Ustaz tak nak ulas panjang tentang perselisihan yang berlaku. Cuma Ustaz nak puji cara mereka selesaikan masalah.
Saling memaafkan. Tindakan mereka selari dengan apa yang Islam perintahkan.
Alhamdulillah.
Bila kita meminta maaf atau memaafkan orang lain, sebenarnya kita sudah meringankan urusan kita dan juga orang. Dengan saling memaafkan, beban jiwa yang ditanggung dalam hidup akan hilang, begitu juga dengan beban hitungan amal di akhirat nanti.
Subhanallah. Hebatnya amalan saling memaafkan.
.
.
Ustaz teringat pesan emak Ustaz bertahun-tahun yang lalu. Pesan tu Ustaz ingat dan amalkan sampai sekarang.
Apa pesan emak Ustaz?
“Hidup ini jangan susahkan orang lain. Nanti Allah susahkan hidup kita.”
Semakin bertambah usia, bertemu dengan ramai orang. Berhadapan dengan bermacam-macam cerita buat Ustaz semakin Ustaz hargai pesan ibu Ustaz ini.
.
.
Betul tuan puan.
Bila kita susahkan hidup orang, Allah akan jadikan hidup kita juga susah. Kecuali kita minta maaf kepada orang yang kita susahkan tu. Dan juga kita mohon ampun dari Allah Taala.
Kifarah dari perbuatan menyusahkan orang ni kadang Allah tak bayar cash. Maksud Ustaz kadang Allah tak terus hukum pada waktu itu juga. Tapi tunggulah 4,5 atau 10 tahun kemudian, kita pasti akan rasainya.
Ada orang yang rezeki sempit, hidup susah bertukar kerja itu ini. Bila disemak balik dia pernah makan harta orang dengan cara tak sah, makan harta anak yatim, tak uruskan harta faraid dan sebagainya.
Ada orang yang tak tenang, pasangan curang, anak-anak terlibat dengan dadah atau sebagainya. Bila muhasabah balik, rupanya dia pernah susahkan mak ayah kat kampung dan belum sempat minta ampun.
Kadang orang yang kita susahkan ni bukan orang jauh, tapi orang yang paling dekat dengan kita. Mak ayah, suami atau isteri, anak atau adik beradik, jiran tetangga dan boleh jadi juga kawan rapat kita sendiri.
Nauzubillah. Moga Allah pelihara kita dari sikap ini. Moga Allah bantu kita keluar dari masalah ini jika sudah terlajur menzalimi orang lain.
.
.
Tuan puan yang dirahmati Allah.
Setiap kali kita memilih untuk tidak menyusahkan orang lain, sebenarnya kita sedang memudahkan urusan diri sendiri di sisi Allah.
Kadang nampak kecil saja; tak balas mesej, mungkir janji, lambat bayar hutang, atau ambil kesempatan atas kebaikan orang lain. Tapi semua tu meninggalkan bekas di hati manusia. Dan Allah sangat halus dalam menilai.
Sebab tu orang dulu-dulu pesan, “Kalau tak mampu bagi senang, jangan pula bagi susah.”
Cukuplah kita jadi insan yang ringan tangan, menjaga kata, dan tak menyusahkan hati sesiapa.
.
.
“Ustaz, ada tak tip atau amalan yang kita boleh amalkan supaya jauh dari sikap susahkan orang ini?”
Ada, tuan puan. Kalau kita betul-betul nak jaga diri daripada menyusahkan orang lain, ada beberapa amalan dan sikap yang boleh kita latih. Ustaz kongsikan sedikit:
- Latih diri fikir sebelum bertindak.
Sebelum kita buat atau cakap sesuatu, tanya dulu dalam hati. “Ada tak yang akan terluka atau terbeban dengan tindakan aku ni?”
Bila kita mula berfikir begitu, kita sedang belajar berhati-hati dengan hak orang lain.
- Tunaikan hak orang secepatnya.
Kalau ada hutang, pulangkan. Kalau pinjam barang, kembalikan. Kalau janji, tepati. Jangan biar urusan orang lain tergantung sebab kita. Kadang bukan benda besar pun, tapi cukup untuk menyesakkan hati mereka.
- Ringankan tangan bantu orang.
Kalau nampak orang susah, hulur apa yang mampu. Baik tenaga, masa, atau sekadar kata semangat. Bila kita biasakan diri membantu, hati kita jadi lembut dan jauh dari sifat menyusahkan orang lain.
- Belajar minta maaf dan terima maaf.
Jangan ego. Kadang lidah ni terlanjur, perbuatan kita menyakitkan. Cepat-cepatlah minta maaf.
Dan kalau orang lain datang minta maaf, terimalah dengan lapang dada. Allah suka hati yang lembut dan pemaaf.
- Jaga hubungan dengan mak ayah.
Restu mereka ni jalan paling mudah untuk hidup berkat. Jangan biar hati mereka terasa atau kecewa dengan kita. Kalau pernah tersilap, pulanglah, cium tangan mereka, dan mohon ampun.
- Doakan kebaikan untuk orang.
Ini rahsia besar. Bila kita mendoakan orang lain dalam diam, malaikat akan mendoakan perkara yang sama untuk kita. Hati yang sibuk mendoakan, takkan sempat menyusahkan.
.
.
Tuan puan yang ustaz kasihi,
Hidup ni singkat, tapi kesannya panjang. Setiap kali kita mudahkan urusan orang, Allah mudahkan urusan kita. Setiap kali kita jaga hati manusia, Allah jaga hati kita dengan cara yang tak kita sangka.
Jangan risau kalau kebaikan kita tak dibalas manusia. sebab balasan Allah jauh lebih indah dan kekal. Tapi risaulah kalau kita menyusahkan orang, kena cepat-cepatlah perbetulkan. Mohon ampun, minta maaf, dan mulakan langkah baru dengan hati yang bersih.
Tuan puan,
Jom pujuk hati.
Biarlah hidup kita sederhana, tapi jangan sampai menyusahkan sesiapa.
Kerana di sisi Allah, sebaik-baik manusia adalah yang banyak berbakti dan memudahkan urusan sesama kita.
