Tidur dijaga. Tiada kehendak dunia yang dipenuhi. Semuanya semata-mata satu niat:
“Ya Allah, aku mahu menjadi tetamu-Mu. Jangan tolak aku dari rumah suci-Mu.”
Dan akhirnya, setelah bertahun-tahun, wang itu cukup. Bukan banyak, tapi cukup untuk perjalanan paling agung dalam hidupnya.
Pada hari dia ingin berangkat, dia berjalan kaki ke bandar untuk menyertai rombongan Haji. Di tengah perjalanan, dia singgah sebentar di sebuah kawasan perumahan yang sangat daif. Bau masakan tiada. Suara tangisan anak-anak kecil bergema di udara.
Dia mendekati sebuah rumah kecil. Seorang wanita tua membuka pintu. Wajahnya sugul. Matanya bengkak.
“Apa yang berlaku makcik?” tanyanya dengan lembut.
Wanita itu menjawab dalam nada pilu, “Sudah tiga hari kami tak makan. Suami saya telah meninggal. Saya tak ada siapa-siapa. Anak-anak saya kelaparan. Saya tak tahu nak buat apa lagi…”
Lelaki itu terdiam,,
Tangannya memegang erat beg kain yang menyimpan semua wang simpanannya — hasil bertahun-tahun bekerja membaiki kasut demi Haji.
Air matanya mengalir. Dia melihat anak-anak kecil itu duduk lemah di sudut rumah.
Lapar. Tidak mengerti apa itu Haji. Tapi mereka juga hamba Allah. Mereka juga umat Nabi SAW.
Dalam hatinya, satu suara berbisik:
“Engkau sedang menuju rumah Allah. Tetapi ini inilah rumah yang sedang diuji oleh Allah.”
Tanpa berkata apa-apa, dia menghulurkan semua wang itu kepada wanita tua tersebut. Dia hanya tersenyum dan berkata,
“Gunakanlah ini untuk beli makanan. Berilah anak-anak makan. Doakan aku… itu sahaja yang aku minta.”
Kemudian dia berundur, berpaling, dan berjalan pulang ke rumahnya. Hajinya tidak jadi. Tapi hatinya tenang… dia rasa seperti telah menunaikan sesuatu yang lebih besar daripada sekadar perjalanan ke Tanah Suci.
- MIMPI DI TANAH HARAM –
Pada musim Haji yang sama, sekumpulan jemaah dari kampung tukang kasut itu telah sampai ke Makkah dan menunaikan ibadah Haji. Mereka berpeluang bertemu dengan seorang ulama besar di Masjidilharam.
Ulama itu bertanya mereka,
“Adakah kamu mengenali seorang lelaki bernama fulan, seorang tukang kasut dari kampung kamu?”
Mereka menjawab, “Ya, kami kenal. Tapi dia tak ikut kami menunaikan Haji.”
Ulama itu lalu berkata dengan penuh yakin:
“Ketahuilah… malam tadi aku bermimpi. Dalam mimpi itu, aku melihat para malaikat menulis nama-nama jemaah Haji yang diterima amalan mereka. Dan aku melihat nama tukang kasut itu ditulis bersinar-sinar. Mereka berkata padaku:
‘Inilah hamba Allah yang tidak datang ke sini… tetapi Allah telah menerima Hajinya kerana keikhlasan dan pengorbanannya.’”
- PAHALA HAJI ITU MILIK ALLAH SWT –
Tuan2 yang mulia,
Pahala Haji itu bukan hanya milik orang yang sampai ke Makkah.
Ia adalah milik Allah.
Dan Allah Maha Berkuasa untuk memberi pahala Haji kepada sesiapa yang Dia kehendaki.
Ada yang tidak mampu berangkat ke Baitullah kerana fakir, sakit, uzur, perang, atau halangan lain tetapi mereka menangis di sejadah, merindui Kaabah, menolong orang susah, menjaga ibu bapa, menyuap makanan kepada anak yatim dan Allah Maha Mengetahui semua itu.
“Boleh jadi engkau tidak sampai ke Tanah Haram tapi engkau sampai ke tempat paling tinggi di sisi Tuhanmu.”
“Boleh jadi engkau tidak dapat sujud di hadapan Kaabah tapi engkau sujud dengan hati yang lebih bersih daripada yang berada di sana.”
Jangan putus asa.
Jika kita belum dijemput ke Makkah, belum sempat menunaikan Haji, jangan bersedih.
Teruskan berbuat baik.Teruskan berkorban.
Kerana Allah melihat setiap niat yang ikhlas dan Allah itu Maha Pemurah.
Satu sen ikhlas mungkin membawa kita ke Syurga.
Seperti tukang kasut itu…😭
Begitulah……..
🤲🕋 UT
Sumber FB : Ustaz Taufik