Cuba berdiri sekejap di depan almari pakaian kita sekarang.
Penuh, bukan? Ada baju yang tergantung rapat, ada yang berlipat tinggi menggunung. Malah, mungkin ada baju yang masih ada ‘tag’ harga, tersorok di penjuru paling dalam, tidak disentuh bertahun-tahun.
Kita sering mengeluh: “Tak ada baju nak pakai!” sedangkan almari kita sarat muatannya.
Tahukah kita, setiap helai pakaian yang kita simpan, kumpul, dan biarkan berhabuk itu sedang menunggu gilirannya untuk menjadi ‘soalan’ di hadapan Allah SWT nanti?
- Harta Kita Akan “Ditahan” Di Mahsyar
Jangan ingat ‘harta’ yang dihisab itu cuma duit dalam bank. Baju kurung RM200 yang kita beli tapi pakai sekali, jubah mahal yang kita simpan sayang nak pakai, tudung beratus helai semuanya adalah harta.
Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang sahih:
“Tidak akan berganjak kedua kaki anak Adam pada hari kiamat sehingga dia disoal tentang empat perkara… (salah satunya) tentang hartanya; dari mana dia peroleh dan ke mana dia belanjakan.”
(HR Tirmidzi)
Bayangkan di Padang Mahsyar nanti, orang lain lalu dengan pantas kerana hidupnya sederhana. Tiba giliran kita, kita tertahan lama. Kenapa? Kerana kita kena jawab satu persatu tentang 100 pasang kasut dan 300 helai baju yang kita tumpuk di dunia dulu.
“Kenapa kau beli tapi kau biarkan ia reput? Kenapa tidak disedekahkan kepada mereka yang telnjang dan kesejukan?”
Apa kita nak jawab?
.
- Bahaya Pakaian “Syuhrah” (Untuk Menunjuk-nunjuk)
Zaman sekarang adalah zaman OOTD (Outfit of the Day). Ramai yang beli baju bukan sebab perlu, tapi sebab nak tunjuk di social media bahawa kita “mampu” atau “stylo”.
Hati-hati dengan niat ini. Rasulullah SAW memberi amaran keras:
“Siapa yang memakai pakaian syuhrah (untuk bermegah-megah/populariti) di dunia, nescaya Allah akan memakaikannya pakaian kehinaan pada hari kiamat, kemudian dibakar dalam api neraka.”
-(HR Abu Daud, No. 4029 & Ibn Majah – Dinilai Hasan oleh Al-Albani)
Jika kita beli baju semata-mata nak dapat ‘like’, nak orang puji jenama apa kita pakai, ingatlah: Pujian itu bertahan 24 jam di ‘story’, tapi azab riyak itu kekal di sana.
.
- Pakaian Lama Adalah Hak Orang Miskin Yang Kita “Tahan”
Kita simpan baju lama dengan alasan “sayang, memori banyak”, atau “nanti kurus boleh pakai balik”. Akhirnya baju itu dimakan anai anai.
Sedangkan Saidina Ali bin Abi Talib pernah berkata (mafhumnya): “Sesungguhnya rezeki orang-orang miskin itu ada pada harta orang-orang kaya yang berlebihan.”
Baju yang tidak kita pakai itu mungkin adalah doa seorang ibu miskin yang tak mampu beli baju raya untuk anaknya. Tapi kita ‘penjara’ baju itu dalam almari gelap kita. Kita menzalimi fungsi pakaian itu sendiri.
Apa Yang Perlu Kita Buat Sekarang?
Sebelum kita mati dan ahli waris pening nak uruskan timbunan baju kita, buatlah keputusan hari ini:
- Audit Almari: Buka almari. Pegang setiap baju. Tanya: “Bila kali terakhir aku pakai?” Jika lama tak pakai, lepaskanlah.
- Infaq Segera: Jangan bagi baju buruk yang dah koyak rabak. Bagilah baju kita yang masih cantik.
- Tukar Jadi Pahala: Jadikan baju itu “kenderaan” kita ke syurga.
“Mana-mana Muslim yang memberi pakaian kepada Muslim lain yang tidak memiliki pakaian, nescaya Allah akan memberinya pakaian dari hijau-hijauan Syurga.”
-(HR Tirmidzi, No. 2449)
Sahabat sekalian,
Biarlah almari kita nampak kosong sedikit di dunia, asalkan timbangan hisab kita ringan di akhirat. Jangan sampai kain-kain yang cantik ini menjadi bahan bakar yang melilit tubuh kita nanti.
Moga Allah ampunkan pembaziran kita yang lalu..
Sumber FB : Firdaus Ismail