Ramai orang sangka haji ini tentang fizikal.Tentang berjalan jauh, bersesak di Mina, tidur beralaskan tikar nipis, berpanas di Arafah, dan beratur panjang untuk tandas.

Tapi hakikatnya… kerja haji yang paling berat sebenarnya adalah kerja hati.

Sebab bila kita datang ke sini, kita bawa bukan saja beg pakaian tapi juga beg emosi, beg kenangan, beg kelemahan diri yang lama kita tak hadap.

Di Tanah Haram, semuanya terbongkar.
Yang sabar, diuji.
Yang cepat penat, dilambatkan.
Yang pemarah, dihimpit.
Yang selalu mahu ‘ikut cara sendiri’, dipaksa ikut arus jutaan orang lain.

Tak ada ruang untuk ego.
Tak ada ruang untuk nak selesa sangat.
Kalau tak ikhlas, cepat terasa.
Kalau tak redha, cepat meletup.

Bayangkan kita datang dari jauh, dengan harapan besar.
Tapi kena kongsi tandas, beratur makan,
kena sabar bila teman sebilik berdengkur,
kena redha bila jadual berubah dan bas lambat.

Masa itulah kita sedar…
Haji ini bukan tentang tenaga. Ia tentang bagaimana kita jaga hati.

Bila orang tolak kita semasa tawaf bolehkah kita maafkan tanpa marah?
Bila tak jumpa tempat duduk di Muzdalifah bolehkah kita duduk diam sambil zikir, bukan mengeluh?
Bila panas, sesak, tak selesa bolehkah kita tetap tenang dan yakin ini semua dari Allah?

Setiap kali rasa nak marah, nak merungut,
hati ini diingatkan:
Bukankah ini jawapan dari doa-doamu selama ini?
Bukankah dulu kau minta Allah jemput ke sini?
Dan sekarang, bila kau sudah sampai…
kau diuji dengan sabar, bukan untuk disakiti,
tapi untuk dibersihkan.

Dan bila semuanya selesai lontaran terakhir di Mina,
tawaf terakhir di Masjidil Haram,
air mata terakhir mengalir di Multazam…
kita tahu, haji ini bukan hanya pergerakan tubuh,
tapi perjalanan jiwa yang penuh ujian dan penuh kasih dari Tuhan.

Kerja haji adalah kerja hati.
Kerana bila hati reda,
segala letih pun jadi manis.
Dan bila hati tenang,
barulah haji ini benar-benar jadi haji yang mabrur.

ceritahajiUNA

Sumber FB : Ustazah Nazirah Abu Bakar