Pernah dengar nama Hiroyuki Sanada? Seorang pelakon Jepun. Tapi kali ni, bukan lakonan dia yang aku nak cerita. Tapi satu kata-kata dia yang padu dan buat aku termenung lama…

“Ada orang nak sangat ada kolam renang kat rumah. Tapi orang yang dah ada kolam tu, kadang seminggu pun tak jejak air. Berhabuk je memanjang…”

Macam kena batang hidung sendiri, kan?

Cerita dia begini…

Satu hari aku duduk minum kopi dengan kawan lama. Tengah borak pasal hidup dan impian. Aku cakap:

“Aku nak sangat ada rumah besar, kolam renang sendiri. Best weh, tak payah pergi hotel.”

Dia senyum. Perlahan-lahan dia cakap, “Aku ada kolam kat rumah. Tapi aku rasa kali terakhir aku terjun, masa anak aku umur 5 tahun. Sekarang dia dah masuk tingkatan 2.”

Terkedu.

Kata Hiroyuki lagi…

“Orang yang kehilangan orang tersayang, rasa kosong. Tapi yang masih ada mak ayah, suami isteri, anak-anak… kadang lebih banyak merungut daripada menghargai.”

Terus teringat seorang kawan. Hari-hari update status rindu mak dia yang dah tak ada. Tapi ada juga kawan lain, yang mak ayah masih sihat, tapi rasa berat nak call 5 minit pun.

Dan lagi…

“Yang bujang menangis nak pasangan. Yang dah kahwin, kadang asyik mengeluh pasangan tak faham.”

Lucu tapi betul. Macam kita ni selalu fikir ‘rumput jiran lagi hijau’. Tapi hakikatnya… rumput tu hijau sebab dia siram dan jaga tiap hari.

“Yang lapar, sanggup bayar apa saja untuk sepinggan nasi. Tapi yang kenyang, komplen lauk tak sedap.”

Terasa.

Kadang kita lupa, ada orang tengah kira syiling nak beli nasi lemak, tapi kita buang sebab sambal terlebih manis.

Dan yang paling kena…

“Yang tak ada kereta, berangan nak ada. Yang dah ada, asyik banding dengan kereta orang lain.”

Macam tak pernah puas.

Moral dia satu jer.

Belajar hargai apa yang kita ada sekarang. Sebab mungkin benda yang kita anggap biasa-biasa, sebenarnya luar biasa di mata orang lain.

Ada orang sanggup tukar tempat dengan kita, kalau boleh.

Kadang kita cari bahagia terlalu jauh, sedangkan dia duduk diam-diam kat depan mata.

Jadi…

Kalau kau tengah baca ni, tarik nafas. Tengok sekeliling.

Jangan tunggu kehilangan baru nak belajar menghargai. Syukurlah.

Mohd Firdaus Mohd
1 Julai 2025, Selasa

syukurselalu

Sumber FB : Mohd Firdaus Mohd

Rehat Bukan Salah: Bila “Buang Masa” Jadi Jalan Menuju Hikmah

Ada masa, kita duduk diam sekejap…
Tiba-tiba rasa bersalah.

Bukan buat maksiat.
Bukan leka berjam-jam.
Cuma baring 10 minit selepas solat.
Atau termenung sekejap lepas penat kerja.

Lalu datang suara dalam kepala,
“Eh, kenapa aku malas sangat ni? Banyak kerja belum siap.”

Kita hidup dalam zaman yang terlalu mengagungkan kesibukan.
Semakin sibuk, semakin kita rasa kita berguna.
Tapi, Quran dan Sunnah ajar kita sesuatu yang lain.

  1. Tafakkur Bukan Buang Masa
    Allah sebut tentang orang yang bijak bukan kerana mereka banyak kerja.
    Tapi kerana mereka banyak fikir.

“…dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi…”
(Surah Ali ‘Imran, 3:191)

Tafakkur ini tak berlaku dalam kesibukan.
Ia lahir bila kita beri ruang untuk diam.
Ruang untuk merenung.
Ruang untuk melihat hidup dari sisi yang lebih dalam.

  1. Nabi SAW Ajarkan Kita Erti Sunyi
    Sebelum wahyu turun, Nabi SAW menyendiri di Gua Hira’.
    Tiada nota. Tiada laptop. Tiada tugas.

Yang ada hanyalah langit, batu, dan sunyi.
Tapi di situlah bermulanya perubahan dunia.

Dalam hidup kita, mungkin “gua Hira’” itu ialah masa kita termenung di balkoni, atau masa kita duduk sekejap dalam kereta, tanpa buka radio.

Ia bukan masa sia-sia. Ia adalah ruang menunggu hidayah masuk ke dalam hati.

  1. Rehat Itu Sunnah
    Ada sahabat yang terlalu kuat ibadah — hingga hampir tak tidur, tak bersama keluarga.

Apa kata Nabi SAW?

“Sesungguhnya badanmu ada hak atasmu. Isterimu ada hak atasmu…”
(Hadis Riwayat Bukhari)

Rehat bukan kelemahan.
Ia sebahagian daripada amanah.
Menjaga tubuh dan fikiran supaya tidak rebah ketika perlu berdiri.

  1. Ketenangan Itu Hadiah, Bukan Pembaziran
    Allah berfirman:

“Dialah yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang yang beriman.”
(Surah al-Fath, 48:4)

Ketenangan bukan datang waktu kita mengejar.
Kadang ia hadir bila kita berhenti, dan membenarkan jiwa bernafas.

Itulah yang artikel atau kajian barat hari ini baru sedar.
Tentang pentingnya ruang kosong dalam hari.
Tentang bagaimana “wasting time” boleh menyembuhkan jiwa.
Tentang bagaimana ‘doing nothing’ sebenarnya mengajar kita sesuatu yang besar.

.
.
.

Kita bukan mesin.
Kita manusia yang ada roh, akal, dan fitrah.

Jika Allah ajar kita berzikir sambil duduk dan baring,
jika Rasulullah s.a.w pernah menyendiri sebelum diangkat menjadi Rasul,
jika para sahabat pun ditegur bila keterlaluan bekerja tanpa rehat…

Maka tidak salah untuk kita berhenti sejenak.
Bukan untuk lari daripada tanggungjawab,
tapi untuk kembali dengan lebih jelas, lebih jernih, dan lebih kuat.

Mungkin, dalam waktu kita duduk tanpa arah itu,
Allah sedang menanam satu kefahaman yang takkan datang dalam sibuk.

Sumber FB : Ustaz Fazrul Ismail