Ungkapan-ungkapan yang baik itu mesti sentiasa diulang-ulang agar masuk ke dalam minda separa sedar (subconscious mind) anak-anak.
Contohnya, dunia tempat berpenat, akhirat tempat berehat, cinta Rasulullah adalah jalan mencintai Allah dan banyak lagi. Pasakkan prinsip hidup ini berulang kali.
Anak-anak akan sering melakukan kesalahan walaupun telah diperingatkan berkali-kali.
Jadi kita perlu menasihatinya berulang-ulang kali juga sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah,
Baginda mengamalkan kaedah mengulang kata-kata yang baik dalam mendidik.
Ya, pengulangan ialah ibu pengetahuan.
Marilah kita fikirkan, apakah kata-kata yang boleh menaikkan semangat anak-anak supaya mereka mempunyai prinsip dalam hidup. Prinsip hidup inilah yang akan dibawa ke mana-mana.
Tidak kira semasa belajar, sudah bekerja, berumah tangga, mempunyai anak-anak dan sebagainya. Hidup orang yang berprinsip lebih teguh, tahan uji, lebih dinamik dan konsisten.
Antaranya apa yang dipesankan oleh Rasulullah kepada Ibnu ‘Abbas r.a:
Ertinya: “Wahai anak, aku (mahu) mengajarkan kamu dengan satu pesanan. Jagalah (tanggungjawab terhadap) Allah, Allah pasti akan menjaga kamu. Jagalah (tanggungjawab terhadap) Allah, kamu pasti akan mendapati-Nya di hadapan mu. Jika kamu ingin meminta sesuatu, mintalah kepada Allah. Dan jika kamu ingin mendapatkan pertolongan, dapatkanlah daripada Allah.”
(Riwayat al-Tirmizi)
Inilah hadis Rasulullah SAW yang sangat baik untuk diterapkan kepada anak-anak sebagai prinsip hidup.
Dengan prinsip sebegini, mereka boleh menghadapi apa jua keadaan dengan sabar, tidak melatah dan tidak terburu-buru membuat keputusan.
Hadis ini mempunyai impak yang kuat pada jiwa anak-anak agar mempercayai qadak dan qadar Allah SWT.
Lebih banyak ada dalam buku ini – https://ezy.la/wahai-ibu-jadilah-madrasah-anakmu
Sumber FB: Ustaz Pahrol Mohamad Juoi 15/12/2025
