Ketika kamu sombong dengan apa yang ALLAH berikan kepada kamu, rasa lebih, rasa mulia dengan ilmu kamu, pangkat kamu, jawatan kamu, rasa mulia dengan gelaran yang diberikan kepada kamu dan kamu mudah memandang rendah kepada orang lain, kamu mudah memandang hina kepada orang lain yang tidak setanding dengan kamu, kalau penyakit-penyakit itu masih ada di dalam diri kamu, ertinya apa?

Bererti ayat Iyyaka Na’budu Wa Iyyaka Nasta’in ini tak hidup dalam diri kamu.

Dan ketikamana kamu sandarkan amal kamu dari kamu, dan kamu sandarkan amal itu kepada kamu, lalu kamu merasa kamulah yang memiliki amal itu, bererti ayat Iyyaka Na’budu Wa Iyyaka Nasta’in tidak benar-benar lagi sebati di dalam seluruh urat dagingmu, saluran darahmu dan tulang belulangmu. Kerana kamu masih bersandar kepada keakuanmu.

Kalau masih sombong lagi dengan apa yang kamu ada, bererti ayat Iyyaka Na’budu Wa Iyyaka Nasta’in belum hidup dalam dirimu walaupun kamu baca 17 kali sehari semalam. Kamu hanya sekadar baca Surah Al-Fatihah namun ayat-ayat di dalam Surah Al-Fatihah itu tidak hidup di dalam dirimu.

Pada ayat Iyyaka Na’budu Wa Iyyaka Nasta’in adalah ayat kehambaan. Ayat yang menyatakan benar-benar kita faqir dan kita sentiasa berhajat kepada ALLAH. Tanpa bantuan daripada ALLAH, tak mampu kita beribadah kepada ALLAH.

ALLAH berikan kita boleh beribadah kepada ALLAH, itu atas izin ALLAH. ALLAH yang izinkan kita untuk bangun malam. ALLAH yang izinkan kita untuk baca Al-Quran. ALLAH yang izinkan kita untuk berzikir. ALLAH yang izinkan kita untuk melangkah ke masjid. ALLAH yang izinkan kita untuk hadir majlis ilmu. Semuanya dengan izin ALLAH kerana simpati-NYA, kerana kasih sayang-NYA. Kerana semuanya dari izin ALLAH maka tak perlu untuk kita sombong. Tak perlu untuk kita angkuh. Tak perlu untuk kita rasa lebih. Tak perlu untuk kita rasa mulia dengan amal ibadah yang kita lakukan.

Jika kita masih rasa mulia dengan apa yang ada pada diri kita, maka ayat Iyyaka Na’budu Wa Iyyaka Nasta’in belum benar-benar hidup dalam diri kita walaupun kita baca 17x sehari semalam.

Setiap saat kita kena duduk pada makam kehambaan.

Siapa pun kamu, apapun jua jawatan dan gelaran kamu, nikmat pangkat dan segalanya yang ALLAH berikan kepada kamu namun batinmu kekal sebagai jiwa kehambaan. Orang yang memiliki jiwa kehambaan adalah orang yang sentiasa berhajat kepada ALLAH dan sentiasa berhajat kepada pertolongan ALLAH. Dia sentiasa mengharapkan bantuan daripada ALLAH. Setiap helaan nafasnya sentiasa berhajat kepada pertolongan ALLAH dan rahmat ALLAH. Dia tidak akan sombong dengan apa yang ALLAH berikan kepadanya.

Tanda cinta dan kasihmu pada Nabi, adakah dijiwamu terbit sifat-sifat kehambaan?

Tanda benar-benar rindumu pada Nabi SAW, adakah terbit pada jiwamu sifat-sifat kehambaan?

Kerana jiwa Nabi adalah jiwa kehambaan.

Tanda benar-benar kamu mencintai Nabi, kamu ikut Nabi, tanda benar kamu kasih pada Nabi perlukan pembuktian. Tidak cukup sekadar berkata,

“Aku cinta Nabi. Aku ikut Nabi. Aku kasih Nabi.”

Tapi perlu diterjemahkan dalam kehidupan dan akhlak harianmu.

Kalau benar cahaya Nabi ada di dalam hatimu , maka yang akan terbit dari dirimu adalah akhlak kehambaan.

Orang yang memiliki sifat kehambaan, dia akan memiliki darjat yang tinggi.

Zikirmu, selawatmu, ibadahmu, ketaatanmu, mujahadahmu, riadahmu terbit sifat kehambaan. Dengan sifat kehambaan, dia merasa dirinya faqir dan hina disisi ALLAH. Sentiasa dia berhajat kepada ALLAH. Sentiasa dia mengharapkan pertolongan ALLAH.

Dia boleh beribadah, dia tak sandarkan ibadahnya kepada dirinya. Dia boleh beramal, dia tak sandarkan amalnya itu kepada dirinya. Dia boleh berdakwah, dia boleh mengajar, dia boleh menyampaikan ilmu, dia tak sandarkan pada dirinya. Dia boleh mengerjakan apa jua ketaatan, apa jua kebajikan, dia tak sandarkan pada dirinya. Dia sentiasa sandarkan segala-galanya dan kembalikan kepada ALLAH. Dia tenggelam dalam makam LAA HAWLA WALA QUWWATA ILLA BILLAHIL ‘ALIYIL ‘ADZIM. Sentiasa dia bergantung kepada ALLAH SWT.

Di sebalik penghayatan Iyyaka Na’budu Wa Iyyaka Nasta’in , duduklah kamu pada makam kehambaan. Ketika benar-benar kamu duduk pada makam kehambaan, di situlah ALLAH akan memberikan pertolongan. Selagi kamu duduk pada titik kerendahan disisi ALLAH, disitulah ALLAH akan berikan pertolongan dalam hidupmu.

Sebagai seorang hamba, kita sedar kita tidak ada kekuatan dan kita tidak ada keupayaan. Kita tenggelam dan berada dalam makam LAA HAWLA WALA QUWWATA ILLA BILLAHIL ‘ALIYIL ‘ADZIM.

Lemahnya kita. Dhoifnya kita. Tidak ada kemampuannya kita. Semakin kita merendahkan diri di hadapan ALLAH, semakin ALLAH campakkan nikmat makrifat, nikmat kelazatan, nikmat kemanisan dalam kita melakukan ibadah kepada ALLAH SWT.


Wallahu’alam.
Semoga bermanfaat.

سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ ِللهِ وَ لآ إِلهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ

لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّٰهِ ٱلْعَلِيِّ ٱلْعَظِيمِ‎

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَىٰ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَىٰ آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

yusnizayaziz

drumay

5 Safar 1447H
30 Julai 2025

Disalin Semula Dari FB : Yusniza Aziz