Telah Tiba Masa Kita Banyakkan Puasa .

Melihat keadaan umat di G, rasa satu keaiban untuk hidup dalam kemewahan dan keselesaan.
Berkali-kali lalu di medsos kita ,
gambar mereka ditembak rambang waktu nak ambil bantuan makanan.
Ada yang mati dalam barisan kerana kebuluruan.
Yang paling sadis , ada yang berdoa untuk dijemput Allah,
dengan badan yang lemah, melangkah perlahan ke arah bantuan…
akhirnya rebah, ditembak.

Mereka tak minta banyak.
Cuma sesuap roti.
Dan kita… terlalu banyak untuk dikira, tapi terlalu sukar untuk merasa.

Mungkin ini waktunya kita memperbanyakkan puasa.
Bukan kerana fatwa.
Bukan kerana sunnah literal.
Tapi kerana kita malu untuk kenyang saat mereka lapar.

Puasa ini ,
ialah tanda kebersamaan,
ialah munajat dalam bentuk tubuh,
ialah jeritan jiwa tanpa suara.

Benar, tiada amalan sunnah seperti ini yang diajarkan secara langsung oleh Rasulullah ﷺ.
Tetapi sirah itu hidup.
Dan dalam sirah itu, para Nabi dan orang soleh ,
memilih lapar sebelum kenyang,
memilih gelap sebelum cahaya,
memilih mujahadah sebelum nikmat.

Nabi Musa berpuasa 40 hari sebelum membawa risalah kepada umat yang dizalimi.
Nabi Yunus lapar dalam perut ikan, menangis kerana meninggalkan umatnya.
Nabi Muhammad ﷺ sendiri mengikat dua batu ketika umatnya ikat satu.
Bukan kerana tak mampu makan,
tetapi kerana tak sanggup kenyang sendirian.

Puasa kita tak mengenyangkan mereka.
Tapi mungkin…
ia menjadikan kita lebih layak berdoa.
Lebih layak merasa.
Lebih layak jadi saudara.

Dan mungkin… ia sedikit demi sedikit
menyembuhkan luka umat yang kita tak mampu sentuh dengan tangan..

Puasa kita Masih ada ruang iftarnya , Maka iftarlah bersama dengan doa Jujur untuk mereka disana.

Sumber FB : Abu Hajjar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *