Sambil tengok jemaah lain mula keluar seorang demi seorang. Tak semena-mena datang seorang lelaki, lingkungan usia awal 40-an, duduk di sebelah saya. Wajahnya saya rasa pernah nampak. Tapi tak pasti di mana.
“Ustaz ada masa kejap tak?” lelaki ini tanya perlahan.
Saya angguk dan jawab “Kalau tak panjang sangat, insya-Allah boleh.”
Dia tunduk. Nafasnya berat.
“Saya sebenarnya buntu ustaz. Isteri saya dah tak macam dulu.”
Saya diam. Sekadar memandang tanpa menyampuk. Kadang diam itu ubat untuk orang yang hampir rebah. Cerita abang ini bagaikan ubat demam saya. Tuhan hantar.
Lelaki ini sambung bercerita,
“Ustaz, isteri saya ni dulu dia jenis suka ketawa. Jenis mudah terhibur. Tapi sekarang senyum pun susah. Macam hidup dia kosong.”
Dia berhenti seketika. Matanya merenung lantai marmar surau. Macam tembus dan ada skrin yang kami sama-sama boleh tengok.
“Kami ada dua anak. Dua-dua autism. Yang sulung jenis suka mengamuk malam-malam. Menjerit. Hentak kepala. Yang kedua pula tak bercakap langsung. Langsung tak pandang mata. Kalau duduk depan, rasa macam bercakap dengan dinding.”
“Saya kerja siang malam, ustaz. Nak tambah pendapatan saya buat Grab selepas habis waktu pejabat. Kadang balik rumah pun badan dah tak larat. Saya mengaku. Banyak kali isteri minta tolong, saya buat tak layan. Bukan sebab tak peduli. Tapi sebab tak tahu nak buat apa. Saya takut silap. Saya takut anak tantrum makin teruk.”
Saya pandang dia. Wajahnya penuh keletihan. Bukan sekadar letih fizikal. Letih jiwa. Letih rasa bersalah.
“Semalam saya balik lewat, anak sulung tengah mengamuk. Saya tengok isteri tengah peluk anak kuat-kuat sambil menangis. Anak dia peluk, dia marah, tapi tangan tak lepaskan. Air mata dia mengalir, tapi mulut dia masih pujuk.”
Abang ini berhenti bercerita. Air mata mula mengalir. Jantan mana yang tak tersentuh kalau dah cerita begini. Ini yang aku lemah ini. Terpaksa la tahan wajah kacak ini dari ditumbangkan sang air mata.
“Lepas tu isteri pandang saya. Dia cakap, awak tak nampak ke saya dah nak gila? Awak tahu tak saya mandi sekali je hari ni?? Saya makan sisa anak. Awak tahu tak saya tak sempat pun tidur semalam??”
Lelaki ini mengesat air matanya. Tapi makin dilap makin laju jatuhnya. Saya juga. Mujur ridak jadi penyelamat.
“Ustaz, saya bukan suami yang baik. Tapi saya sayang dia. Cuma saya tak tahu nak tunjuk macam mana.”
Saya angguk perlahan. Nafas saya tarik dalam-dalam.
“Tuan, kadang isteri kita tak perlukan lelaki yang sempurna. Tapi dia perlukan lelaki yang hadir. Bukan sekadar balik. Tapi hadir. Duduk sebelah. Pegang tangan. Dengar cakap dia. Tolong apa yang patut tolong. Buat apa yang boleh buat. Dengar sikit cerita yang dia nak cerita. Masa dengar tu tengok dia betul-betul.”
Saya tanya perlahan.
“Pernah tak tuan beri tolong dia apa yang patut waktu dia nampak sangat letih?”
Dia geleng kepala perlahan.
“Pernah tak dengar cerita dia letih jaga anak istimewa tuan sensorang?”
Dia tunduk lagi.
“Pernah tak ambil cuti, sehari dua, jaga anak, biar isteri tidur, makan, mandi dengan tenang?”
Dia masih diam.
Saya teruskan.
“Tuan tahu tak, orang perempuan ni, kalau dia letih sangat, kadang dia tak marah pun pada anak. Dia cuma kecewa sebab dia rasa terperangkap. Dia rasa keseorangan.”
“Dan bila tuan tak hadir waktu dia hampir tumbang, dia rasa macam kalah sorang-sorang. Dia tak perlukan pelukan pun masa tu. Dia cuma perlukan seseorang yang nampak dia, dengar dia, dan faham yang dia tengah menahan dunia dalam diri.”
Lelaki ini menangis lagi. Kali ini lebih senyap. Air mata bagai hujan. Saya biarkan. Biar dia lepaskan semuanya. Masa ni saya dah kering air mata.
Saya nasihatkan beliau ambil cuti beberapa hari. Bawa isteri jumpa Doktor. Ada doktor autism kat hospital tu. Sambil tu tolong apa yang patut kat rumah, minta isteri rehat.
Beberapa minggu lepas itu, dia mesej saya.
“Ustaz, kami pergi jumpa pakar kanak-kanak autism di hospital (sekian sekian) Doktor bagi penerangan panjang. Tapi satu benda je yang betul-betul sentap saya.”
Lelaki ini kata doktor bagi pesanan sentap.
“Encik, anak encik bukan masalah. Anak encik cuma perlu dua orang dewasa yang bersatu. Bukan seorang yang penat sorang-sorang.”
Perrgh. Doktor pun. Tapi betullah tu.
Lepas sesi tu, dia mula ambil cuti hujung minggu. Belajar jaga anak. Mandikan, bagi makan, duduk sama-sama waktu anak mengamuk.
Dia cakap, mula-mula kekok. Tapi lama-lama dia rasa lain. Rasa macam baru kenal anak sendiri. Baru kenal erti jadi ayah. Baru tahu penatnya jaga anak autism.
Dan malam semalam, dia datang lagi ke surau. Selepas salam, dia duduk sebentar di tempat yang sama. Pandang saya dan senyum.
“Ustaz, saya nak ucap terima kasih. Isteri saya dah mula senyum balik. Dia masak hari-hari sekarang. Bukan sebab saya minta. Tapi sebab dia dah mula bahagia.”
Saya senyum. Dalam hati saya ucap Alhamdulillah. Syukur ya Allah. Satu lagi keluarga diselamatkan bukan dengan duit, bukan dengan kuasa, tapi dengan kehadiran dan sedikit empati.
Dan ya, akhirnya dia beritahu juga,
“Ustaz, semalam saya peluk isteri saya. Lama. Dia menangis. Tapi kali ni bukan sebab kecewa. Dia kata, terima kasih sebab masih ada. Dia pula suruh saya buat Grab balik. Tapi saya dah buat jadual sekarang ustaz. Takmau dah jadi macam sebelum ni…”
Kawan,
Kadang pasangan kita bukan berubah sebab dia hilang cinta. Tapi sebab dia penat menanggung segalanya sendiri.
Jangan tunggu dia jatuh baru kita hulur tangan. Jangan tunggu dia rebah baru kita sedar dia tunjang sebenar dalam rumah.
Kerana wanita yang kita nikahi itu, bukan robot. Dia manusia yang punya rasa. Ada hati yang juga perlu dirawat. Ada emosi yang perlu dibalut. Ada jiwa yang perlukan sokongan.
Dan kadang, hanya dengan perhatian, kasih sayang, dan sedikit usaha memahami, beban di bahu isteri jadi ringan.
Yang ringan itulah kadang jadi sebab rumah tangga terus hidup. Anak-anak terus membesar dengan jiwa yang cukup. Dan suami isteri terus bertahan dalam dunia yang makin menekan.
Kerana dalam rumah yang kecil itulah sebenarnya syurga boleh bermula. Dengan hati yang saling memahami. Dengan masa yang saling diberi. Dan dengan cinta yang dibina kembali, perlahan-lahan.
Tak perlu jadi lelaki sempurna.
Cukuplah jadi lelaki yang nampak. Yang dengar. Yang hadir.
Sumber FB : Anas Jamaluddin
Masih belajar menjadi lelaki yang hadir, bukan sekadar wujud.